Kumpulan Trimmer
Trimmer. Mungkin ada rockers di luar sana yang tidak pernah mendengar nama kumpulan rock ini. Band ini agak kurang menonjol, mungkin kerana kewujudannya di tengah-tengah saingan rancak kumpulan-kumpulan rock yang ketika itu tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.
Trimmer - dari kiri Gman, Cher, Killa, Din dan Azees
Trimmer atau nama asalnya Rentas ditubuhkan pada tahun 1990 di mana kebanyakan anggotanya berasal dari Temerloh, Pahang. Anggota-anggota Trimmer adalah Aziman Yusuf @ Gman (gitar), Mohamad Faishal @ Cher (gitar), Mohamed Razif @ Aziez (bass), Raja Jani RajaYusof @ Kila (drum) dan Borhanudin Suyot @ Din (vokal).
Trimmer membawa maksud ‘Trim’ iaitu imej kemas berambut pendek yang perlu dipatuhi oleh setiap anggotanya demi menyahut saranan kerajaan. Nama ini juga membawa maksud ‘Terima’ dimana setiap anggota Trimmer menerima segala cabaran pada waktu itu untuk berjaya dalam bidang muzik.
Sebelum menjadi artis rakaman, mereka menetap di Johor dan bekerja di tempat yang sama. Ini membuatkan mereka rapat dan kebetulan pula mereka mempunyai minat yang sama dalam bidang muzik. Masa yang terluang atau waktu cuti dipenuhi dengan aktiviti jamming dengan menyewa studio yang berdekatan.
Dalam masa yang sama mereka banyak menyertai ujibakat bersama syarikat-syarikat rakaman. Bakat dan kemampuan mereka telah dinilai oleh komposer M.Nasir lalu seterusnya mereka dipelawa untuk merakamkan album di Singapore di bawah naungan Mastersound Records Sdn Bhd. Di bawah Mastersound Records juga ketika itu bernaungnya artis rock Y dan kumpulan Viva.
Album Trimmer - Noktah Hitam
Dalam menjalani rakaman album, Trimmer tidak terkecuali menghadapi pelbagai dugaan. Kadangkala rakaman untuk satu lagu memakan masa selama berminggu-minggu dan membuatkan mereka hampir putus asa. Tetapi demi muzik mereka gagahkan jua.
Selepas dua tahun album Trimmer berjaya dilancarkan. Album yang berjudul Noktah Hitam itu diterbitkan oleh Rosli Mail dengan berkonsepkan rock dan heavy metal. Sebanyak empat buah lagu ciptaan Trimmer dimuatkan dalam album tersebut. M.Nasir turut menyumbangkan sebuah lagu berjudul Adil Seikhlas Pelukanmu yang mana ianya menjadi lagu hits kumpulan Trimmer. Album ini terjual sehingga 45000 unit.
Kumpulan Trimmer
Biarpun agak kurang promosi pada era rock, tetapi penampilan Trimmer di pentas tidaklah menghampakan. Mereka sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan di mana saja. Trimmer tidak ketinggalan mengadakan show bersama kumpulan-kumpulan rock popular tanahair seperti May, Lefthanded, Rustyblade dan BPR salah satunya di Singapore.
Sehingga kini Trimmer masih lagi aktif. Biarpun telah kehilangan vokalis asalnya Din yang kembali ke Rahmatullah pada 2012, mereka tetap bersemangat meneruskan perjuangan dalam muzik bersama vokalis baru Trimmer, Aimi. Semoga terus berjaya.
Al-fatihah buat arwah Borhanudin Suyot, vokalis asal Trimmer..
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://cicaktonjeng.blogspot.com/2013/05/kumpulan-trimmer.html