Kkm Jangka Kes Harian Turun Satu Dua Minggu Lagi Kata Hisham
                     Bernama

Dr  Noor Hisham Abdullah berkata lonjakan kes baharu sejak beberapa hari lepas adalah berikutan lebih banyak saringan bersasar Covid-19  dilaksanakan khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur yang dikenakan PKPD.KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan jumlah kes  harian Covid-19 di negara ini, mulai stabil dan menunjukkan penurunan  dalam tempoh seminggu atau dua minggu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr  Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata dengan proses vaksinasi yang giat dilaksanakan di  seluruh negara serta kawalan kesihatan awam masih berkuat kuasa seperti  sekatan pergerakan ketika ini, mampu melandaikan semula keluk jangkitan  wabak itu.
Katanya, lonjakan kes baharu sejak beberapa hari lepas adalah  berikutan lebih banyak saringan bersasar Covid-19 dilaksanakan khususnya  di Selangor dan Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan  Diperketatkan (PKPD) ketika ini.
“KKM sudah jangkakan memang dengan sekatan pergerakan di kawasan  Lembah Klang, kes harian akan meningkat kerana saringan bersasar dan  saringan komuniti dilaksanakan.
                                                                                                                                         “Namun, saya yakin dengan kaedah kawalan yang baik (sekatan  pergerakan) kita akan lihat jumlah kes lebih stabil serta menunjukkan  penurunan dalam seminggu lebih atau dua minggu. Pada masa sama, proses  vaksinasi perlu dipercepatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program ‘The Nation’  bertajuk ‘Covid-19: Apa Lagi Ikhtiar Kita’ terbitan Bernama TV yang  dihoskan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Ras  Adiba Radzi, malam tadi.
Dalam pada itu, Hisham berkata mengambil pengalaman dan iktibar  daripada kesan gelombang kedua Covid-19 sebelum ini, negara perlu lebih  berhati-hati dan tidak tergesa-gesa untuk membuka beberapa sektor yang  boleh mencetuskan lagi lonjakan kes baharu.
Beliau berkata, pematuhan yang berterusan oleh semua pihak serta  penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di lapangan seperti  sektor perkilangan, perlu dipertingkatkan dalam usaha mengawal lebih  banyak jangkitan khususnya melibatkan penularan di tempat kerja.
                                                                                                                                                                                                                       Menjelaskan situasi kapasiti beberapa hospital yang  dilaporkan sesak dengan jumlah pesakit Covid-19, beliau berkata KKM  sedang giat meningkatkan keupayaan hospital untuk menampung pesakit  terutama individu dengan jangkitan tahap empat dan lima di unit rawatan  rapi (ICU).
“Masalah yang kami hadapi ialah pesakit tahap empat dan lima  mengambil masa lama untuk dirawat dalam ICU antara dua hingga lima  minggu termasuk yang memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Inilah kekangan yang dihadapi kerana jumlah pesakit tahap empat dan  lima juga bertambah dan menjadi sesak. Oleh sebab itu KKM sedaya upaya  meningkatkan lagi kapasiti hospital,” katanya.
Terdapat lima tahap jangkitan Covid-19. Tahap satu – tidak bergejala;  tahap dua – bergejala ringan; tahap tiga – bergejala dan mengalami  radang paru-paru; tahap empat – bergejala, mengalami radang paru-paru  dan perlukan bantuan oksigen; serta tahap lima – bergejala kritikal dan  memerlukan rawatan di ICU.
Semalam, Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi dengan 9,353 kes  baharu dengan 29 lagi kluster baharu termasuk 19 kluster tempat kerja.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/kkm-jangka-kes-harian-turun-satu-dua.html