Kita Tabur Kepada Penduduk Tg Piai Bukan Masuk Poket Sendiri Salahuddin Bidas Najib
Mohamad Fadli
-November 4, 2019 12:11 AM
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayob, yang membantu kempen calon PH, Karmaine Sardari berkata, tidak mudah untuk menang di Tanjung Piai yang suatu ketika dahulu merupakan kubu kuat BN.
KUKUP: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub membidas bekas perdana menteri, Najib Razak berhubung beberapa peruntukan yang diluluskan untuk kawasan Parlimen Tanjung Piai dengan berkata peruntukan itu diberi kepada rakyat, bukan untuk diri sendiri.
“Kita tabur pada rakyat, masuk poket rakyat. Bukan macam orang itu (Najib) tabur masuk poket sendiri.
“Dalam perbicaraan mahkamah tuan-tuan saksikan hampir satu bulan tiap-tiap hari dalam akhbar bagaimana Najib berkomunikasi dengan Jho Low dan bagaimana pegawainya diarah melakukan penyelewengan,” katanya dalam ceramah umum Pakatan Harapan (PH) di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM), Penerok di sini malam tadi.
Pada 22 Okt, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menafikan peruntukan berjumlah RM7 juta yang diberikan oleh kerajaan untuk kawasan parlimen Tanjung Piai adalah bagi meraih sokongan pengundi kawasan itu.
Mahathir berkata, kerajaan hanya menjalankan tugas seperti biasa dan pemberian peruntukan itu secara kebetulan hampir dengan tarikh pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang berlangsung sekarang.
Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk projek naik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai, manakala Salahuddin turut memperuntukkan RM3 juta bagi projek naik taraf tiga jeti nelayan.
Salahuddin berkata, RM400,000 juga diperuntukan untuk membaiki jalan ke kebun untuk memudahkan petani.
Katanya, RM3 juta diluluskan segera bagi membaiki tiga jeti yang telah usang.
“Dulu calon BN, Wee Jeck Seng jadi wakil rakyat apa dia buat. Apa dia buat untuk jeti usang? Dia tak buat, kita buat sekarang.
“Sebagai menteri saya boleh beri jaminan kepada rakyat, dan juga beri pembangunan,” katanya.
Salahuddin, yang merupakan anak jati Tanjung Piai berkata, beliau akan bekerja lebih kuat bagi membantu berkempen calon PH dalam PRK itu, iaitu Karmaine Sardini.
“Saya anak Tanjung Piai, saya tahu bukan mudah untuk menang di Tanjung Piai yang suatu ketika dahulu merupakan kubu kuat BN.
“Kita pernah hilang deposit bertanding, tetapi bila menang kita tak lupa diri. Kita beri peruntukan pada rakyat,” katanya.
PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik yang mewakili PPBM pada 21 Sept lepas kerana komplikasi jantung.
Enam calon yang disahkan akan bertanding ialah Karmaine Sardini mewakili PH, calon BN Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan dua calon Bebas, Ang Uan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2019/11/kita-tabur-kepada-penduduk-tg-piai.html