Konsert Spider Unplugged Bakal Menyengat Di Megastar Arena Kuala Lumpur 25 Okt 2025
Assalammualaikum semua! Peminat Kumpulan Spider pasti tersenyum gembira kan? Sebab mereka berjaya di pujuk untuk mengadakan konsert! Terus menggamit nostalgia! Lagu Spider yang Ruby suka sangat dengar sampai sekarang adalah Cinta Dewa Dewi, Aladin, Mabuk, Tapi Bagaimana, Kasih Latifah, Dari Telinga Ke Tulang, Relaku Pujuk, Ngam Ho, Mungkinkah Terjadi, Bila Nak Saksi, Buat Sang Puteri, Dunia Batinku, Lauk Ku Cukup Masin, Hidupku, Kekal, Cinta Budak Sekolah, Kau Saja Kekasihku, Tak Esok Lusa, Katalis, Jangan Kau Berputus Asa, Mama, Nazrahku dan banyak lagi!
Konsert Spider Unplugged bukan biasa-biasa dan bukan semua kumpulan muzik berani dan boleh buat. Secara ringkasnya, “unplugged” bermaksud persembahan muzik secara akustik, tanpa penggunaan alat muzik elektrik atau kesan bunyi elektronik yang berat. Unplugged memberi tumpuan penuh kepada vokal penyanyi yang asli dan jujur. Petikan gitar dan iringan muzik yang ‘bersih’ dan semula jadi. Feel yang lebih rapat dan ‘intim’ dengan penonton macam nyanyi depan-depan, bukan sekadar persembahan.
Buat anda yang seperti Ruby, yang suka muzik yang ada rasa dan jiwa, unplugged ni memang sesuai dengan selera kita! Kita boleh dengar jelas emosi dalam suara Tam, lirik-lirik Spider yang puitis tu akan lebih menusuk. Suasana konsert akan jadi lebih tenang, fokus dan penuh nostalgia. Ruby teringat konsert-konsert unplugged zaman dulu, macam MTV Unplugged. Penyanyi keluar dengan hanya gitar, cahaya malap, dan suara mereka yang jadi tumpuan utama.
KONSERT SPIDER UNPLUGGED BAKAL MENYENGAT DI MEGASTAR ARENA KUALA LUMPUR 25 OKT 2025

Berita gembira buat peminat muzik 2000-an! Kumpulan Spider bakal mengadakan konsert stail unplugged, menampilkan gandingan mantap empat anak seni yang tak pernah gagal menyentuh hati pendengar. Bila sebut Spider, terus terngiang-ngiang suara Tam yang penuh emosi dan serasi dengan lirik-lirik berjiwa.
Konsert ini bukan sekadar hiburan. Ia umpama panggilan memori, membawa kita pulang ke zaman kegemilangan lagu-lagu seperti Relaku Pujuk, Kasih Latifah, Aduh Saliha, dan Cinta Dewa Dewi. Lagu-lagu ini bukan saja popular di corong radio, tapi menjadi latar rasa untuk banyak kisah hidup kita masa zaman sekolah, zaman cinta monyet, zaman naik LRT dengan Walkman di telinga.
Unplugged ini ibarat menyaring keindahan sebenar suara dan muzik, tanpa banyak lapisan elektronik. Vokal Tam yang penuh karakter, disokong oleh tiga lagi anggota Spider yang sememangnya hebat dengan peralatan muzik masing-masing yang menjadikan konsert ini pengalaman yang jujur dan menyentuh jiwa.
Mereka bukan sahaja penyanyi dan pemuzik, tetapi sebahagian cerita hidup rakyat Malaysia dalam bentuk lagu. Bila Spider buat versi unplugged, ia bukan hanya hiburan, ia terapi. Sebagai peminat, Ruby rasa ini antara konsert yang patut dilihat bukan kerana glamor, tetapi kerana nilai seni dan kenangan yang ditawarkan. Bila vokal sedap, muzik bersih dan suasana santai, kita bukan sekadar menonton, kita merasai.
“Dulu masa dengar Relaku Pujuk, kita tengah belajar jatuh cinta. Sekarang dengar balik, kita belajar hargai waktu. Spider kembali, kali ni dengan versi unplugged. Suara Tam dan muzik yang bersih ini bukan sekadar konsert, ini pementasan jiwa.”
Tam punya suara tu kan, bila dia nyanyi macam bercerita sambil berdendang, penuh emosi tapi tak over. Lirik-lirik Spider pun banyak main dengan metafora yang dalam tapi masih melekat “bila nak saksi, kau datang membelai... bila nak saksi... cintaku sampai.. bila nak saksi... cintamu ku gapai...” terus rasa macam kena sebut sambil pandang tingkap waktu hujan
Spider Unplugged Concert yang akan berlangsung pada 25 Oktober 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur ini bakal menyajikan persembahan berbeza dari Spider. Buat pertama kali Konsert Spider Unplugged yang ditunjangi oleh Tam, Aie, Pown dan Is selaku anggota Spider bersama beberapa pemuzik handalan profesional tanahair sebagai pemuzik tambahan yang akan menyajikan repoirtaire lagu-lagu hits kumpulan Spider dengan berkonsepkan Unplugged, sebuah konsep yang belum pernah dipersembahkan oleh Spider sebelum ini. Konsert Spider Unplugged ini pasti akan memberikan pengalaman yang sangat berbeza.
Spider juga akan mendendangkan lagu-lagu dari artis yang menjadi inspirasi kepada perjalanan seni Spider selama ini dalam sebuah sagmen tribute khas yang pasti akan meninggalkan memori indah kepada semua peminat Spider. Dibawakan oleh Naga Legend Entertainment dan diproduksikan oleh Beso Events, Konsert Spider Unplugged akan mempersembahkan puluhan lagu hits yang pasti akan memberi kepuasan kepada semua yang hadir selama lebih 2 jam
Pada tahun 1996, nama kumpulan Spider merupakan salah satu pemuzik yang masuk ke gelanggang muzik tempatan sebagai sebuah percubaan “untung sabut timbul, untung batu tenggelam”. Bukan karya yang dipersembahkan oleh Kumpulan Spider tidak berkualiti walaupun dipandu oleh sifu Dato’ M Nasir tetapi realiti dunia hiburan yang selalu bersifat ‘kacap terlabik’ akan membunuh secara tidak sengaja antusias berapi-api yang dibawa oleh pemuzik 29 tahun berlalu. Namun, generasi pada ketika itu kini sudah berusia hampir 40-an mendambakan Kumpulan Spider kembali. Galau cara kita pada zaman 2000 berbeza dengan zaman kini. Setuju?
Spider bukan hanya sebuah kumpulan atau penjenamaan muzik rock berbaur ska yang telah menghasilkan banyak karya hebat tetapi menjadi kugiran legenda yang selalu dirujuk sebagai ‘latihan pemula’ kumpulan muzik masa kini. Spider telah membuktikan kumpulan rock boleh kembali gemilang selepas tahun 80-an.
Spider pernah menerima banyak pengiktirafan menerusi lagu Aladin dan dijulang sebagai Juara Lagu 2004 melalui lagu Relaku Pujuk serta Nazraku diangkat sebagai Album Pop Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2005. Dan di fasa waktu turun naik, sepak terajang mereka, Spider kekal relevan. Kekal berbisa. Karya-karya baharu yang dihasilkan termasuk single Keluar Sarang yang dipasarkan tahun 2024 telah membuat peminat teruja menerima dan menonton persembahan energatik Spider.
Melihat kepada antusias peminat yang tidak pernah surut, cetakan demi cetakan baik yang ditinggalkan, penganjur Naga Legend Entertainment dengan bangga membawa SPIDER UNPLUGGED kepada peminat.
“Menyebut sahaja nama Spider sudah membuatkan kami di Naga Legend Entertainment rasa teruja apa lagi apabila lamaran kami untuk mengadakan SPIDER UNPLUGGED disambut baik oleh kumpulan legenda ini. Dan konsep unplugged yang dibawakan ini adalah yang pertama kali kami tampilkan bersama Spider. Tentu sahaja hasilnya akan ‘mewah’, tersendiri serta akan menjadi momen terbaik yang pernah disaksikan oleh peminat Spider,” ujar Fandy Alias wakil dari Naga Legend Entertainment.
Kumpulan Spider terdiri daripada Tam (vokal), Aie (drum), Iss (bass) dan Pown (gitar), bersetuju dengan Naga Legend Entertainment untuk SPIDER UNPLUGGED di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 25 Oktober ini adalah sebuah kesepakatan dengan visi dan misi yang sama.
“Pertama tentu sahaja Spider tidak mahu mengadakan konsert yang ‘asal konsert’ kerana mahu terjun dalam keramaian dan semarak penganjuran konsert. Sama seperti penghasilan karya, maka begitu juga Spider selektif dalam penganjuran konsert terutama konsert solo.“Jadi hal utama yang diberi penekanan adalah konsep yang mahu dipersembahkan kepada peminat. Spider tidak mahu naik ke pentas, ‘goreng muzik’, menyanyi ala kadar dan pulang. Apa yang peminat dapatkan dengan persembahan seperti itu?
“Sebaliknya Spider akan mendahulukan konsep, kualiti terutama daripada segi sistem audio dan teknikal lainnya serta kadar kesiapan kami yang berada pada tahap maksimum. Selepas itu barulah Spider boleh berikan yang terbaik dan ‘kasi pecah panggung’,” ujar Tam mewakili Kumpulan Spider.
Justeru SPIDER UNPLUGGED disifatkan Tam sebagai sebuah konsert yang belum pernah dipersembahkan dan sudah tiba waktu kugiran tersebut tampil dengan sesuatu yang unik dan bakal menjadi sejarah penganjuran di negara.
Untuk menyaksikan bagaimana konsep SPIDER UNPLUGGED di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2025 berlangsung, jangan lepaskan peluang merebut tiket pada 25 Jun 2025, 3 petang nanti.
Kategori tiket:RM198 (ALADDIN ; FREE SEATING)RM238 (CINTA DEWA DEWI ; NUMBERED SEAT)RM298 (KASIH LATIFAH ; NUMBERED SEATING)RM388 (RELAKU PUJUK ; NUMBERED SEATING)
“Unplugged ni maksudnya muzik yang dimainkan secara akustik, tanpa kesan bunyi elektronik yang berat. Gitar akustik, suara pun asli memang sesuai sangat dengan suara Tam dan gaya Spider yang penuh jiwa.”
Dan pesanan amat serius lagi penting jangan sambil lewa dan tidak ‘berperang’ demi mendapatkan tiket SPIDER UNPLUGGED di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2025 kerana mereka telah membuktikan pada penganjuran konsert sebelum ini yang ‘pecah teruk!’
www.ilassotickets.com/spiderunplugged
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.ruby.my/2025/06/konsert-spider-unplugged.html