Kesiannya Tiada Satu Pun Kerusi Putih Buat Pn Di Melaka
MELAKA: Berbaki tiga hari sahaja lagi, bahang persaingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin sengit apabila tiada mana-mana parti yang mendahului dari segi sokongan untuk meraih majoriti mudah 15 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.
Walaupun begitu, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dijangka mengekalkan penguasaan di kubu kuat masing-masing manakala Perikatan Nasional (PN) yang pertama kali turun dalam saingan berdepan dengan isu memenangi keyakinan pengundi.
Jika PN menang di tiga kerusi yang dikatakan memihaknya kepadanya tetapi masih berstatus kelabu iaitu Bemban, Tanjung Bidara dan Kelebang, maka tidak ada parti yang akan memperoleh majoriti mudah.
Sumber dalaman parti dan penganalisis politik berkata, ada kemungkinan keputusan PRN Melaka akan mengulangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksikan PH menang 15 kerusi manakala BN meraih 13 kerusi.
Bagaimanapun, ramalan itu boleh berubah pada saat-saat akhir jika berlaku pusingan U dan kejutan dalam kalangan pengundi atas pagar berikutan tiada isu-isu panas yang membawa angin perubahan dalam kalangan pengundi seperti 1MDB dan isu penyelewengan kerajaan.
Sehingga semalam, difahamkan, BN terutamanya UMNO sudah mengenal pasti 13 kerusi yang dijangka mampu dimenangi iaitu Kuala Linggi, Ayer Limau, Lendu, Asahan, Rembia, Sungai Udang, Pantai Kundor, Rim, Merlimau, Sungai Rambai, Ayer Molek, Telok Mas dan Duyong.
“Ramalan ini berdasarkan gerak jentera BN nyata lebih tersusun mendekati rakyat di setiap DUN ketika prosedur operasi standard (SOP) menyukarkan calon untuk bertemu pengundi,” katanya.
Majoriti undi kaum Cina dan sebahagian pengundi atas pagar dijangka memihak kepada DAP untuk lapan kerusi ditandingi parti itu manakala selebihnya ditandingi rakan sekutunya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Kata seorang pemimpin yang enggan namanya disiarkan, begitupun beberapa kerusi lagi peluangnya adalah 50-50, contohnya Tanjung Bidara, Taboh Naning, Kelebang, Durian Tunggal dan Serkam.
Dalam pada itu, sentimen dan peratusan rakyat keluar mengundi juga menjadi penentu kemenangan calon-calon PH terutama DAP di empat kerusi panas yang ditandingi iaitu Bemban, Pengkalan Batu, Gadek dan Duyong.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, pengundi atas pagar bakal menjadi penentu PRN kerana mereka masih belum membuat keputusan untuk memihak kepada siapa.
Katanya, berdasarkan kajian dilakukan beliau terhadap 4,000 responden baru-baru ini mendapati 40 peratus pengundi adalah kumpulan atas pagar manakala selebihnya adalah pengundi setia terdiri dalam kalangan ahli UMNO.
“Secara umumnya, BN boleh menang PRN Melaka kerana berdasarkan faktor kekuatan akar umbi dan pengundi setia. Malah, pencalonan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri yang popular dalam kalangan rakyat Melaka memberi kelebihan kepada BN,” katanya.
Namun, PH juga ada kelebihan sokongan pengundi bukan Melayu dan atas pagar yang berkemungkinan menyebelahi mereka menjelang hari pengundian Sabtu ini.
Calon PH kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, sentimen pengundi pada kali ini amat berbeza berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), apabila pencapaian setiap parti yang bertanding akan menjadi rujukan.
Jelas beliau, tiga blok terbesar iaitu PH, BN dan PN, masing-masing pernah menerajui kerajaan negeri.
“Melaka dipimpin BN sejak dahulu lagi dan selepas tsunami rakyat pada 2018, kerajaan negeri bertukar tangan kepada PH dan Langkah Sheraton memberi peluang kepada PN untuk mentadbir. Setiap parti sudah ada pencapaian yang hendak diuarkan-uarkan kepada rakyat.
“Yang membezakannya adalah kredibiliti kerajaan dan sejauh mana pencapaian itu benar-benar memanfaatkan rakyat secara keseluruhannya. Rakyat tidak mahu kerajaan yang pandai berjanji, tetapi mesti dibuktikan menerusi tindakan,” katanya.
Sementara itu, PKR yakin memenangi semua 11 kerusi ditandinginya, sekali gus menyumbang kepada kemenangan PH dalam PRN Melaka.
Pengerusi PKR Melaka, Datuk Halim Bachik berkata, perkara itu berdasarkan hasil tinjauan orang ramai menerusi kempen yang berlangsung sejak 8 November lalu.
Katanya, ukuran itu memberikan harapan besar kepada PKR untuk menang kerusi ditandingi, lantas menyumbang kemenangan PH dalam membentuk kerajaan negeri.
Menyentuh mengenai peluang PN pula, blok tersebut perlu mengakui hakikat bahawa mereka tidak mempunyai walaupun satu kerusi putih, meskipun bertanding di kesemua 28 DUN.
Sumber dalaman parti memaklumkan, buat masa ini PN hanya mempunyai tiga kerusi kelabu iaitu Tanjung Bidara, Bemban dan Kelebang.
Katanya, PN tidak boleh berharap kepada kerusi Paya Rumput dan Telok Mas, meskipun kedua-duanya disandang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dimenangi pada PRU-14.
“Setakat hari ini (semalam), kita hanya nampak cahaya di tiga DUN iaitu Tanjung Bidara, Bemban dan Kelebang. Memang Paya Rumput dan Telok Mas disandang wakil rakyat Bersatu, tapi ia bukan dimenangi atas tiket PN, sebaliknya guna tiket PKR pada PRU 2018.
“Jadi tak boleh nak cakap ia kerusi putih. Parti memang letak harapan tinggi pada Datuk Mas Ermieyati Samsudin selaku calon di Tanjung Bidara. Kelebang dan Bemban pula kita bergantung kepada sentimen pengundi Melayu memandangkan BN dan PH letak calon bukan Melayu di situ,” katanya. - UTUSAN
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.anaksungaiderhaka.com/2021/11/kesiannya-tiada-satu-pun-kerusi-putih.html