Kerana Cinta Aku Derhaka
Tajuk : Kerana Cinta Aku Derhaka - Travelog Menjejak Sejarah Johor LamaPenulis : Syed Azharul AsriqPenerbit : Jejak TarbiahTahun terbit : 2017Jumlah muka surat : 266Harga : RM25
Buku travelog berkenaan sejarah Johor Lama ini selesai dibaca sekitar minggu lepas. Saya membelinya pada kunjungan pertama ke sebuah galeri buku - Jejak Tarbiah yang terletak di Bangi. Ini juga merupakan buku pertama yang saya selesai baca untuk tahun 2020. Harapnya moga lebih banyak buku saya mampu baca untuk tahun ini
SINOPSISBuku travelog ini mencatatkan pengembaraan penulis untuk mencari hikmah sejarah di Kota Tinggi, Johor. Mengapa di Kota Tinggi? Kerana di situlah bermulanya Kesultanan Johor yang diasaskan oleh putera Sultan Melaka. Juga di situlah Tun Sri Lanang dilahirkan dan buku Sejarah Melayu mula ditulis
Sambil kita mengikuti kisah pengembaraan penulis ke lokasi-lokasi bersejarah di Kota Tinggi, penulis turut menceritakan kisah sejarah berkaitan lokasi tersebut. Penceritaan begini memudahkan kita memahami peristiwa yang berlaku. Berbeza dengan membaca teks sejarah yang biasanya akan membuat minda terasa lebih berat untuk menghadam dan memahami faktanya
PETIKAN BUKU
Secara tiba-tiba, Laksamana Bentan memekik tepat pada wajah Sultan Mahmud, "Patik derhaka, Tuanku!" Megat Seri Rama (Laksamana Bentan) terus melibaskan parangnya pada Sultan! Sultan Mahmud terjatuh ke tanah dalam keadaan luka berdarah dilibas Laksamana. Darah raja yang berwarna merah tumpah ke bumi. Libasan Laksamana membuktikan warna darah raja sama saja dengan darah rakyat biasa. Darah akan dibalas dengan darah, darah Dang Anum akan dibalas dengan darah Sultan! (petikan dari bab - Jumaat Berdarah 1699)
Buku travelog ini tentu lebih menarik dibaca jika disertakan gambar berwarna. Atau mungkin sekurang-kurangnya beberapa gambar terpilih pun memadai supaya pembaca dapat gambaran penceritaan yang lebih jelas
Selaku anak kelahiran Johor, rupanya masih terlalu banyak yang saya tak ketahui berkenaan sejarah negeri Johor. Antaranya, baru saya tahu kewujudan 8 buah kota lama di sepanjang Sungai Johor. Membaca buku travelog ini juga seolah-olah membawa saya bersama melawat lokasi-lokasi bersejarah di Kota Tinggi dan memahami serba sedikit sejarah silam Kesultanan Johor
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2020/01/kerana-cinta-aku-derhaka.html