Komunis Kembar Siam Penjajah
Walaupun Chin Peng sudah menjadi abu yang ditaburkan, pertelingkahan berkenaannya berlaku bukan hanya cerita abu dan habuk sahaja, tetapi selepas itu diadakan majlis sambutan yang diatur oleh pihak yang mendedahkan diri mereka sebagai menghargai perjuangan Chin Peng atau sekadar memperingati perjuangannya menentang penjajah British tanpa menilai ideologi perjuangan yang menegakkan ideologi komunis dan kembarnya sosialis. Semua itu kembar penjajah.
Chin Peng dilahirkan pada 21 Oktober 1924 di Sitiawan, Perak sebagai Ong Boon Hwa dan meninggal dunia pada 16 September 2013 di Bangkok. Beliau merupakan Ketua Parti Komunis Malaya (PKM) yang telah dianugerahkan Order of the British Empire (OBE) dan dua pingat kerana membantu British melawan pendudukan Jepun di Malaya dalam Perang Dunia Kedua.
Itu menunjukkan betapa hubungan ideologinya dengan penjajah British laksana kembar siam, seperti tangan kanan dan tangan kiri dalam satu jasad. Walaupun berada di tempat yang berbeza, tetap mempunyai hubungan bersama dalam melaksanakan konsep imperialisme dan kolonialisme, dan membahagikan dunia kepada Timur dan Barat mengikut semangat Perjanjian Sykes-Picot yang membahagikan tanah air umat Islam secara khusus.
Perjanjian Sykes-Picot pada Mei 1916 merupakan satu perjanjian rahsia yang telah dibuat oleh dua orang diplomat iaitu Sir Mark Sykes dan François Georges Picot yang mewakili negara British dan Perancis semasa Perang Dunia Pertama. Sykes dan Picot telah merancang untuk membahagikan wilayah negara Uthmaniyah apabila berakhirnya Perang Dunia Pertama.
Selepas Revolusi Bolshevik (Komunis) pada bulan November 1917 yang diketuai oleh Vladimir Lenin, beliau telah menemui salinan Perjanjian Sykes-Picot dalam arkib kerajaan Rusia yang membuktikan Rusia juga terlibat di dalam perjanjian tersebut. Salinan perjanjian itu telah didedahkan kepada umum dan akhirnya masyarakat Arab mengetahui mengenai perjanjian sulit tersebut.
Perjanjian-perjanjian tersebut telah membahagikan wilayah milik umat Islam di Syria, Lubnan dan Turki Sicily untuk diletakkan di bawah ‘kawalan’ kerajaan Perancis, manakala Palestin, Jordan, Baghdad dan kawasan sekitar Teluk Parsi diletakkan di bawah ‘kawalan’ kerajaan British.
Walaupun secara literalnya kesemua wilayah ini tidak ditadbir oleh kedua-dua kerajaan itu, namun secara amnya mereka mempunyai pengaruh di dalam semua jabatan pentadbiran kerajaan wilayah tersebut.
Kawasan utara Syria dan Mesopotamia di bawah pengaruh Perancis, manakala Saudi, negeri-negeri Teluk dan Lembah Jordan di bawah pengaruh British. Walaubagaimanapun ibu kota Palestin iaitu Baitul Maqdis terletak di bawah pentadbiran antarabangsa melalui perjanjian lain yang dinamakan Perisytiharan Balfour 1917 bertarikh 2 November 1917 yang merupakan kenyataan rasmi dan dasar kerajaan British menyokong penubuhan negara Yahudi dengan merompak bumi Palestin. Manakala negara umat Islam di Asia Tengah dibahagikan dalam kalangan negara Komunis Soviet dan China.
Walaupun di nusantara ini telah dibahagikan antara British dan Belanda, tetapi komunis juga berusaha untuk bertapak melalui kader-kader mereka yang pernah bekerjasama dengan penjajah Barat melawan Jepun dalam Perang Dunia Kedua.
Kebersamaan kedua-dua blok penjajah ini menunjukkan kebersamaan dalam konsep kolonialisme dan imperialisme yang bermaksud penjajahan terhadap tanah air kita.
Mereka mahu Asia Tenggara dikuasai oleh komunis yang berkiblatkan ke arah kuasa besarnya, sehingga berlaku beberapa kali rampasan kuasa di Indonesia dan juga berusaha berkuasa di Malaysia.
Komunis adalah fahaman yang menolak kepercayaan kepada Tuhan. Mereka mengganas lebih melampau daripada penjajah yang beragama Kristian dan Yahudi. Ini ternyata dalam pembunuhan kejam yang dilakukan di Malaysia dan Indonesia, walaupun diizinkan kadernya bersembahyang, berpuasa dan menunaikan haji, namun fahaman sekularnya sangat melampau.
Kedua-dua kumpulan penjajah ini bersedia bertukar giliran menakluk apabila menghadapi tentangan hebat daripada umat Islam seperti di Yaman Selatan dan Albania. Dahulu Kesatuan Soviet menakluk Afghanistan apabila Amerika kalah dalam mempertahankan Shah Iran yang dijatuhkan melalui Revolusi Islam walaupun dimomokkan isu mazhab, kerana mereka menentang Islam tanpa mengira mazhab dan bangsanya. Namun terkini, Amerika dan sekutunya mengambil alih peranannya di Afghanistan.
Upacara sambutan memperingati perjuangan komunis oleh kumpulan tertentu adalah satu peristiwa yang mendedahkan masih ada benih fahaman yang melampau. Hanya mereka yang jahil sejarah tanah air dan negara sahaja tidak peka dengan peristiwa ini.
Allah memberi peringatan:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ بِطَانَةٗ مِّن دُونِكُمۡ لَا يَأۡلُونَكُمۡ خَبَالٗا وَدُّواْ مَا عَنِتُّمۡ قَدۡ بَدَتِ ٱلۡبَغۡضَآءُ مِنۡ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَمَا تُخۡفِي صُدُورُهُمۡ أَكۡبَرُۚ قَدۡ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلۡأٓيَٰتِۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡقِلُونَ١١٨ هَٰٓأَنتُمۡ أُوْلَآءِ تُحِبُّونَهُمۡ وَلَا يُحِبُّونَكُمۡ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱلۡكِتَٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمۡ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ عَضُّواْ عَلَيۡكُمُ ٱلۡأَنَامِلَ مِنَ ٱلۡغَيۡظِۚ قُلۡ مُوتُواْ بِغَيۡظِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ١١٩﴾
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudaratan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian daripada mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya. (118); Beginilah kamu, kamu menyukai mereka, padahal mereka tidak menyukai kamu, dan kamu beriman kepada kitab-kitab semuanya. Apabila mereka bertemu kamu, mereka berkata “Kami beriman”, dan apabila mereka menyendiri, mereka menggigit hujung jari lantaran marah bercampur benci terhadap kamu. Katakanlah (kepada mereka): “Matilah kamu kerana kemarahanmu itu”. Sesungguhnya Allah mengetahui segala isi hati”. (119) (Surah Aali ‘Imraan: 118-119)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 7 Rabi’ul Akhir 1441 / 4 Disember 2019
sumber asal dari :=
https://www.facebook.com/abdulhadiawang/photos/a.146944298724030/2570235726394863/?type=3&theater
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://pemudattbc.blogspot.com/2019/12/komunis-kembar-siam-penjajah.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+KeArahMencariRedhanya+(Ke+Arah+mencari+redhaNYA)