Kias Di Kelantan Bakal Disita Akibat Gagal Bayar Hutang
Kelantan bakal hilang satu lagi pusat pengajian tinggi swasta apabila Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bahru telah mengeluarkan suatu notis untuk menyita Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) kerana gagal membayar hutang kepada pihak pemaju.
Hutang sebanyak RM 4.1 juta itu gagal dibayar kepada syarikat Indah Serumpun Sdn Bhd hingga mengakibatkan suatu perintah bagi menyita segala harta milik KIAS dikeluarkan pada 26 November lalu.
KIAS yang dipengerusikan oleh Dato Mohd Amar merangkap Timbalan Menteri Besar Kelantan itu difahamkan gagal mematuhi perintah penghakiman oleh Mahkamah yang dikeluarkan pada 22 Oktober lalu hingga menyebabkan suatu perintah penyitaan pula dikeluarkan selepas itu.
Keputusan mahkamah yang memerintahkan KIAS membayar segala hutang kepada pihak pemaju itu dikeluarkan di hadapan peguam yang mewakili pihak Indah Serumpun Sdn Bhd, Zamri Bin Ibrahim dan peguam yang mewakili pihak KIAS, Nik Bahrum Bin Nik Abdullah.
Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) ialah sebuah institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang ditubuhkan di bawah Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (1996) (Akta 555) dikendalikan oleh KIAS Darul Naim Sdn Bhd (KDSB), anak syarikat Akademi Yakin Sdn. Bhd. (AYSB).
Penubuhan KIAS merupakan kesinambungan dari Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) Nilam Puri yang ditubuhkan pada tahun 1965.
Pada 1 April 1981, YPTIK diserapkan ke Universiti Malaya dengan nama Akademi Islam Universiti Malaya (AIUM) yang kemudiannya digabungkan dengan Jabatan Pengajian Islam untuk membentuk Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) pada tahun 1996.
Kerajaan Negeri melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) menubuhkan Maahad Dakwah Wal Imamah pada 1994 hasil cetusan idea YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Hj. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan pada waktu itu.
Maahad Dakwah Wal Imamah dirangka semula dengan penubuhan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) pada tanggal 24 Ogos 1999 yang dirasmikan oleh KDYMM Sultan Ismail Petra, Sultan Kelantan Darulnaim.
sumber : klatedaily
The post KIAS di Kelantan bakal disita akibat gagal bayar hutang appeared first on Suara Viral Malaysia.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suaraviral.org/kias-di-kelantan-bakal-disita-akibat-gagal-bayar-hutang/