Kita Sertai Bersatu Bukan Kerana Jawatan
M Fakhrull Halim & Lu Wei HoongDiterbitkan Hari ini 8:23 pagi
Anggota Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin meminta ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar tidak risau dengan kemasukannya ke dalam parti itu.
Kata bekas ketua Puteri Umno itu, penghijrahan beramai-ramai wakil rakyat Umno ke Bersatu bukan disebabkan oleh jawatan dan pangkat semata-mata.
“Saya harap mereka tak ada tanggapan salah kemasukan ahli-ahli baru (dari Umno) ini kerana ramai juga seperti saya, kita bukan hendakkan jawatan atau pangkat.
“Jauh lebih penting, agar suara Melayu dapat didengari.
“Dan saya sendiri secara peribadi, dapat berkhidmat dengan lebih baik untuk kawasan saya dalam parlimen,” katanya selepas sesi ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad bahawa bekas ahli Umno yang menyertai Bersatu selepas pilihan raya umum (PRU) lalu tidak dibenarkan memegang jawatan sehingga PRU ke-15.
Mas diterima untuk menyertai Bersatu secara rasmi pada 21 Dis lalu setelah mengumumkan permohonan menyertai Bersatu pada 13 Dis.
Sementara itu, Anggota Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali turut berkongsi pandangan sama apabila menyifatkan larangan tersebut sebagai ujian keikhlasan buat bekas ahli Umno sepertinya.
Seperti Mas, Noor Azmi berkata beliau tidak menyertai Bersatu demi mendapatkan kedudukan.
Bagaimanapun, katanya, pengecualian mungkin boleh dipertimbangkan apabila melibatkan bekas pemimpin Umno yang berbakat dan terbukti bersih.
“Tetapi bergantung juga, contohnya jika ada bekas ahli Umno yang disiasat dan mereka didapati bersih, dan mereka ini berpengalaman dan senior.
“Jika mereka di dalam Bersatu, ia boleh memberi kebaikan kepada orang Melayu. Kenapa tidak? Jika ia dipersetujui oleh kepimpinan parti,” katanya.
Noor Azmi dan Mas merupakan dua daripada tiga bekas ahli Umno yang diterima memasuki Bersatu selain Anggota Parlimen Jeli Mustapha Mohamed.
Ketiga-tiganya dilihat hadir perhimpunan semalam
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2018/12/kita-sertai-bersatu-bukan-kerana-jawatan.html