Kerjasama Do Or Die Antara Najib Dan Zaid Ibrahim
Sejak dua hari lalu, hampir semua orang bercakap tentang tindakan Najib Razak menamatkan serta-merta khidmat peguam Shafee Abdullah dalam rayuan akhir kes SRC International di Mahkamah Persekutuan dan menggantikannya dengan pasukan pasukan baru yang diketuai Zaid Ibrahim.
Pelbagai pro dan kontra telah diulas oleh banyak pihak dan semuanya boleh dibaca di beberapa medium media yang dengan mudah didapati melalui gajet dalam genggaman masing-masing.
Sementara ramai menyifatkan tindakan Najib itu lebih bertujuan untuk melengahkan masa dan menangguhkan lagi kesnya, khidmat peguam Shafee sebetulnya memang dirancang sejak awal untuk dikurangkan berikutan permohonan menggunakan khidmat peguam diraja daripada London dalam rayuan terakhir ini.
Berikutan permohonan untuk mendapatkan khidmat peguam diraja itu ditolak oleh mahkamah, itulah yang mendorong perlantikan Zaid untuk mengetuai pasukan peguam baru dalam rayuan akhir bekas Perdana Menteri itu.
Dengan peguam senior Hisham Teh Poh Teik dipersetujui sebagai peguam utama yang akan muncul di mahkamah dalam rayuan akhir itu, ini bermakna anak tempatan sendiri akan mengetuai kes rayuan Najib itu nanti, sesuai dengan saranan pelbagai pihak bahawa kebolehan peguam Malaysia sendiri tidak kurang hebatnya.
Serentak dengan itu, rayuan terhadap keputusan mahkamah yang menolak khidmat peguam diraja daripada London turut telah ditarik balik.
Soal sama ada perbicaraan akan ditangguh atau diteruskan sebagaimana telah ditetapkan pada 15 hingga 26 Ogos depan berikutan perlantikan pasukan peguam baru, segala-galanya terserah kepada mahkamah membuat keputusan.
Memang penangguhan telah dipohon, tetapi ia belum diluluskan lagi dan belum pasti juga akan diluluskan.
Jika permohonan penangguhan ditolak, ini bermakna Zaid dan pasukannnya akan bekerja siang dan malam mulai sekarang mengejar kesuntukan masa sebelum benar-benar bersedia pada perbicaraan yang telah ditetapkan tarikhnya itu.
Cuma, kalau penangguhan diberi, ia mampu memberi sedikit kelegaan untuk Zaid dan pasukan beliau meneliti beribu-ribu helai dokumen berkaitan kes SRC International itu.
Begitu pun, penangguhan, kalau pun diberi, ia tidak mungkin terlalu lama, malah boleh jadi hanya sebulan atau dua bulan saja.
Ini bermakna, tempoh penangguhan yang mungkin diperolehi itu tidak memberi banyak manfaat kepada Najib kerana mahu tidak mahu, perbicaraan tetap akan dihadapi juga akhirnya.
Lagi pula, yang utama bagi Najib sekarang bukan lagi sekadar penangguhan atau melengahkan masa, tetapi mencari kemenangan dan melepaskannya daripada dihantar ke penjara.
Yang pasti, baik daripada segi tindakan Najib melantik Zaid mengetuai kes rayuannya atau persetujuan Zaid menerima perlantikan daripada Najib itu, kedua-duanya adalah keputusan “do or die” atau antara hidup dan mati buat mereka.
Najib tidak mungkin melantik Zaid dan pasukan peguamnya itu kalau tidak disertai dengan keyakinan yang tinggi terhadap kemampuannya kerana peguam sebelum ini, Shafee adalah peguam ternama dan diakui kebolehannya.
Sudah tentu ada elemen atau kelebihan tertentu yang dipercayai dan diyakini Najib yang ada pada Zaid yang membuatkan Najib setuju menggunakan khidmat pasukannya.
Ini kerana jika gagal melalui khidmat pasukan Zaid ini, destinasi Najib seterusnya ialah penjara.
Tiada rayuan lain lagi selepas ini.
Demikian itu, tindakan Najib mengenepikan Shafee dan melantik Zaid sebagai peguam baru adalah keputusan “do or die” untuk mengelakkan dirinya daripada dipenjara.
Begitu juga dengan Zaid, jika tidak ada keyakinan di pihaknya, tidak mungkin beliau setuju menerima tawaran atau perlantikan mengetuai pasukan membela Najib itu.
Beliau akan menerima laluan buruk jika gagal, malah tidak mustahil ada pihak tertentu yang tergamak menyalahkannya seratus-peratus.
Sebagai peguam ternama dan pernah tercatat sebagai peguam Melayu yang memiliki firma guaman terbesar di negara ini, malah beberapa personaliti ternama pernah berkhidmat di syarikatnya sebelum ini, tentulah tidak mungkin beliau setuju menerima tawaran jika tahu laluan suram ada di depannya.
Kalau kalah bermakna awan mendung akan menyelubungi nama dan kehidupannya, bahkan kegagalan melepaskan Najib itu lebih diingati oleh ramai orang.
Tetapi, jika berjaya, bukan saja Najib dan penyokongnya akan terhutang budi, malah nama Zaid akan mengharum serta mencanak sehingga melepasi awan.
Zaid barangkali dalam hal ini ada perspektif baru yang mampu dihujahkan melalui Hisham Teh Poh Teik di Mahkamah Persekutuan nanti yang kita semua tidak tahu atau terfikir mengenainya dengan tujuan membatalkan keputusan mahkamah yang terdahulu.
Do or die – baik untuk Najib atau Zaid, menang dan terus ‘hidup’ adalah satu-satunya pilihan yang mesti diusahakan di Mahkamah Persekutuan nanti. – ShahbudinHusin 28/07/2022.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2022/07/kerjasama-do-or-die-antara-najib-dan.html