Kualiti Pemimpin Kabinet Malaysia Ketinggalan
PUTRAJAYA: Realiti budaya berpolitik di negara ini adalah berdasarkan penilaian parti dalam melonjakkan pemimpin yang dipengaruhi faktor-faktor di luar semangat demokrasi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, walaupun dinasti politik diamalkan kebanyakan negara maju dan membangun lain, tindakan mana-mana pemimpin yang dilihat mengetengahkan anaknya semata-mata bagi menggantikan tempat dikosongkan perlu dibuat penilaian sebaiknya oleh rakyat.
Dengan tindakan itu, kata beliau, ia mengakibatkan mereka yang lebih bijak dan lebih layak tidak mudah mendapat ruang untuk ‘naik’.
Beliau memberitahu, jika dibandingkan dengan banyak negara demokrasi matang, kualiti pemimpin dan Kabinet di negara ini jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain seperti Singapura, Taiwan, New Zealand, Korea Selatan, Jepun, Kanada dan Eropah Barat.
“Rakyat selaku pengundi boleh mengggunakan hak mengundi dan membuat penilaian yang terbaik agar ruang dalam demokrasi dibuka luas kepada mereka yang sebenarnya lebih layak.
“Tetapi realiti budaya berpolitik di negara kita, penilaian parti dalam melonjakkan pemimpin turut didokong dan dipengaruhi faktor-faktor lain di luar semangat demokrasi,” katanya di sini semalam.
Laporan Utusan Malaysia semalam mengetengahkan isu tradisi politik dinasti atau anak-beranak yang disifatkan bukan pelik kerana amalan itu turut berlaku di negara luar.
Di Malaysia, boleh dikatakan setiap parti politik ada kecenderungan wakil ‘anak-beranak’ sejak dahulu lagi apabila pendedahan keluarga terhadap persiaran politik menjadi faktor timbulnya politik dinasti.
Dalam kontek ini, penganalisis politik berpendapat, ia tidak menjadi isu besar sekiranya seseorang anak yang mewarisi politik bapanya dapat membuktikan kewibawaan sendiri sekali gus mampu keluar dari bayangan atau pengaruh si bapa.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, dalam pengurusan politik di Amerika Syarikat (AS) (American politics), walaupun wujud dan boleh berlaku penonjolan dinasti politik, tetapi pembentukan Kabinet oleh Presiden AS adalah terdiri daripada mereka yang pakar dan berkualiti serta memiliki pengalaman luas serta kepakaran tertentu.
Justeru, katanya, Kabinet AS lebih bersifat profesional dan menghasilkan nasihat-nasihat pelaksanaan dasar yang terbaik kepada pentadbiran Presiden yang memerintah.
“Dinasti politik adalah politik negara demokrasi. Bukan sahaja demokrasi membangun, malah demokrasi maju. Di AS, Presiden Bush Sr. disambung anaknya, Presiden Bush Jr. Malah Trump juga sudah mula mengetengahkan anak-anaknya ke arena politik,” katanya. – UTUSAN
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://tungkaranhati.blogspot.com/2021/03/kualiti-pemimpin-kabinet-malaysia.html