Kita Tidak Kekurangan Guru Bahasa Inggeris Dr Amin Senin
PULAU PINANG 13 Mei - Kementerian Pendidikan tidak menghadapi masalah kekurangan guru bahasa Inggeris seperti yang didakwa Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Sebaliknya, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, isu yang dihadapi pada masa ini adalan kekurangan jumlah guru opsyen bahasa Inggeris.
“Tiada masalah kekurangan guru bahasa Inggeris kerana kita boleh menambah bilangan guru tersebut dengan guru interim dan guru bukan opsyen.
“Guru opsyen bahasa Inggeris memang ada kekurangan tetapi untuk mengajar bahasa Inggeris kita tidak ada masalah, namun kementerian sedang berusaha untuk menangani isu tersebut,” katanya selepas menghadiri Festival Guru Malaysia 2019 di Spice Arena di sini hari ini.
Terdahulu, Amin mewakili Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik melancarkan Festival Guru Malaysia 2019 yang bermula secara rasmi hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock yang menggesa Kementerian Pendidikan menyelesaikan isu pokok iaitu kekurangan guru bahasa Inggeris terlebih dahulu berbanding mengarahkan guru menduduki Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).
Amin dalam pekeliling yang dikeluarkan pada 14 April lalu mengarahkan guru yang mengajar bahasa Inggeris menduduki peperiksaaan MUET bagi melihat semula tahap penguasaan bahasa Inggeris selari dengan keperluan yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Mengulas lanjut, Amin berkata, kementerian juga sedang menangani isu kuantiti dan kualiti guru bahasa Inggeris untuk meningkatkan tahap pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran itu.
“Usaha ini telah bermula sejak 2013 sehingga kini menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai cadangan Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Aminudin Adam mengenai keperluan memperkenalkan skim perlindungan kemalangan berkelompok kepada para guru, Amin berkata, kementerian bersetuju dan menyambut baik cadangan itu.
“Sebelum ini sudah ada skim perlindungan tetapi dibuat secara individu tetapi cadangan ini adalah berkelompok yang mana ia lebih murah.
“Kita perlu meneliti proposal terlebih dahulu terutamanya dari segi perlindungan dan terma jika semuanya dipersetujui, kita akan laksanakan secepat mungkin,” katanya. - UTUSAN ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.cikgushare.com/2019/05/kita-tidak-kekurangan-guru-bahasa.html