Kod Rahsia Filem 3 Abdul
Filem P. Ramlee sememangnya sudah sebati dengan diri kita, sejak dari kecil lagi kita telah dipertontonkan dengan karya-karya Allahyarham P. Ramlee, yang mana banyak memberi gelak tawa, sedih, juga pengajaran untuk kita.Filem Tiga Abdul, mengisahkan tentang kehidupan tiga orang adik-beradik, Abdul Wahab, Abdul Wahib dan Abdul Wahub. Mereka bertiga ialah anak kepada seorang kaya yang dikenali dengan nama Ismet Ulam Raja (Ismet merupakan nama yang sinonim dengan masyarakat Turki). Ibu kepada tiga adik-beradik ini ialah Fatima Hatem Thai (Hatim al-Tai ialah penyair terkenal Arab yang terkenal dengan sifat pemurah beliau). Ketiga-tiga mereka hidup dengan bapa mereka yang kaya, manakala ibu mereka digambarkan di dalam filem ini telah lama meninggal dunia.Filem ini diselang-selikan dengan penyampaian naratif oleh seorang lelaki yang berpakaian seperti seorang Arab dan bernama S.Shamsuddin Al-Haj. P.Ramlee gemar menggunakan Arab dan Inggeris sebagai subjek bahasa dan budaya di dalam filem-filem komedinya dan kemungkinan besar kerana Arab dan Inggeris ini memiliki pengaruh besar dalam masyarakat kita.Sebahagian daripada Arab dan sebahagian daripada Inggeris ada dalam jiwa kita masing-masing. Kisah Tiga Abdul ini digambarkan berlaku di sebuah negeri yang dipanggil Isketambola dan berada berdekatan dengan negeri Isketambatu.Memiliki Persamaan Dengan Negara TurkiJika kita teliti lebih lanjut, pemakaian tarbus oleh kaum lelaki di Isketambola memiliki persamaan dengan negara Turki sebelum era perubahan yang dilaksanakan oleh Mustafa Kemal Atatürk. Turki sebelum era Mustafa Kemal Atatürk ialah Empayar Uthmaniah dan empayar ini berkembang jauh bermula dari tahun 1299 hingga 1923. Kemudian selepas krisis dan penentangan yang berlaku, Empayar Uthmaniah berubah menjadi sebuah negara dikenali sebagai Republik Turki yang dipimpin oleh Mustafa Kemal. Semasa era Mustafa Kemal, beliau telah mengharamkan pemakaian tarbus dan ini ialah sebahagian daripada jalan perubahan yang dilaksanakan oleh Mustafa Kemal untuk menghapuskan nilai-nilai tradisi empayar Uthmaniah.Nama Isketambola itu juga menghampiri nama bandar utama di Turki, Istanbul yang turut menjadi ibu kota Empayar Uthmaniah bermula pada tahun 1453 sehingga saat kejatuhan empayar berkenaan. Selepas itu, Mustafa Kemal menukarkan ibu negara Turki kepada Ankara.Eropah sering menganggap Empayar Uthmaniah sebagai sick man merujuk kepada era di antara tahun 1828 sehingga tahun kejatuhan empayar ini pada 1923 kesan daripada masalah kewangan dan ekonomi yang dihadapi, di samping kekalahan-kekalahan yang dialami dalam perang sehingga Empayar Uthmaniah hilang banyak wilayah di bawah naungannya.Keadaan ini juga sama dengan negeri Isketambola yang merupakan sebuah negeri yang memiliki warga yang ‘sakit’, warga yang tamak, warga yang hilang harta benda kerana kesilapan sendiri dan membiarkan diri dicatur oleh kuasa-kuasa yang lebih besar. Empayar Uthmaniah roboh kerana ketidakupayaannya untuk bersaing dengan kuasa-kuasa besar yang semakin berkembang dan mendominasi.Empayar Uthmaniah juga terlibat dengan Treaty of Sèvres (10 Ogos 1920) dengan negara-negara kuasa utama dunia seperti Britain, Perancis dan Itali untuk membahagi-bahagikan wilayah-wilayah Empayar Uthmaniah selepas kekalahan teruk empayar ini pada Perang Dunia Pertama. Perjanjian ini membolehkan kuasa-kuasa berkenaan mengawal kewangan empayar, sehingga ke tahap mempunyai kuasa untuk melulus belanjawan nasional, mengawal peraturan kewangan empayar dan memiliki kuasa menyeluruh terhadap bank pusat Empayar Uthmaniah. Inilah perjanjian berat sebelah yang digambarkan dalam filem Tiga Abdul iaitu tidak boleh marah.Kesan daripada bebanan kewangan yang tinggi akibat penglibatan dalam Perang Crimean (1853–1856) dan perbelanjaan yang tinggi akibat keberadaan tentera asing di negaranya, Empayar Uthmaniah terpaksa menanggung hutang asing berjumlah 5 juta Pound Sterling dan ini sama dengan nilai yang diminta oleh Abdul Wahub daripada peniaga pasar ketika hendak membeli semula Sadiq Segaraga. “Yang tua kerepot tu?”
“Oh ya tuan, ini murah sahaja tuan, 500 Pound sahaja tuan.”
“500 Pound?!”
“Ya tuan.”
“Tua nak mampus, tulang dah retak, 5 Pound boleh!”
“5 Pound? 5 Pound, 5 Poundlah tuan. Selagi ada orang tua ini di sini, saya bertambah sial tuan.”Kisah KehidupanInilah yang berlaku dalam Tiga Abdul, bagaimana Abdul Wahab dan Abdul Wahib boleh ditipu oleh Sadiq Segaraga. Bagaimana Sadiq Segaraga yang tamak dipermain-mainkan pula oleh Abdul Wahub. Filem ini tentang bagaimana manusia bijak boleh mengambil kesempatan terhadap manusia yang bodoh dan tamak. Kisah bagaimana manusia yang tidak memiliki perancangan dalam hidup akan menghadapi kemusnahan sekelip mata. Cerita bagaimana kekayaan yang begitu lama disimpan boleh menjadi milik orang lain jika tidak dijaga dengan baik dan amanah. Walaupun perkaitannya tidaklah sepenuhnya seperti apa yang berlaku kepada Empayar Uthmaniah, namun latar belakang yang wujud di dalam Tiga Abdul membolehkan kita mengaitkan filem ini dengan apa yang terjadi kepada empayar berkenaan.
Bahasa FilemSetelah panjang lebar kita bercerita tentang Empayar Uthmaniah dan Tiga Abdul, kini kita bercerita pula mengenai bahasa filem di dalam filem ini. Apa yang menarik mengenai filem Tiga Abdul ialah bicara visualnya yang memberikan gambaran mengenai apa yang sedang berlaku. Kita akan meneliti perkara ini satu-persatu untuk kita mengetahui mengenai keunikan filem ini.Pertamanya, semasa babak awal, memperkenalkan watak setiap watak utama diletakkan di dalam bingkai gambar. Ismet Ulam Raja, isterinya Fatima Hatem Thai dan anak-anak mereka. Apa yang menarik, semasa memperkenalkan Abdul Wahab dan Abdul Wahib, bingkai yang memuatkan foto mereka berdua kelihatan senget, condong dan serong. Ini sebenarnya memberikan petanda awal kepada kita bahawa Abdul Wahab dan Abdul Wahib kedua-duanya memiliki pandangan yang serong dan senget serta kedua-dua mereka adalah individu yang tidak jujur.Kita lihat pula bingkai yang memuatkan foto Abdul Wahub, diletakkan tegak, menunjukkan bahawa Abdul Wahub ialah seorang yang jujur dan lurus.Seterusnya kita lihat semasa sambutan hari lahir ke-71 Ismet Ulam Raja, Abdul Wahab dan Abdul Wahib memakai suit hitam, manakala Abdul Wahub memakai suit putih. Ini juga membuktikan tentang sikap baik dan sikap buruk.Putih ialah lambang suci dan sering dikaitkan dengan kebaikan, manakala hitam ialah lambang kekotoran dan sering dikaitkan dengan keburukan. Suit putih memberi gambaran tentang sikap murni Abdul Wahub, manakala suit hitam memberikan gambaran mengenai sikap buruk Abdul Wahab dan Abdul Wahib.Selain itu, sebaik sahaja Ismet Ulam Raja meninggal dunia, Abdul Wahub juga dilihat kerap mengenakan suit berwarna putih semula semasa segala-gala pertikaian sudah sampai ke kemuncak dan Abdul Wahub berjaya menyatukan kembali keluarganya.Selanjutnya semasa babak Ismet Ulam Raja memotong kek untuk sambutan hari lahirnya, semua jemputan merapatinya dan sama-sama menyanyikan lagu Allah Selamat Kamu kepada Ismet Ulam Raja, namun sebaliknya yang terjadi apabila Ismet tidak diselamatkan Allah, tetapi terkena serangan jantung dan meninggal dunia kemudiannya.Apa yang cuba disampaikan P.Ramlee semasa babak ini. Cuba kita perhatikan semasa babak ini berlangsung, siapa yang ada di sekeliling Ismet Ulam Raja? Yang ada hanyalah Sadiq Segaraga dan dua daripada tiga anak perempuannya iaitu Rafidah dan Hamidah.Selain itu, turut kelihatan ialah Abdul Wahab dan Abdul Wahib. Abaikan jemputan yang lain kerana mereka bukan tumpuan kepada filem ini. Semasa babak ini kelibat Abdul Wahub langsung tidak kelihatan, begitu juga dengan anak Sadiq Segaraga yang baik hati, Ghasidah, juga tidak kelihatan.Semasa upacara memotong kek hari lahirnya, Ismet Ulam Raja dikelilingi oleh manusia-manusia jahat dan yang menyanyikan lagu selamat untuknya juga ialah manusia-manusia jahat. Doa orang-orang jahat cuba digambarkan P.Ramlee hanya akan mendatangkan keburukan semata-mata. Merapat dan berbaik-baik dengan orang yang jahat dan yang memiliki hati yang tidak jujur hanya akan membawa bencana kepada diri kita.
Menyentuh Mengenai Diktator & DemokrasiP.Ramlee juga menyentuh mengenai diktator dan demokrasi terpimpin dan menerusi dialog itu, kita memahami bahawa demokrasi terpimpin dan diktator itu tidak ada bezanya dan manusia yang sering melaungkan demokrasi juga memiliki kecenderungan untuk menjadi diktator apabila mereka terperangkap dengan peperangan istilah. Amat jarang kita menemui istilah-istilah politik dibincangkan di dalam kerangka lucu dan bersifat satira sebegini di dalam filem Melayu dan P.Ramlee berjaya mencuit kita dengan perbincangan definisi diktator dan demokrasi terpimpin.“Doktor Zain memberi pengakuan penyakit ayahanda bertambah berat, itu ada harapan mati! Jikalau ayahanda mati, segala harta-hartanya terpulang kepada siapa?”
“Kepada kekandalah! Kerana kekanda saudara tua!”
“Semua?”
“Habis?!”
“Hai! Itu tidak Adil! Itu namanya diktator. Kanda, adinda rasa lebih baik kita bahagikan harta-harta ini secara demokrasi.”
“Bagaimana?”
“Begini, kanda yang lebih tua, kanda mesti mengalah, kanda akan mati dulu, adinda akan tanam kanda, kanda jangan ambil satu sen pun harta ayahanda, dermakan semuanya kepada adinda bulat-bulat, haa! Itu demokrasi!”
“Demokrasi apa?”
“Demokrasi Terpimpin!”
“Terpimpin kepala otak kau!”Cuba Mencelikkan Masyarakat Tentang Pengurusan PusakaP.Ramlee cuba mencelikkan masyarakat tentang kepentingan instrumen pengurusan harta pusaka iaitu Wasiat/Faraid/Hibah. Jika dilihat lebih dalam, P.Ramlee juga mendidik aspek Hibah yang agak janggal dan biasa diabaikan. Dalam Islam, konsep pemilikan berdasarkan Syurut al-Ahliah al-Kamilah (Syarat-Syarat Pemilikan Yang Sempurna). Di antara syarat-syarat yang wajib adalah Baligh, Mukallaf, Muslim & Rusyd (Bijaksana). Walaupun Islam memperkenalkan konsep Faraid, namun Ismet Ulam Raja telah menggunakan instrumen Hibah untuk memberikan Abdul Wahub lebih bahagian (harta-harta di luar negeri) berbanding abang-abangnya disebabkan abang-abangnya kurang salah satu syarat iaitu Rusyd (Bijaksana).
Kritikan Kepada Golongan FeudalSeperti yang disebutkan sebelum ini, kritikan P.Ramlee terhadap golongan feudal sebenarnya tidak pernah padam dan filem Tiga Abdul juga memaparkan kritikan terhadap golongan berkenaan. Ini dapat dikesan pada babak semasa Kasim Patalon menasihati Sadiq Segaraga untuk mengahwinkan anak-anak perempuannya dengan anak-anak lelaki Ismet Ulam Raja bagi mendapatkan harta kekayaan Ismet Ulam Raja dan menguatkan semula perniagaan Sadiq Segaraga yang sedang berdepan dengan masalah. Tindakan mengahwinkan anak perempuan atau anak lelaki untuk meluaskan kuasa dan memperoleh harta kekayaan ini telah dilakukan sejak dahulu lagi dan perkahwinan ialah alat terpenting untuk meluaskan kuasa dan jalan paling pantas untuk mendapatkan wilayah dan sumber kekayaan di sesebuah negeri.Sadiq Segaraga dilihat menggunakan anak-anak perempuannya demi kepentingan perniagaan demi memastikan dirinya mendapat untung daripada perkahwinan berkenaan. Perkahwinan tidak lagi dibina atas dasar cinta dan niat mengukuhkan hubungan kekeluargaan, tetapi hanya atas dasar laba perniagaan.Kasim Patalon pula dijelmakan sebagai seorang penasihat yang tamak dengan komisen 25% yang ditawarkan oleh Sadiq Segaraga. Setiap nasihat daripada Kasim Patalon di dalam filem ini semuanya nasihat yang buruk dan setiap nasihat yang buruk akan memberikan kesan buruk di kemudian waktu.Begitulah yang terjadi kepada Sadiq Segaraga apabila terlalu percaya dengan nasihat buruk, dirinya juga hanyut dan jatuh miskin. Watak seorang Kasim Patalon ini sering berada dalam lingkaran masyarakat, menawarkan nasihat yang menjahanamkan.Kasim Patalon melakukan kerja nasihatnya bukan untuk kepentingan sesiapa, tetapi hanya untuk mendapat untung dengan hanya bermodalkan air liur dan pemikiran yang mengelirukan. Kasim Patalon digambarkan sebagai seorang yang banyak idea dan petah dalam setiap pengucapannya serta berjaya memberikan keyakinan terhadap idea-ideanya, sehingga Sadiq Segaraga percaya bulat-bulat setiap butir kata Kasim Patalon ini.Watak Kasim Patalon divisualkan seperti Hitler, memiliki misai kontot dan perilaku Kasim Patalon juga sama seperti Hitller, seorang diktator yang petah berbicara dan mempunyai keupayaan untuk meyakinkan khalayaknya sendiri.Satu lagi watak yang menarik untuk kita perhatikan ialah Husin Lempoyang, seorang lelaki yang menganggap manusia ialah komoditi jualan dan memiliki nilai yang lebih tinggi berbanding unta. Husin Lempoyang wujud dalam sisi gelap diri manusia yang memandang semua perkara memiliki tanda harga.Manusia yang menghargai hidup dengan nilai wang semata-mata. Husin Lempoyang merupakan seorang saudagar unta, tetapi dia juga ialah lambang kapitalis yang berada di sekeliling kita yang menjadikan apa sahaja sebagai barang dagangan asalkan dapat memberikan untung.Harga diri tidak ada kepada manusia yang bersifat seperti Husin Lempoyang, kerana semuanya memiliki taraf yang sama dengan Pound Sterling. Pada pandangan mata manusia seperti Husin Lempoyang, sekeping kertas bertandakan nilai wang dan maruah manusia memiliki jurang beza yang besar, kerana wang mengatasi segala-galanya termasuk maruah.
Perhatikan babak anak-anak yatim menyanyikan lagu "tolong kami, bantu kami, anak-anak yatim piatu." Ini menunjukkan kepada kejatuhan khilafah Turki pada 1923 telah membuatkan negara-negara yang bernaung di bawah khilafah Turki iaitu Popostan, Turkistan, Dagestan, Goheadgostan dan Tanjung Rambutan (kerajaan Aceh, Johor Riau, Nusantara) hilang tempat bernaung dan menjadi seperti yatim piatu. Negara-negara inilah yang akan mengembalikan kegemilangan khilafah di akhir zaman ini. Khilafah Akan Kembali GemilangFilem Tiga Abdul meramalkan watak yang akan mengembalikan kegemilangan khilafah. Kegemilangan khilafah di akhir zaman ini bukan akan naik dengan cara Diktator & Demokrasi tetapi dengan caranya sendiri.Perhatikan watak Abdul Wahub. Abdul Wahub digambarkan sebagai seorang muda yang tidak diwariskan harta tapi mempunyai banyak harta di luar negara. Abdul Wahub juga digambarkan seorang yang bijaksana kerana dialah satu-satunya anak Ismet Ulam Raja yang tidak menandatangani perjanjian berat sebelah malah membincangkan isi perjanjian agar tidak berat sebelah. Suleiman Akhlaken pula ialah peguam bela dalam cerita Tiga Abdul yang bertanggungjawab menyerahkan harta Abdul Wahub di luar negara kepadanya. Adakah Suleiman Akhlaken ini merujuk kepada pewaris Nabi Sulaiman AS?Di akhir cerita Tiga Abdul, Abdul Wahub berdiri sambil melihat gambar Ismet Ulam Raja sambil tersenyum. Ini menunjukkan bahawa turki/khilafah akan kembali gemilang. Kegemilangan sistem khilafah akan dikembalikan oleh seorang pemuda yang bersut putih (suci dan baik), jujur, lurus dan bijaksana.No. 3 Yang BerulangTajuk filem Tiga Abdul mempunyai nombor tiga di dalamnya. Ceritanya berkisar tentang tiga beradik. Ayat 5 pound dalam cerita ini juga diulang tiga kali : “5 Pound? 5 Pound, 5 Poundlah tuan.Di dalam filem ini semasa Abdul Wahab berkumpul bersama-sama beberapa orang wanita ketika sambutan hari lahir Ismet Ulam Raja, dia telah memberikan satu teka teki kepada wanita-wanita berkenaan dan tidak ada seorang pun yang berjaya menjawabnya. Jawapan teka-teki itu juga sehingga kini mengelirukan sebahagian daripada kita.“Di atas langit, di bawah bumi, apa di tengah-tengahnya?”
“Saudari?”
“Bulan?”
“Bulan? Fasal saudari cantik macam bulan bukan? Jadi ingatkan bulan sahaja? Tak betul.”
“Saudari?”
“Angin.”
“Eh! Kenapa pula angin? Satu badan angin ya? Salah.”
“Saudari?”
“Hujan.”
“Hujan? Hai mentang-mentanglah musim hujan, asyik ingat hujan sahaja. Salah tu, yang betulnya tiga titik.”Mengapa tiga titik? Sebabnya di tengah-tengah huruf Nya (ڽ) ada tiga titik.Adakah nombor tiga ini membawa maksud bahawa ada tiga watak utama di akhir zaman yang akan mengembalikan kegemilangan khilafah? Wallahualam.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://lautan-biru.blogspot.com/2020/07/kod-rahsia-filem-3-abdul.html