Kumpulan Nasyid Inteam Santuni Gelandangan Di Kanada Saat Hari Krismas
Kumpulan Inteam yang
baru saja pulang dari Kanada berkongsi pengalaman bagaimana persembahan mereka
di Toronto, mendapat sambutan hangat hampir 10,000 penonton yang hadir ke
program Konvensyen Reviving Islamic Spirit yang diadakan setiap tahun
itu.
“Alhamdulillah,
ini merupakan kali kedua kami diundang mengadakan persembahan di program
berprestij ini selepas kali pertama dijemput ke sana pada tahun lepas”
Ujar Syah, ketua kumpulan nasyid Inteam.
“Nampaknya
penganjur dan penonton menyukai persembahan kami dan mereka telah menjemput
lagi kami pada tahun ini, bagi mengadakan persembahan dalam program tahunan
ini” tambah beliau lagi.
Program Reviving Islamic Spirit (RIS) ini telah diadakan setiap tahun sejak 17 tahun yang lalu. Kegiatannya menghimpunkan para ulama dan pendakwah Islam terkenal dan berpengaruh dari serata dunia khususnya dari sebelah Amerika dan Eropah. Program ini berjaya mengumpulkan hampir 10,000 pengunjung dari kalangan warga Kanada, Amerika Syarikat dan Eropah yang majoritinya beragama Islam dan sebahagian yang bukan Islam. Program ini telah diadakan di Metro Toronto Convention Centre di pusat bandar Toronto.
Kumpulan Nasyid INTEAM Pentaskan Seni Budaya Melayu di Canada
Kumpulan Nasyid INTEAM saat di Toronto – Canada. (Dok. Istimewa)
“Tahun ini kami
tetap mengekalkan konsep berpakaian busana Melayu di dalam persembahan kami
seperti tahun lalu, cuma kali ini kami memakai set lengkap busana Melayu yang
lebih cantik dan sempurna kerana mendapat tajaan dari butik Zarif Tuah
Couture” terang Hazamin, salah seorang anggota kumpulan Inteam.
“Alhamdulillah,
kami berbangga dapat bergaya menampilkan pakaian kebudayaan kita di pentas antarabangsa
ini dan penonton di sana juga sangat menyukainya dan mereka ingin bergambar
bersama kami” tambah Hazamin lagi.
Kumpulan Nasyid INTEAM Tampil di Spirit of RIS 2019 Toronto – Canada
“Kali ini kami
telah diminta mengadakan persembahan di 4 tempat berbeza iaitu di Pentas Utama
konvensyen, di pentas 360 iaitu pentas bazar dan juga di dalam program bersama
kanak-kanak serta di dalam program Knowledge Retreat yang diadakan oleh
penganjur konvensyen” tambah Rahim.
“Antara seleksi
lagu yang kami nyanyikan, kebanyakannya adalah nasyid dan Qasidah berbahasa
Arab seperti Ya Hanana, Solatun, Selawat Badar, Sifatullah, Qad Kafani, Qamarun
dan banyak lagi” ujar Rahim.
“Alhamdulillah
perjalanan kami ke Kanada kali ini telah mendapat sokongan dan tajaan ramai
pihak antaranya ialah MBI Selangor, Akademi Qasidah Aswaja Wilayah Persekutuan,
Kembara Meals, GoSambal, Travel Reccommend, Zarif Tuah Couture dan Inteam
Apparel. Terima kasih kami ucapkan kepada semua penaja yang sudi memberi
sokongan” ujar Syah Inteam.
Kumpulan Nasyid INTEAM Santuni Para Gelandangan Saat Berada di Canada
Menurut Syah lagi, perjalanan ke Kanada kali ini lebih bermakna apabila kumpulan Inteam dapat menyertai satu program amal yang diadakan di Brantford iaitu memberi pek makanan kepada gelandangan yang berlindung di rumah perlindungan di sini dalam keadaam cuaca yang sangat sejuk. Program amal ini telah dianjurkan bersama Komuniti Melayu dan Persatuan Muslim Brantford serta Masjid Brantford dan diadakan pada 25 Disember iaitu pada hari Krismas.
INTEAM bersama Komuniti Melayu dan Persatuan Muslim Brantford serta Masjid Brantford saat santuni para gelandangan di Kanada. (Dok. Istimewa)
“Kami bersyukur
dapat terlibat dalam program amal ini dengan memberi mereka bantuan makanan
tengahari yang mana kebanyakan mereka beragama Kristian yang tidak dapat
menyambut perayaan mereka pada hari tersebut disebabkan kesukaran hidup yang
dihadapi. Apa yang menarik, program ini diadakan oleh pihak Masjid dan mereka
memberi bantuan tidak kira kepada pihak sesiapapun”
Kumpulan Inteam berada di bumi Kanada bermula pada 18 Disember 2019 sehingga 29 Disember 2019 dan baru sahaja tiba di tanahair semalam, (30/12). (*)
The post Kumpulan Nasyid INTEAM Santuni Gelandangan di Kanada Saat Hari Krismas appeared first on IslamicTunesNews.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.islamictunesnews.com/kumpulan-nasyid-inteam-santuni-gelandangan-di-kanada-saat-hari-krismas/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=kumpulan-nasyid-inteam-santuni-gelandangan-d