Kerajaan Tak Tolak Kemungkinan Keperluan Dos Ke 3 Vaksin Covid 19
Nora Mahpar
Menteri Khairy Jamaluddin berkata setakat ini tiada data berkenaan keperluan dos ketiga vaksin Covid-19. (Gambar Bernama)PUTRAJAYA: Kerajaan tidak menolak kemungkinan keperluan suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 selepas setahun suntikan kedua diambil.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata, setakat ini tiada sebarang data berkenaan keperluan dos ketiga, namun Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin (JKJAV) akan merancang untuk tempoh jangka panjang kemungkinan perlunya vaksin dos ketiga pada masa hadapan.
“Bagi dos ketiga, kita belum tahu lagi sebab itu hanya pandangan pihak Pfizer, mungkin perlu ada ‘booster’ dos ketiga.
“Namun setakat ini kita tiada sebarang data berkenaan keperluan dos ketiga itu, namun KKM dan JKJAV akan merancang untuk tempoh jangka panjang jika ada kemungkinan vaksin ini diperlukan untuk tahun-tahun akan datang. Kita belum tahu lagi,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, mengenai perkembangan program vaksinasi.
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Operasi Pfizer, Albert Bourla berkata, suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 mungkin diperlukan dalam tempoh setahun selepas menjalani inokulasi.
Pfizer pada awal bulan ini menerbitkan satu kajian mengatakan suntikan vaksin itu berkesan sehingga 91% untuk melindungi penerimanya daripada virus.
Ia juga 95% berkesan dalam mengatasi komplikasi teruk akibat Covid-19 sehingga enam bulan selepas suntikan kedua dilakukan, namun memerlukan kajian lebih lanjut.
Vaksin Pfizer, yang dibangunkan dengan kerjasama BioNTech, ketika ini memainkan peranan utama dalam kempen vaksinasi di seluruh dunia.
Syarikat farmaseutikal gergasi itu pada Februari lalu mengumumkan ia sedang menguji dos ketiga vaksin itu bagi menambah keberkesanannya melawan varian baharu virus.
Mengenai keputusan kerajaan berhubung penggunaan vaksin AstraZeneca, Khairy yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, ia akan diputuskan dalam mesyuarat JKJAV Khamis ini.
Sementara itu, mengenai kumpulan sukarelawan kajian klinikal fasa 3 vaksin buatan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences, China (IMBCAMS), Adham berkata, 3,000 sukarelawan yang sudah disuntik dengan vaksin berkenaan tidak perlu divaksin dengan mana-mana vaksin Covid-19 kerana mereka adalah golongan yang terlindung.
“Ujian ini khusus untuk mereka dan kajian ini berlangsung selama 13 bulan. Jadi kita nasihatkan mereka perlu amalkan kawalan kendiri dengan mengutamakan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka,” katanya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/04/kerajaan-tak-tolak-kemungkinan.html