Ketua Wanita Pkr Kritikan Azmin Benar Tak Bersifat Peribadi
MALAYSIAKINI        
Ketua Wanita PKR Haniza Talha mempertahankan kritikan Mohamed Azmin  Ali bahawa pelantikan jawatan bagi kepimpinan parti itu yang diumumkan  semalam mengabaikan prinsip "perwakilan yang adil dan saksama".
Beliau berkata ia dapat dilihat dengan kurangnya pemilihan pemimpin wanita dalam senarai yang diumumkan semalam.
"Apa  yang dikatakan timbalan presiden (Azmin) benar, yang mana perwakilan  yang adil dan saksama juga termasuk sekurang-kurangnya 30 peratus  pemimpin wanita," katanya dalam kenyataan hari ini.
"Sayangnya  perkara ini seolah-olah dipinggirkan oleh presiden," katanya yang  terkilan apabila Anwar menyifatkan kritikan Azmin bersifat peribadi.
Daripada kalangan 14 yang dilantik dalam barisan kepimpinan PKR semalam, hanya seorang wanita yang dipilih - Rayyan Abdul Rahim.
Hanya  sembilan pemimpin wanita (16 peratus) yang berada dalam Majlis Pimpinan  Pusat (MPP) parti itu - yang terdiri daripada 40 pemegang jawatan,  ketua wanita, ketua pemuda dan 14 pengerusi negeri.
Beliau berharap Anwar selaku presiden tidak bersikap "bias" dan melihat teguran berhubung perkara itu secara positif.
Dalam  senarai yang diumumkan semalam, antara yang paling menarik perhatian  adalah pelantikan Rafizi Ramli - pencabar Azmin dalam pemilihan lalu -  sebagai naib presiden dan Saifuddin Nasution Ismail yang dipilih sekali  lagi sebagai setiausaha agung.
Menjawab kritikan Azmin, Anwar hari ini berkata beliau mahu bersikap inklusif dan turut melantik pemimpin daripada kem Azmin.
Sementara  itu, naib ketua pemuda Nazree Mohd Yunus dan naib ketua wanita  Sangheeta Jayakumar dalam kenyataan bersama turut berharap Anwar  meneliti semula pelantikan yang dibuat agar "selaras dengan hasrat akar  umbi PKR".
"Pemilihan PKR lalu adalah referendum anggota yang  jelas menyatakan aspirasi mereka tentang corak kepimpinan dan masa depan  parti yang ingin dilakar," kata mereka. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2018/12/ketua-wanita-pkr-kritikan-azmin-benar.html