Khai Bahar Ikut Kelas Lakonan
Kejayaan demi kejayaan yang diraih penyanyi popular, Khai Bahar sepanjang tiga tahun pembabitan sebagai anak seni dianggap pencapaian terbaik dirinya.
Bukan saja cemerlang menerusi deretan anugerah dimenangi, malah Khai, 25, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berjaya meletakkan dirinya sebagai pelapis kepada penyanyi sedia ada.
Tidak hanya menyanyi, Khai turut berkebolehan dalam bidang penciptaan dan penulisan lirik lagu.
Terbaharu, Khai yang popular menerusi lagu Luluh bakal bergelar pelakon apabila terbabit dalam projek drama lakonan bersama penyanyi Siti Nordiana.
Menurut Khai, dia akan mengikuti kelas lakonan sebagai persediaan untuk berlakon memandangkan ia pembabitan pertamanya dalam bidang itu.
“Insya-Allah, penggambaran akan dimulakan hujung bulan ini. Cuma, buat masa sekarang saya belum dimaklumkan watak dan jalan cerita. Apa yang pasti ia adalah adaptasi novel.
“Memandangkan ini percubaan pertama saya berlakon, jadi bagi saya perlu ada asas dalam lakonan. Disebabkan itu, saya mengambil inisiatif untuk pergi kelas lakonan bersama Kak Nana (Siti Nordiana).
“Apabila sudah bersetuju untuk berlakon, mahu atau tidak saya kena bersedia. Jadi, saya perlu mempersiapkan diri dengan sebaiknya sebelum masuk lokasi,” katanya.
Khai berkongsi, antara sebab utama dia menerima tawaran itu kerana bergandingan dengan Siti Nordiana.
Itu sekali gus mengubah pendirian Khai yang pada awal kemunculan belum bersedia menjadi pelakon.
“Dulu saya tidak buat sebab tak ada masa. Namun, sekarang saya berasakan sudah tiba waktu untuk mencuba sesuatu yang baru. Apatah lagi, apabila dimaklumkan gandingan Kak Nana, saya okey.
“Kalau diberitahu dengan orang lain, mungkin saya berat hati nak terima. Sebabnya, saya dengan Kak Nana sudah rapat dan tahu perangai masing-masing.
“Kalau dengan orang lain, mungkin susah sikit nak biasakan diri. Pada masa sama, Kak Nana boleh ajar saya,” katanya.
ALBUM BARU
Dalam perkembangan lain, Khai baru melancarkan secara rasmi album sulungnya, Air Mata. Album yang mengandungi 11 lagu itu memuatkan enam single terdahulu dan lima lagu baharu.
Daripada lima lagu baru itu, tiga adalah hasil ciptaan sepenuhnya Khai iaitu Air Mata, Keranamu dan Dia. Dua lagi lagu ciptaan Manusia Putih.
“Kalau tanya secara peribadi, semua lagu sedap dan ada kelebihan masing-masing tetapi jika diminta pilih saya sukakan lagu Penantian. Bagi saya, lagu ini mesra dan boleh layan.
“Untuk tiga lagu ciptaan sendiri, saya buat supaya senang orang nak nyanyi. Sebagai contoh, peminat boleh nyanyikan semula dan ikut saya menyanyi dalam persembahan.
“Memandangkan ini album sulung, jadi penghasilannya dibuat secara teliti dan bukan tergesa-gesa. Saya mahu peminat merasai sendiri melodi dan lirik lagu yang ada,” katanya.
Sesuatu yang menarik buat album itu apabila ia sudah terjual lebih 4,000 unit selepas mula diedarkan sejak 21 Julai lalu.
“Pihak NAR Records mencetak 5,000 unit untuk cetakan pertama ini. Difahamkan, kalau habis mereka akan buat cetakan seterusnya.
“Sejujurnya, saya tidak menjangka sambutan hebat diberikan untuk album pertama ini. Apatah lagi sekarang bukan trend penyanyi mengeluarkan album selain kuasa membeli yang semakin berkurangan dalam kalangan peminat.
“Saya berterima kasih kepada pihak NAR atas penerbitan album ini. Walaupun saya bukan lagi artis mereka, masih sudi merealisasikan impian saya,” katanya kepada Rap.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://artismeletop.blogspot.com/2019/08/khai-bahar-ikut-kelas-lakonan.html