Kerajaan Tegas Tanpa Kompromi Banteras Kartel Tipu Bidaan Pm Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan bertulis daripada ahli parlimen Bukit Bintang pada 6 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 7 Okt – Kerajaan mengambil pendirian tegas dengan tidak berkompromi dalam membanteras kewujudan kartel di pelbagai peringkat yang menjejaskan pentadbiran, ekonomi serta pembangunan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, usaha berterusan kini sedang dilaksanakan bagi memperkukuh kawal selia dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan supaya ekosistem persaingan pasaran kekal adil, telus dan berdaya saing.
Menjelaskan demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata, sehingga kini, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sudah mengambil tindakan terhadap 270 syarikat dengan jumlah penalti kewangan keseluruhan sebanyak RM687.4 juta.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha berterusan kini sedang dilaksanakan bagi memperkukuh kawal selia dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan supaya ekosistem persaingan pasaran kekal adil, telus dan berdaya saing. Foto Facebook Anwar Ibrahim“Selain itu, sebanyak 14 kes kartel bida membabitkan 563 syarikat serta satu kes kartel penetapan harga membabitkan 31 perusahaan sedang disiasat agensi berkenaan. Kerajaan MADANI sentiasa memberi perhatian serius dan tidak akan berkompromi dalam membanteras kewujudan kartel yang mengancam kelancaran pembangunan negara.
“Langkah berterusan kini adalah dengan meningkatkan keberkesanan kawal selia bagi memperkukuh ekosistem persaingan dan mencegah penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran selaras dengan teras tadbir urus baik di bawah Ekonomi MADANI,” katanya.
Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai sejauh mana urusan pentadbiran dan ekonomi negara dipengaruhi kewujudan kartel di pelbagai peringkat serta langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang diambil kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 di Dewan Rakyat. Foto BernamaDalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, berkata antara langkah utama yang diambil termasuklah dengan memperkasakan tindakan penguatkuasaan merentasi pelbagai kementerian dan agensi seperti MyCC, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“MyCC yang ditubuhkan bagi menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 (Akta 712), mempunyai kuasa memulakan siasatan melalui empat kaedah utama iaitu inisiatif sendiri (ex officio), aduan awam, arahan menteri, serta rejim kelonggaran (leniency regime) bagi mendapatkan maklumat daripada pihak terbabit dalam aktiviti antipersaingan.
“Agensi itu juga melaksanakan tujuh kajian pasaran strategik dalam sektor seperti pertanian, pengangkutan dan perkhidmatan bagi mengenal pasti isu persaingan serta mencadangkan dasar yang sesuai untuk memastikan pasaran kekal sihat dan berdaya saing,” katanya.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi menjawab pertanyaan-pertanyaan menteri ketika Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 19 Ogos 2025. Foto BernamaSelain MyCC, kerajaan turut memberi jaminan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat sebarang aduan berkaitan kartel, sekali gus membuktikan iltizam kerajaan dalam membela kepentingan rakyat dan memastikan persaingan pasaran yang adil.
– Oleh Noor Atiqah Sulaiman
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/10/kerajaan-tegas-tanpa-kompromi-banteras.html