Kumpulan Fotograf
FOTOGRAF, sebuah nama yang begitu popular dalam industri muzik tanahair bermula era penghujung 80an. Kehadiran mereka 'menggetarkan' lagi irama muzik rock yang ketika itu sedang hangat dan digilai oleh masyarakat tidak kira usia.
Pada awalnya setiap anggota kumpulan ini menganggotai band-band yang berlainan. Bermula dari penyertaan Battle Of The Bands serta sesi ujibakat oleh setiap anggotanya, akhirnya bakat mereka disatukan sebagai sebuah kumpulan yang seterusnya membawa kepada rakaman album. Nama Fotograf diberikan oleh seorang PR yang bernama Dino pada waktu itu. Mereka menjadi artis pertama yang merakamkan lagu Melayu di bawah label Sinar Muzik Production, iaitu sebuah syarikat rakaman milik Cina di Cheras yang mana di bawah syarikat ini turut bernaungnya kumpulan Rajawali dan Damasutra kemudiannya.
Lineup awal Fotograf - Amran, Ringo, Shahrul dan Shamrin
Ketika mula menjejakkan kaki di studio rakaman, kumpulan ini tidak terlepas berhadapan dengan masalah untuk menyesuaikan diri. Namun atas semangat juang yang tinggi beserta dorongan daripada pelbagai pihak akhirnya album pertama Fotograf berjaya dihasilkan.
'Iramanya Menggetar' (1989), merupakan album sulung Fotograf. Di awal kelahiran album ini sambutan yang diterima tidaklah begitu memberansangkan. Tetapi lama kelamaan nama Fotograf menjadi kian popular. Semuanya berpunca dari lagu Jangan Kau Ucap Selamat Tinggal yang seringkali diputarkan oleh stesen-stesen radio dan televisyen sehingga menjadi siulan ramai khasnya golongan muda mudi.
Waktu itu undangan show yang diterima tidak putus-putus. Meskipun masing-masing bekerja, namun di setiap hari cuti masa mereka dihabiskan dengan memenuhi undangan show di ekspo-ekspo dan sebagainya. Boleh dikatakan van yang mereka naiki untuk ke seluruh negara umpama rumah kedua mereka pada setiap Sabtu dan Ahad.
Berikutan sambutan positif yang diterima, maka pada tahun berikutnya terbitlah album kedua kumpulan ini yang berjudul '7:30 Psikosis' (1990). Selepas album ini Amran (pemain bass) menarik diri dari Fotograf lalu menganggotai Damasutra. Tempatnya digantikan oleh Said.
Kemunculan album ketiga membawa tuah bagi kumpulan ini. Album yang berjudul 'Fotograf' terbitan 1992 ini terjual laris di pasaran dengan angka melebihi 50 ribu unit. Lagu Di Alam Fana Cinta dari album ini menjadi antara lagu yang popular di Malaysia waktu itu sekaligus membuatkan nama Fotograf berada di puncak popularitinya.
Lagu ini menjadi juara kategori rock dalam anugerah Muzik Muzik TV3 pada tahun 1992 dan juara dalam Pujaan 10 Nescaffe. Lagu ini juga berjaya menempatkan Fotograf sebagai juara dalam anugerah artis popular Singer. Ini menjadikan Fotograf sebagai artis rock Malaysia pertama yang melakar sejarah memenangi 3 buah anugerah dalam satu masa. Lagu Ke Pintu Kasihmu juga tidak kurang hebatnya sehingga berjaya memasuki pusingan separuh akhir Muzik-Muzik pada tahun yang sama.
Fotograf - Shahrul, Ringo, Shamrin, Almi dan Said
Setiap show dan konsert Fotograf sentiasa mendapat sambutan hangat. Suatu ketika di Sarawak, sambutan yang diberi oleh peminat-peminat di sana sungguh di luar jangkaan umpama sambutan terhadap artis terkenal antarabangsa. Ketampanan wajah anggota-anggota Fotograf membuatkan ramai wanita tidak tentu arah sehingga ada yang pengsan dan histeria apabila tidak dapat bertemu mereka. Diajak bercinta dan berkahwin itu perkara biasa. Fotograf pernah dibaling baju dalam ketika membuat show dan lebih menakutkan lagi, bilik hotel penginapan mereka hampir diserbu masuk oleh peminat-peminat wanita.
Berikutan kepopularitian Fotograf, maka tidak hairanlah syarikat rakaman menyediakan satu bilik khas untuk menempatkan lambakan surat-surat serta hadiah yang dikirimkan oleh peminat-peminat kepada mereka. Hadiah-hadiah yang diterima Fotograf antaranya berupa T-shirt, kalung, gelang serta jam tangan. Kerana ketiadaan masa, kumpulan ini mengupah pekerja untuk membalas surat-surat peminat dengan poskad yang telahpun sedia ditandatangani mereka.
Kejayaan album ketiga membangkitkan inspirasi Fotograf untuk menghasilkan album-album mereka yang seterusnya iaitu Fantasi (1994), Fokus (1995) dan Juara Mimpi (1997). Ketiadaan Shahrul, Almi dan Said atas sebab krisis dalaman dan sebagainya tidak merencatkan perjalanan Fotograf untuk terus mencipta nama. Pun begitu Almi hadir semula bersama Fotograf dalam album Fokus dan Juara Mimpi. Kali ini terbitan EMI. Lagu yang menjadi hits dalam kedua-dua album ini adalah Luka Seribu Rindu dan Nafas Kekasih.
Album-album Fotograf
Sesungguhnya sesuatu perjalanan seni itu tidak lari dari menempuh cuaca malap dan suram untuk sampai ke penghabisan. Begitulah yang terjadi pada Fotograf. Kelahiran artis-artis baru dalam persada muzik lewat 90an membuatkan nama Fotograf seakan kian tenggelam. Mereka tidak lagi aktif berbanding dahulu.
Tanggal November 2007, industri hiburan dikejutkan dengan penahanan Ringo (pemain drum) yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah di Venezuela. Ringo dipercayai dianiaya oleh seorang warga Malaysia yang memintanya membawa beg berisi kokain seberat lebih 4 kilo. Akibatnya beliau terpaksa menghuni seketika di penjara El-Rodeo 1, Caracas, Venezuela.
Tiga tahun kemudiannya Shamrin pula pergi menyahut panggilan Ilahi. Industri muzik negara bagai kehilangan sebutir permata yang tinggi nilainya. Arwah yang menghidap serangan jantung pergi membawa bersama identiti Fotograf yang tidak mungkin dapat dicari ganti.
Tidak akan ada Fotograf yang baru walaupun anggotanya yang lain masih ada. Ini kerana keunikan vokal arwah Shamrin lah yang menjadi kekuatan Fotograf sehingga mencorakkan imej tersendiri Fotograf semenjak dari awal pembabitan mereka.
Khabarnya Ringo akan kembali semula ke tanahair tidak lama lagi. Beliau kini bergiat aktif dalam bidang lukisan dan muzik di sana. Anggota Fotograf yang lain pula sedang sibuk dengan pekerjaan dan kehidupan masing-masing. Semoga semuanya di dalam rahmat Allah.
Walaupun tiada lagi perjalanan seni Fotograf, namun nama mereka masih lagi diingati, titipan-titipan mereka masih lagi dinikmati dan dihargai..
..dan yang pastinya.. iramanya akan terus menggetar..!!
Sumber : temubual bersama bekas pengurus Fotograf, Abang Big.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://cicaktonjeng.blogspot.com/2013/06/kumpulan-fotograf.html