Kes Adib Keputusan Inkues Tak Mengikat Siasatan Polis Kata Igp
MALAYSIAKINI

Pasukan  Kajian Semula berhubung kematian Muhammad Adib Mohd Kassim bukan  bermakna tidak menghormati keputusan Mahkamah Koroner dalam inkues  menyiasat punca kematian anggota bomba itu, kata Ketua Polis Negara  Abdul Hamid Bador.
Abdul Hamid berkata, keputusan Mahkamah Koroner  tidak mengikat mana-mana pihak untuk mencari bukti dan dapatan baru,  sebaliknya penemuan dan dapatan baru akan dapat menentukan sama ada  keputusan inkues boleh disokong sepenuhnya atau tidak.
Berhubung  inkues yang dijalankan di Mahkamah Koroner, beliau berkata ia bukanlah  satu prosiding di mana ada pihak berlawanan - seperti perbicaraan di  mahkamah biasa - dan aspek keterangan dan kredibiliti saksi juga tidak  begitu ketat.
"Hanya perbicaraan di peringkat mahkamah jenayah  akan menentukan keputusan yang konklusif, holistik dan mengikat pihak  berkepentingan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 10 Julai lalu, Abdul Hamid berkata polis bercadang menubuhkan Pasukan Kajian Semula bagi menyuasat semua aspek kes kematian Adib,yang menjadi perhatian negara pada akhir 2018.
Menurutnya,  antara sebab cadangan itu ialah terdapat percanggahan pendapat oleh dua  pakar patologi yang menjalankan bedah siasat.
Beliau turut  memaklumkan sejak keputusan Mahkamah Koroner tahun lepas - yang  memutuskan Adib maut akibat perbuatan jenayah oleh "dua atau lebih orang  yang tidak dikenali" - polis telah memanggil semula 31 saksi inkues dan  52 saksi baru.
							Bagaimanapun, cadangan itu dibantah pihak keluarga Adib yang berpandangan polis perlu menjuruskan siasatan berdasarkan keputusan Mahkamah Koroner kerana ia "tidak pernah dicabar  mana-mana pihak melalui proses rayuan atau semakan yang sah".
"Justeru,  kami dengan tegas menolak sebarang keperluan untuk siasatan semula  punca kematian kononnya melalui satu “pasukan kajian semula'," kata  keluarga Adib dalam satu kenyataan melalui peguam mereka.
Keluarga  Adib juga berkata tidak adil untuk Abdul Hamid berkata tiada saksi mata  yang dapat mengesahkan Adib dibunuh kerana isu itu telah dijelaskan  dalam inkues.
Mereka juga menafikan bahawa semua 31 saksi inkues  telah dipanggil semula dan mendakwa ayah Adib serta beberapa saksi utama  lain tidak pernah dipanggil.
Tiga isu untuk siasatan lanjut
Dalam  kenyataan hari ini, Abdul Hamid menegaskan keputusan inkues hanyalah  panduan kepada polis setelah meneliti keterangan saksi dan polis boleh  terus menjalankan siasatan dari pelbagai aspek bagi "menyiasat segala  kemungkinan".
"Terdapat kebarangkalian hasil siasatan lanjut akan tidak selaras dengan keputusan Mahkamah Koroner," katanya lagi.
Beliau  juga sekali lagi berkata setakat ini tiada saksi yang benar-benar  melihat kejadian itu, dengan semua keterangan bersifat "hearsay" dan  pandangan.
Katanya lagi, beberapa isu memerlukan siasatan lanjut ekoran keputusan inkues iaitu Adib diserang dua atau lebih orang.
"Jika  benar, pastinya wujud kesan serangan. Pasukan siasatan masih  memperhalusi perkara ini bagi mendapatkan suspek sebenar atau sebarang  petunjuk yang memungkinkan tangkapan.
"Pasukan juga menyiasat  lanjut ke atas saksi yang tidak konsisten dalam tiga peringkat rakaman  percakapan. Begitu juga dengan saksi lain inkues kerana ada yang  mendedahkan beberapa maklumat dan keterangan baru.
"Isu pengisytiharan kematian (dying declaration)  perlu disiasat lanjut kerana ia dikemukakan semasa inkues tanpa  dicabar, dinilai kredibiliti serta kesahihannya," katanya, sambil  menambah antara yang perlu diteliti adalah kemampuan arwah memberi  respons ke atas 15 soalan berkenaan pengisytiharan kematian serta  kesahihan kejadian menurut saksi.
Beliau berkata, sebagai  menghormati keputusan Mahkamah Koroner, siasatan kes Adib tidak pernah  ditutup dan masih diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu  bagi kesalahan bunuh.
"Tangkapan akan dibuat jika ada bukti dan keterangan baru sepertimana yang telah dilakukan (sebelum ini)," katanya lagi.
Muhammad  Adib, 24, yang merupakan anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan  Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman,  USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia di Institut  Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/kes-adib-keputusan-inkues-tak-mengikat.html