Kerajaan Selangor Tingkatkan Pemantauan Elak Gangguan Bekalan Air Berulang Kali
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan beberapa langkah yang diambil kerajaan negeri bagi memperkemaskan usaha menangani pencemaran negeri sekaligus mengelakkan daripada gangguan bekalan air berlaku berulang kali.
Beliau berkata, langkah tersebut perlu diambil setelah berlaku kekerapan gangguan bekalan air di negeri itu.
"Sebanyak 8 kes berlaku sepanjang tahun ini dan ada antaranya adalah kejadian berulang. Tempoh antara April hingga Sept tidak ada kes, mungkin disebabkan PKP.
"Namun Sept dan Okt ada sehingga 3 kes menyebabkan beberapa loji rawatan terhenti dan bekalan air terganggu
"Setakat ini, lebih 90 peratus bekalan air telah pulih sepenuhnya dan dijangka esok semua orang dapat air sepenuhnya.
"Pengurusan Air Selangor memastikan penghantaran bekalan air dapat dilakukan agar sampai ke rumah masing-masing," katanya.
Amirudin berkata, langkah pertama yang diambil kerajaan negeri adalah mempercepatkan proses menyalurkan bekalan air ke rumah.
"Ini menerusi enerusi Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Air Selangor iaitu meningkatkan faktor pencairan dengan mengaktifkan (dilution factor) dengan mengaktifkan Operasi Pengepaman Air Kolam (Opak).
"Pihak pengurusan juga mempercepatkan laluan air iaitu menjalankan flushing dengan melepaskan air empangan Sg Tinggi dan Sg Selangor serta menaikkan 1 River Gate di Baraj Bestari Jaya.
"Proses nyahbau juga dipercepatkan di kolam tebatan banjir JPS Sg Gong dengan penggunaan aktif karbon untuk menghilangkan bau," katanya.
Langkah kedua pula kata Amirudin, melibatkan proses pemantauan dengan pertambahan pegawai.
"Pemantauan Ops Statik di Sg Gong diteruskan, malah kerajaan buat keputusan untuk tingkatkan proses pemantauan terhadap dua lembangan sungai yang sangat kritikal iaitu Sg Langat dan Sg Selangor dengan penggunaan dron yang berteknologi tinggi.
"Sejak bulan Feb lalu, proses kawalan 24 jam dibuat namun begitu kawalan memerlukan pertambahan anggota dan pegawai, justeru kerajaan negeri mengarahkan air selangor dan pasukan Pantas Luas untuk menambah pegawai dan pegawai kontrak untuk penguatkuasaan dan pemantauan sungai terbabit.
"Dengan kekerapan terhadap lawatan bagi satu-satu kawasan bertambah lebih baik dan kita dapat mengesan lebih awal. Kita juga akan mendirikan pos-pos tertentu untuk mengesan mengkaji status air di setiap lokaliti dan hotspot bagi memastikan pencemaran dapat dikesan lebih awal.
"Saya berharap pemantauan berterusan ini dapat mengurangkan risiko pencemaran disamping mengenal pasti lebih awal," katanya.
Dari segi penggunaan dron, Amirudin berkata ia akan membantu kerajaan negeri untuk memantau pencemaran air secara keseluruhan.
"Kerajaan akan menggunakan dron bagi memantau secara keseluruhan dan pengendalinya akan memberikan dua kajian awal berkenaan unsur premis atau bangunan atau apa-apa perkara berhampiran sungai yang boleh mencemarkan.
"Selepas itu kita akan membuat proses penguatkuasaan dengan secepat mungkin untuk memastikan punca-punca potensi pencemaran boleh dikurangkan.
"Kajian itu dilakukan oleh syarikat dron dan akan disampaikan kepada kerajaan, ia akan mampu mencerap kualiti dan kuantiti air yang mengalir di sungai.
"Dron ini jangan dilihat kepada mesin sahaja, tetapi terhadap aplikasi analisa yang mampu dibuat, ia adalah syarikat nombor 6 terbaik di dunia dan juga beroperasi untuk anak syarikat negeri dan kerajaan persekutuan.
"Jadi dron itu akan memantau sehari dua kali dan boleh bergerak sejauh lebih 1,000 km untuk mengesan penilaian analisis terhadap kandungan air, kita akan adakan demo dalam masa terdekat mungkin dalam tempoh PKPB untuk lihat keberkesanannya," katanya.
Amirudin turut menyebut mengenai pelan jangka panjang yang akan dilakukan dalam tempoh satu tahun dari sekarang iaitu meningkatkan kualiti pengurusan dan rawatan air di loji rawatan di Selangor.
"Kita akan kenal pasti dengan teknologi tertentu untuk membuang dan menyahbau di loji rawatan, dan usaha untuk menyalurkan terus air yang tidak tercemar disamping menyekat air yang tercemar.
"Sebab apabila air terus mengalir ke loji rawatan akhirnya tidak ada pilihan selain menutup loji rawatan tersebut, sudah pasti kos agak tinggi sehingga menelan puluhan juta. Jadi di peringkat awal insya-Allah, saya akan bentangkan dalam belanjawan negeri nanti," katanya.
Secara tidak langsung, kata Amirudin, ia adalah satu pelan pendekatan menyeluruh yang bermula dengan masyarakat, kawalan pemantauan, sehinggalah kesediaan loji rawatan menerima air yang tercemar secara bau.
"Sebenarnya kita mempunyai off river storage yang mencukupi sekurang-kurangnya tiga hingga lima hari namun ia masih memerlukan pengepaman dan paip-paip untuk disalurkan terus ke loji rawatan.
"Pencemaran air melibatkan perubahan warna, struktur air itu biasanya dapat ditangani di peringkat awal, aduan sebelum ini lima enam kali berjaya halang dari berlaku.
"Tetapi pencemaran bau biasanya tidak mempunyai warna, ia berpunca secara organik, mungkin najis, mungkin kadang-kadang sisa dalam bentuk pelarut, malah dalam kes terbaru ini dijangkakan bahan pelarut kerana ia tidak berwarna dan baunya sangat tipis.
"Jadi pelan kita adalah menyediakan kemudahan dan meningkatkan kemampuan loji kita untuk memulihkan merawat pencemaran bau dalam aspek pengendalian loji rawatan," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2020/10/kerajaan-selangor-tingkatkan-pemantauan.html