Kufur Membawa Kesan Dahsyat
KUFUR merupakan perbuatan yang boleh menjejaskan akidah seseorang Muslim. Ia apabila terlintas dalam hati atau dizahirkan menerusi tindak tanduk seseorang untuk menentang perintah Allah SWT dan Rasul-Nya.
Amaran tersebut dinyatakan oleh Allah pada ayat 6 dan 105 Surah al-Kahfi yang mengingatkan manusia tentang bahayanya kufur.
AYAT 6
Firman Allah maksudnya: “Maka jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan al-Quran ini.” (al-Kahfi: 6)
Dalam ayat ini, Allah mengingatkan kepada Rasulullah dan seluruh umat Islam agar jangan tertekan kepada mereka yang tidak beriman kepada apa yang dibawakan oleh baginda.
Ini adalah cabaran dalam perjuangan umat yang perlu diuruskan dengan emosi terbaik agar tidak punah di tengah jalan.
AYAT 105
“Merekalah orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengan-Nya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.” (al-Kahfi: 105)
Manakala pada ayat ini, Allah mengingatkan bahawa, orang kufur dan ingkar terhadap ayat Allah dan pertemuan dengan-Nya di akhirat kelak, maka amal mereka akan gugur dan tidak mempunyai sebarang nilai pada Hari Pembalasan.
Peringatan ini memberi semangat kepada orang beriman agar terus menyampaikan kebenaran dan mengamalkan iman serta tidak terganggu dengan apa respon daripada golongan kufur dan ingkar.
Malah, lebih daripada itu yang terbaik ialah kita sendiri yang berjaga-jaga agar tidak menjadi orang yang kufur dan ingkar dalam kehidupan.
PENGAJARAN AYAT
1. Pada akhir zaman kita perlu bijak menguruskan emosi dengan panduan al-Quran agar tidak mudah tertekan dan merosakkan diri.
2. Walau hebat bagaimanapun seseorang yang kufur pada pandangan manusia, ia tidak bermakna di sisi Allah.
Utusan
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/08/27/kufur-membawa-kesan-dahsyat/