Kilang Baharu Jabil Penting Untuk Seluruh Wilayah Utara Titah Raja Perlis
Kepakaran Jabil akan perkukuh ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) di Koridor Utara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah kilang pembuatan Jabil yang baharu di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (Cvia) di Padang Besar bukan sahaja pencapaian bagi Perlis, malah menjadi detik penting untuk seluruh wilayah utara.
Baginda bertitah pelaburan dalam kilang itu bakal mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi, menggalakkan pembangunan kemahiran serta memacu kemajuan teknologi, semua akan memberi manfaat kepada rakyat Perlis dan kawasan sekitarnya.
“Kemudahan itu bukan sahaja mencerminkan komitmen Jabil terhadap kecemerlangan malah berpotensi membuka ruang lebih luas untuk pembangunan industri di Cvia. Apa yang kita saksikan hari ini bukan semata-mata sebuah bangunan, tetapi simbol pertumbuhan, peluang, dan kemajuan.
“Pembinaan ini adalah hasil daripada perancangan rapi, visi dan komitmen bersama dalam usaha membangunkan ekonomi mampan dan berkembang maju untuk negeri kita,” titah baginda menurut Bernama ketika merasmikan pembukaan kilang berkenaan.
Turut berangkat ke majlis itu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (Ncia) Mohamad Haris Kader Sultan.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah sebagai pelabur asing pertama di Cvia, Jabil wajar dicontohi oleh pihak lain dan ini jelas membuktikan Perlis berpotensi sebagai lokasi mengembangkan dan memajukan perniagaan serta berinovasi.
“Kami mewujudkan persekitaran kondusif untuk industri berkembang, lengkap dengan infrastruktur, tenaga kerja, dan lokasi strategik yang diperlukan bagi menarik lebih banyak pelaburan.
“Beta yakin bahawa operasi kilang ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Jabil, malah turut membawa banyak kesan positif kepada masyarakat. Pekerjaan berkemahiran dan peluang yang akan diwujudkan di sini bakal meningkatkan taraf hidup rakyat, mencungkil bakat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” titah baginda.
Raja Perlis bertitah pembinaan kilang yang bermula pada 2022 itu berjaya disempurnakan sepenuhnya pada 2024, hasil kerjasama erat serta komitmen padu semua pihak terlibat, dan beta sukacita kerana kejayaan ini dapat diraikan bersama pada hari pembukaan.
“Sejak dari awal, ia telah menyaksikan kerjasama kukuh yang melibatkan kerajaan negeri Perlis, Ncia, MRCB (Malaysian Resources Corporation Bhd), dan Jabil.”
“Kerajaan negeri melalui Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri dan kerajaan persekutuan menerusi Ncia sentiasa memantau teliti kemajuan projek bagi memastikan ia memenuhi piawaian dan menyumbang kepada pertumbuhan Perlis,” titah Tuanku Syed Sirajuddin.
Baginda bertitah sesi temu duga terbuka diadakan sejak tahun lalu bagi proses pengambilan pertama dan menyambut baik usaha Jabil yang memberi keutamaan kepada penduduk tempatan dalam pengambilan pekerja.
Sementara itu, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Ncer) dalam kenyataan memaklumkan, kemudahan seluas 45,000 kaki persegi itu direka bentuk menyokong pertumbuhan perniagaan Jabil di masa depan, dengan kemudahan ‘Final Assembly, Test and Pack’ (FATP), pemasangan mekanikal sepenuhnya, pemasangan papan litar bercetak dan konfigurasi ‘build-to-order’.
Dalam kenyataan itu, Haris berkata kemudahan itu juga satu mercu kejayaan penting dalam pembangunan industri Perlis, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab pembuatan global.
“Selain menjana pekerjaan bernilai tinggi, projek ini mempercepat pemindahan teknologi dan peningkatan kemahiran, mempersiap tenaga kerja kita untuk ekonomi digital.
“Kepakaran Jabil akan memperkukuh ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) di Koridor Utara, merangsang inovasi dan kemajuan mampan. Ncer akan terus komited memupuk kerjasama strategik yang menjana kemakmuran bersama untuk negara,” katanya. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/04/kilang-baharu-jabil-penting-untuk.html