Kerjasama Pas Umno Menepati Kaedah Fiqh
Kerjasama strategik PAS-UMNO menepati kaedah Feqah menurut Siyasah Syariah (Politik Islam). Pertamanya ialah Fiqh Muwazanah (pertimbangan) yang dimaksudkan Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bererti “membuat pertimbangan yang wajar dalam beberapa perkara untuk dipilih menjadi keputusan yang terbaik dari segi Maqasid As-Syariah (tujuan mencapai matlamat menegakkan Islam), bukannya meninggalkan syariat”. Keputusan bekerjasama dengan UMNO dan mengelakkan tiga penjuru menjelang PRU-15 kelak bakal memberi tamparan hebat kepada lawan politik Melayu-Islam dalam Pakatan.
Seterusnya dari perspektif Fiqh Waqi’ (setempat) atau realiti atau fakta, yakni yang dimaksudkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai “perkara yang benar-benar berlaku dalam masyarakat, khususnya yang berkait dengan perkara yang mengalami perubahan apabila berlainan zaman dan situasi, sama ada zaman yang berbeza atau daerah yang berbeza jarak jauhnya di antara satu sama lain, serta berlainan kefahaman manusia dan kemampuan”. Demikianlah UMNO hari ini bukan lagi UMNO yang dahulu, dimana UMNO hari ini lunak dengan agenda ‘Islam Memimpin’ oleh PAS. Kerajaan Pusat hari ini juga bukan kerajaan pusat yang dahulu di mana segmen Melayu-Islam kelihatan lemah berhadapan campur tangan bukan Melayu-Islam yang lantang dan lancing saban hari dalam isu hal ehwal agama Islam.
Perspektif ketiga ialah Fiqh Aulawiyyat (keutamaan) yang menurut Tuan Guru Abdul Hadi Awang bermaksud “memilih keutamaan daripada beberapa pendekatan, apabila tidak ada pilihan yang lain melainkan memilih yang lebih membawa maslahah (yang terbaik dari segi kebaikan atau manfaat) dalam perkara agama dan dunia, di antara perkara-perkara yang disenaraikan semuanya baik…Begitu juga dalam aspek menolak keburukan dengan memilih yang lebih ringan keburukan atau kurang mudharatnya, apabila tidak ada cara yang lain dalam perkara yang disenaraikan”. Kerjasama dengan UMNO mengundang maslahat politik Melayu-Islam di Malaysia yakni penguasaan ke atas kuasa eksekutif, manakala kerjasama dengan Pakatan berisiko seperti kes YB Raja Kamarul Bahrin (Amanah) yang menyokong pelaksanaan sebat ke atas pasangan lesbian Terengganu, tetapi kemudiannya ditolak hebat oleh Tun Mahathir yang jelas apologetik dan tiada ‘izzah memelihara dan mengangkat kemuliaan Islam secara bertahap-tahap.
Fiqh Ma’alat (implikasi hukum) menurut Tuan Guru Abdul Hadi Awang maksudnya ialah “memahami dan mengambil kira natijah atau akibat yang positif atau negatif disebabkan daripada melaksanakan sesuatu hukum, sama ada dalam perkara wajib, haram atau harus”. Contoh menarik yang disebut Presiden PAS berkenaan ialah cara Rasulullah S.A.W “merahsiakan perkara strategik atau menyembunyikan beberapa tindakan yang diambil mengikut hukumnya kerana mengambil kira akibat selepasnya seperti menangguhkan tindakan meroboh berhala di sekitar Kaabah sebaik sahaja Fathu Makkah…Tujuannya mengambil kira tahap kefahaman penduduk Makkah baru sahaja menganut Islam dan mempersucikan Kaabah secara jahiliah”.
ABDU HADI AWANG
MR : Aqidah itu 'Kaedah'
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mindarakyat.blogspot.com/2020/06/kerjasama-pas-umno-menepati-kaedah-fiqh.html