Kisah Manchester United Minum Tapai Selepas Perlawanan Persahabatan Dengan Sabah
Inilah kisah bagaimana detik sukar The Red Devils melawan Sabah pada perlawanan Pra-Musim seperti yang dipetik dari web semuanyabola.com dan iloveborneo.my.
Mungkin ramai di kalangan yang telah atau mengetahui tapai boleh dinikmati dengan meminumnya sekiranya telah melalui proses penapaian. Dalam erti kata lain ia menjadi minuman beralkohol. Tapai juga boleh dinikmati sebagai hidangan seperti tapai pulut.
Tapai amat terkenal sebagai hidangan di kalangan masyarakat Sabah ketika musim perayaan khususnya Pesta Menuai. Sudah tentu jika dijadikan beralkohol, ia adalah haram untuk diminum oleh mereka yang beragama Islam.
Tapai pada asasnya mempunyai rasapahit, manis dan juga masam. Biasanya yang masam itu memabukkan. Apa perkaitan semua ini di dalam bola sepak? Sebenarnya ia tidak mempunyai kaitan secara khusus.
Tetapi tahukah anda pasukan terkenal dunia, Manchester United pernah diberi detik sukar oleh pasukan Sabah dalam satu perlawanan persahabatan pada 1980? Walaupun memiliki skuad serba mantap, skuad Red Devils pada ketika itu ibarat mabuk “minum tapai” dikerjakan oleh pasukan Sabah.
Tumpuan kelab Eropah
Suatu ketika dahulu Malaysia sering menjadi tumpuan kelab dari luar negara untuk menjalani latihan pra musim. Ini kerana keadaan cuaca ekstrem di negara ini dianggap sesuai untuk tujuan tersebut.
Boca Juniors menentang Pilihan Selangor pada 1982 adalah antara yang paling banyak dikisahkan menampilkan bintang ternama dunia seperti Diego Maradona.
Begitu juga dengan kelab-kelab lain seperti Barcelona, Liverpool, dan Manchester United - semuanya pernah memilih Malaysia sebagai destinasi mengadakan latihan pra musim dan perlawanan persahabatan menentang pasukan-pasukan tempatan sebagai persiapan menghadapi musim baharu.
Antara perlawanan yang mungkin sudah dilupakan atau kurang mendapat liputan adalah perlawanan persahabatan di antara Manchester United dan Sabah pada 1980.
Manchester United di Malaysia
Tidak dapat dinafikan Manchester United adalah salah sebuah kelab Eropah yang mempunyai fan base teramai di negara ini.
Sehingga kini, juara 20 kali Premier League itu telah melakukan lima perlawanan di Malaysia.
Antaranya menentang Pilihan Selangor pada 1995, menentang pasukan negara pada 2001, dan dua lagi perlawanan menentang skuad kebangsaan pada 2009.
Kali pertama Mnchester United menentang pasukan dari Malaysia ialah pada 1980 menentang pasukan dari Borneo, iaitu Sabah yang pada ketika itu dikenali sebagai Sabah FA.
Aksi di Likas
1980 an bukanlah tempoh terbaik buat Manchester United. Di bawah kendalian Dave Sexton, Red Devils mengakhiri saingan Liga Inggeris musim 1979/80 di kedudukan kedua di belakang Liverpool. Di pertandingan Piala FA, mereka hanya berjaya mara sehingga pusingan ketiga dan tidak beraksi di pertandingan eropah sejak beberapa musim.
Kali terakhir Manchester United bergelar juara Inggeris pada ketika itu ialah pada musim 1966/67, iaitu 13 tahun sebelum kunjungan mereka ke Sabah.
Itu antara perkara yang menyebabkan populariti Manchester United di kalangan rakyat Malaysia pada ketika itu rendah berbanding Liverpool yang banyak merangkul kejuaraan liga dan eropah. Tidak keterlaluan untuk kita katakan Manchester United pada era tersebut hanya mendabik dada dengan kemegahan lampau - khususnya menjadi kelab Inggeris pertama bergelar juara eropah pada 1968.
Antara barisan pemain Manchester United yang beraksi di Stadium Likas pada ketika itu adalah seperti kapten pasukan, Martin Buchan, Garry Birtles, Lou Macari, Mike Duxbury, Ashley Grimes, Kevin Moran, Gordon McQueen, Steve Coppell, Joe Jordan dan penyerang sensasi England, Ray Wilkins.
Skuad Sabah pada ketika itu pula dibarisi oleh ramai pemain-pemain yang mewakili pasukan negara. Antaranya adalah seperti Hassan Sani, James Wong, Malim Surat, Vincent Wong dan Dato’ Peter Rajah. Turut memperkuatkan pasukan Sabah pada ketika itu adalah Soh Chin Ann dan penjaga gol skuad kebangsaan, R. Arumugam.
Manchester United minum tapai
Jika perbandingan mahu dilakukan, kemampuan kedua-dua pasukan dianggap seperti langit dan bumi. Namun beraksi di hadapan penyokong sendiri yang dihadiri tidak kurang 10,000 penyokong pada ketika itu, Sabah bertekad untuk memberikan saingan sengit kepada Manchester United.
Mengenang kembali perlawanan tersebut, skuad Sabah berhempas pulas mengekang pemain-pemain Manchester United yang memiliki fizikal yang lebih besar daripada mereka.
Vincent melalui satu perkongsian mendedahkan tugasnya pada waktu itu ialah merantai pemain Joe Jordan yang mendapat jolokan “Jaws” di kalangan peminat Liga Inggeris kerana ketajaman pemain itu di hadapan gawang lawan.
Aksi Hassan Sani (baju hijau) mengekang asakan penyerang Manchester United
Walaupun pasukan Manchester United memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 2-0, Vincent mengatakan bahawa bahang panas di Stadium Likas pada ketika itu sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada pemain berkulit putih.
Sudah menjadi adat setiap tetamu yang berkunjung, pasti akan diberi layanan istimewa di Sabah. Pemain-pemain Manchester United turut diraikan dalam satu majlis makan malam selepas perlawanan, dan pada ketika itulah Joe Jordan, Ray Wilkins dan rakan-rakan dihidangkan dengan minuman tapai.
Sekurang-kurangnya pemain Manchester United sedar pada ketika itu Sabah bukan calang-calang pasukan, atau pun sekadar pasukan belasahan seperti yang dijangka.
Manis, pahit atau masam tapai yang dihidangkan, hanya pemain-pemain Manchester United yang mengetahuinya pada ketika itu.
Sumber
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.sensasimedia.com/2021/07/kisah-manchester-united-minum-tapai.html