Kerajaan Susah Tumbang Tapi Sukar Kekalkan Kuasa Apa Lagi Jika Rafizi Buat Hiruk Pikuk
29 May 2025
Semalam, dua menteri daripada PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, meletak jawatan sebagai anggota kabinet.
Selain berita itu mencetuskan sedikit keributan sehingga cuaca panas berhari-hari berubah jadi mendung, ramai yang kemudian bertanya – siapa lagi akan meletak jawatan?
Apakah ada kemungkinan kerajaan akan tumbang sebelum PRU16?
Beberapa jam selepas itu, tersebar pula berita kononnya 11 Ahli Parlimen PKR, termasuk Rafizi dan Nil Nazmi, akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Jumaat ini.
Begitu pun, berita itu adalah palsu di mana Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang telah tampil menafikannya dan menyifatkan dakwaan itu sebagai mengarut.
Tidak pasti siapa yang menyebarkan berita palsu itu, tetapi diharapkan, sama ada kerajaan atau pembangkang, mereka tak usahlah mudah termakan dengan provokasi itu.
Hakikatnya ketika ini, kerajaan tak perlu gundah gulana dan pembangkang pula janganlah tiba-tiba syok pula.
Secara realiti, sukar untuk kerajaan bertukar pada waktu ini, meskipun setelah Rafizi dan Nik Nazmi meletakkan jawatan sebagai menteri.
Pembangkang juga susah untuk mengambil alih kerajaan kerana tidak kelihatan mereka ada berusaha.
Meski perletakan jawatan dua menteri itu tidak mampu menjatuhkan kerajaan, tetapi ia sebenarnya memberi kesan besar kepada PH pada PRU16 akan datang.
Perletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi serta bagaimana banyak perkara telah diluah dan didedahkan ketika Jelajah HIRUK, paling jelas ketika ini ialah semakin terhakisnya keyakinan rakyat kepada Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri daripada kalangan penyokong dan ahli PKR sendiri.
Khususnya selepas Rafizi meletakkan jawatan, ternampak begitu ramai ahli dan penyokong PKR meluahkan rasa marah mereka kepada Anwar.
Selain mereka meluahkan isi hati melalui “akhbar dan tv masing-masing” di pelbagai platform media sosial yang mereka miliki secara percuma dan tanpa perlu lesen, ruangan komen FB Anwar sendiri jelas dapat dilihat kemarahan yang berdentam-dentum itu.
Di samping itu, di FB Nurul Izzah yang baru-baru ini menang sebagai Timbalan Presiden PKR mengalahkan Rafizi juga hampir sarat dengan luahan kemarahan yang sama.
Kadang-kadang terasa ngeri membaca segala luahan kemarahan itu di mana sebahagian besar daripada kelompok yang marah-marah itu adalah merupakan penyokong Anwar dan PH sendiri sebelum ini.
Rasanya luahan kemarahan itu lebih parah daripada apa yang dialami Najib Razak sebelum BN dijatuhkan pada 2018 dulu.
Pendeknya sekarang ini penyokong pembangkang tak payah susah-susah lagi untuk menyerang Perdana Menteri dan kerajaan kerana mereka yang sebelum ini menyokong kerajaan sudah pun beralih arah dan kepercayaan mereka susulan terpelantingnya Rafizi daripada jawatan parti.
Semua ini, jika dibiarkan, pasti memberi kesan besar kepada PH untuk menang banyak kerusi pada PRU16 akan datang.
Mereka yang marah dan kecewa kepada Anwar ini tidak perlu pun mengundi PN, cukup dengan mereka tidak keluar mengundi saja sudah cukup untuk membuatkan PH senak perut untuk menang.
Dalam waktu yang sama, kiranya penolakan dan kemarahan itu berterusan, ia tidak mustahil akan mengoyahkan pendirian UMNO dan BN untuk kekal bekerjasama dengan PH menghadapi PRU16 nanti.
Sudah tentu UMNO/BN bimbang tempias penolakan itu turut menimpa mereka jika terus bersama PH.
Akhirnya, pilihan buat UMNO/BN ialah sama ada bertanding sendirian sebagaimana PRU15 lalu atau menjalin persefahaman dengan PN bagi mencetuskan gelombang perubahan yang lebih besar.
Paling dekat kesan daripada apa yang berlaku dalam PKR dan kerajaan sekarang ialah PRN Sabah yang akan berlangsung hanya beberapa bulan daripada sekarang.
Apa pun, bermula sekarang sehingga tarikh PRU akan datang, tempoh 24 jam sehari mungkin dirasakan sudah tidak cukup lagi untuk mendepani hari-hari mendatang yang dijangka penuh keserabutan.
Itu belum lagi jika selepas tidak bergelar menteri nanti, Rafizi tidak duduk diam, bahkan menggerakkan pula Jelajah HIRUK-PIKUK ke seluruh negara.
Pasti hiruk-pikuk dibuatnya!! – ShahbudinHusin 29Mei2025.
https://shahbudindotcom.net/2025/05/kerajaan-susah-tumbang-tapi-sukar-kekalkan-kuasa-apa-lagi-jika-rafizi-buat-hiruk-pikuk/
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/05/kerajaan-susah-tumbang-tapi-sukar.html