Kerajaan Pimpinan Muhyiddin Prihatin Pada Rakyat
                                                                                                                        Oleh UtusanTV                                                                                                                                                                                                                                             

MARZUKI MOHAMAD             SEBAGAI bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk  Dr. Marzuki Mohamad (DDMM) memikul tugas dan amanah mencabar lebih-lebih  lagi dalam tempoh pandemik COVID-19.
      Ikuti wawancara eksklusif antara Marzuki dengan portal ikatan.my bagi  mendapatkan pandangan dan pengalaman dalam kerajaan khususnya membantu  Muhyiddin dalam menangani isu-isu negara, ekonomi dan COVID-19.
   IKATAN: Untuk permulaan, mungkin Datuk dapat  berkongsi sedikit dengan pembaca tentang bagaimana pada awalnya Datuk  terlibat hingga dilantik menjadi KSU Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin  (TSMY).
          DDMM: Terima kasih kerana menjemput saya pada petang  ini untuk hadir dalam satu temubual untuk berkongsi pandangan mengenai  beberapa isu berkaitan perkembangan semasa. Saya mula mengenali TSMY  ketika zaman saya belajar di universiti lagi. Saya berkhidmat sebagai  pelatih (intern) di sebuah pusat penyelidikan ketika itu sekitar tahun  1995-96.
   Pada masa itu TSMY adalah Menteri Belia dan Sukan dan saya melakukan  penyelidikan dalam membantu menyediakan penulisan, kertas cadangan dan  sebagainya. Selepas itu, ketika Muhyiddin dilantik sebagai Timbalan  Perdana Menteri (TPM) pada tahun 2009, saya ditawarkan untuk berkhidmat  sebagai Pegawai Khas kepada TPM. Pada masa itu saya mengajar di  Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan saya dipinjamkan ke Pejabat TPM.  Kemudian selepas PRU ke 13, TSMY minta saya untuk melihat politik lebih  sedikit. Jadi, saya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri  Pendidikan.
   IKATAN: Semasa menjadi pegawai khas, tugas Datuk khususnya apa?
   DDMM: Saya buat penyelidikan mengenai dasar dan saya  banyak membantu dalam hal-hal berkaitan pendidikan dan isu-isu sosial,  pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain. Kementerian Pendidikan  pada masa itu membuat kajian berkenaan dengan Education Blueprint  2013-2025. Saya bertindak sebagai Liaison Officer (Pegawai Seranta)  antara Pejabat TPM dan Kementerian Pendidikan pada masa itu. Kemudian  selepas TSMY berada di dalam pembangkang, iaitu selepas beliau dipecat  dari Kabinet, saya balik mengajar di UIA dan saya terus membantu beliau.
   Selepas Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14  (PRU-14) dan Muhyiddin dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, saya  kembali berkhidmat dengan beliau sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas  (PTTK). Tugas saya adalah untuk melihat hal-hal berkaitan dasar dan hal  ehwal Parlimen. Setelah TSMY dilantik menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac  2020, saya diberi tanggungjawab sebagai Ketua Setiausaha Sulit (KSUS)  Kepada Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri sehingga beliau  meletak jawatan pada 16 Ogos yang lalu.
   IKATAN: Maknanya dari segi pengalaman, Datuk antara  orang yang paling dipercayai oleh TSMY daripada Pegawai Khas dilantik  sebagai Setiausaha Politik (SETPOL) sehingga dilantik Ketua Setiausaha  Sulit (KSUS). Jadi, ketika menjawat jawatan PM, kepimpinan Muhyiddin,  bagaimana Datuk melihat karakter dan usaha TSMY apabila dia mengambil  alih kerajaan sejak bulan Februari dan bulan Mac terus kita hadapi  serangan COVID-19. Sepanjang masa itu bagaimana Datuk melihat kerja,  wawasan, usaha TSMY?
   DDMM: Ya, saya ini pegawai daripada dulu sampailah  sekarang masih lagi berkhidmat dengan Muhyiddin. Saya memerhati dari  segi kerja-kerja yang dibuat. Beliau fokus kepada tugas. Bila ada  tanggungjawab, TSMY betul-betul melaksanakan apa yang  dipertanggungjawabkan kepada beliau. Kalau ikutkan selepas dilantik  sebagai Perdana Menteri, saya ingat dalam tempoh seminggu dua sahaja  kita terus berhadapan dengan krisis pandemik Covid-19 dan saya lihat  bagaimana kita tiada masa untuk honeymoon (bulan madu). Biasanya ada  honeymoon period. (Kita) tiada. Kita terus buat kerja.
   Saya masih ingat lagi pada masa itu Muhyiddin berbincang dengan Ketua  Pengarah Kesihatan, Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Majlis  Keselamatan Negara (MKN) untuk membuat keputusan lockdown (kawalan  pergerakan). Walaupun ada pelbagai pandangan tetapi beliau melihat  bahawa pada masa itu, itulah cara yang paling sesuai diambil. Kita masih  belum tahu the behavior of the virus (tindak-tanduk virus) di seluruh  dunia. Ini suatu virus yang baru.
   Beliau buat keputusan untuk menjaga keselamatan nyawa rakyat. Ini  soal nyawa dan telah ada orang-orang yang dijangkiti. Dalam mengawal  virus ini daripada menular, banyak negara telah melaksanakan lockdown.  Jadi itu satu keputusan berat yang diambil kerana ia melibatkan kesan  terhadap kehidupan rakyat terutama sekali dari segi ekonomi.
   Jadi, kerana itu Muhyiddin pada ketika itu nekad untuk melaksanakan  lockdown. Mulanya untuk tempoh dua minggu, kemudian disambung dua minggu  lagi dan ditambah lagi.
   Dalam membuat keputusan lockdown, beliau tidak berhenti setakat itu  sahaja. Kena fikir dari segi kehidupan rakyat. Kerana itu diumumkan  banyak pakej-pakej rangsangan ekonomi.
   Kalau kita tutup sahaja sektor-sektor ekonomi, tidak benarkan orang  pergi bekerja tetapi tidak disediakan bantuan, mungkin dalam seminggu  boleh tahan lagi. Tetapi masuk dua minggu tiada pendapatan, tiada  simpanan. Kerana kebanyakan orang kita tidak menyimpan wang. Data  menunjukkan mungkin kalau dia tidak bekerja, dia boleh bertahan paling  lama sebulan. Selepas itu dia tidak boleh bertahan lagi dan terpaksa  meminjam duit untuk beli makanan.
   Jadi, Muhyiddin pada ketika itu meminta Menteri Kewangan supaya cari  duit bagaimana hendak memberikan bantuan-bantuan ini. Akhirnya sepanjang  kita berhadapan dengan pandemik ini, bukan setakat kita melaksanakan  kawalan-kawalan pergerakan tetapi juga bantuan-bantuan diberi. Hampir  setiap golongan masyarakat terima bantuan daripada sejumlah RM 530  billion pakej rangsangan ekonomi dan bantuan rakyat yang disediakan oleh  kerajaan dalam tempoh 17 bulan.
   Ini saya fikir satu pakej rangsangan ekonomi yang terbesar dalam  sejarah negara. Kalau saya ingat zaman PH dahulu, kerana saya pun dalam  PH pada masa itu, bila disebut bantuan untuk rakyat jawapannya kita  tiada duit. Tetapi rupanya ada duit. Kita duduk di situ rupanya ada duit  yang kita boleh cari di mana-mana untuk tujuan membantu rakyat.
   Memanglah tahap hutang meningkat sedikit tetapi hutang ini kita boleh  bayar apabila kita ada pendapatan. Bila ekonomi telah dibuka dan sumber  pendapatan negara bertambah, hutang itu kita boleh bayar. Tetapi yang  penting ialah nyawa dan kehidupan rakyat yang terlibat. Kita lihat dalam  tempoh 17 bulan itu perkara utama yang dilaksanakan ialah bagaimana  hendak memastikan nyawa rakyat selamat dan pada masa yang sama kehidupan  mereka juga boleh dibela, terutama sekali dari segi pendapatan.
   Ramai yang terkesan. Saya baru balik dari Langkawi untuk melihat  sektor pelancongan yang baru dibuka. Itupun wisdom (kebijaksaan) juga  kerana kita tengok sektor pelancongan ini adalah antara sektor yang  paling teruk terjejas. Orang tidak boleh melancong kerana Perintah  Kawalan Pergerakan (PKP). Tidak boleh bergerak ke sana sini. Jadi hotel,  homestay (inap desa), pengusaha kenderaan pelancongan dan lain-lain  banyak yang terjejas. Saya lihat data di Langkawi sahaja kerajaan  membelanjakan lebih RM 140 juta dalam bentuk subsidi upah kerana  sesetengah hotel ini tidak boleh ditutup. Kalau ditutup dan tiada  maintenance (penyelenggaraan) hotel-hotel ini akan rosak. Jadi mereka  terpaksa upah pekerja-pekerja walaupun tiada pendapatan perniagaan.
   Jadi, ini kadang-kadang kita terlepas pandang. Jumlah subsidi upah  yang diberikan oleh kerajaan sedikit sebanyak membantu pengusaha hotel  dan sebagainya untuk mengekalkan pekerja walaupun tidaklah menampung  keseluruhan tetapi meringankan beban. Saya lihat ada yang tidak dapat  terus terlibat dalam sektor pelancongan semasa PKP dilaksanakan dan  mereka terpaksa menjadi nelayan untuk cari sumber pendapatan.
   Kita lihat kehidupan rakyat memang terjejas. Kerajaan dengan TSMY  sebagai Perdana Menteri pada ketika itu melihat perkara ini sebagai satu  yang penting bagi kita. Dasar kita ialah prihatin kepada rakyat.  Tidaklah kita kata kita laksanakan PKP dan kita tidak lihat dari segi  aspek yang lain. Kerana itu, kerajaan telah beberapa kali melaksanakan  pakej rangsangan ekonomi. Selepas satu, satu dilaksanakan – PRIHATIN,  PEMULIH, PEMERKASA dan lain-lain.
   IKATAN: Dalam masa kritikal itu, bagaimana beliau mengurus kabinet, ada tak perbezaan pandangan tentang aspek perlaksanaan SOP?
   DDMM: Ada banyak pandangan yang berbeza-beza. Saya  hendak menceritakan lebih sedikit tentang Sidang Khas Majlis Keselamatan  Negara (MKN). Tentang bidang kuasa MKN. Dalam Mesyuarat Sidang Khas  MKN, beliau (TSMY) akan mendengar pandangan semua pihak dan akhir sekali  akan membuat keputusan. Itu yang lama bermesyuarat sampai dua tiga jam.  Nak tutup kilang ke, tak nak tutup kilang ke. Perbahasan tentang hal  itu sahaja saya ingat mengambil masa yang lama.
   Banyak keputusan dibuat secara kolektif kerana kesan keputusan itu  amat besar kepada rakyat dan negara. Maksud kolektif ini, TSMY tidak  membuat keputusan secara bersendirian. Bukan beliau fikir hendak buat,  beliau buat. Tidak. Setiap keputusan mesti dibuat di dalam mesyuarat.
   Saya boleh bagi contoh, Mesyuarat Sidang Khas MKN mengenai Covid-19.  Keputusan-keputusan mengenai SOP misalnya, itu semua dibuat di dalam  Sidang Khas MKN. Diteliti dahulu di peringkat Jawatankuasa Teknikal yang  merangkumi pelbagai Kementerian dan agensi. Diperhalusi dan kemudiannya  dibawa ke dalam Sidang khas MKN untuk diputuskan.
   Sidang Khas MKN bermesyuarat di peringkat awal dahulu tiga kali  seminggu iaitu setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Ini kerana kita tidak  mahu nanti ada senggang masa yang lama antara setiap mesyuarat. Bila  ada keputusan-keputusan penting yang perlu dibuat segera, ia boleh  dibahas dan diputuskan dalam mesyuarat.
   Pada peringkat awal dahulu Sidang Khas MKN hanya melibatkan  Menteri-Menteri Persekutuan dan pegawai-pegawai kanan di peringkat  persekutuan. Tetapi TSMY memikirkan MKN ini ada struktur di peringkat  Pusat, Negeri dan Daerah. Jadi tidak memadai Menteri-Menteri Persekutuan  sahaja yang terlibat kerana setiap keputusan yang dibuat mesti  dilaksanakan di peringkat negeri dan daerah.   
   Di peringkat negeri yang menjadi pengerusinya ialah Menteri Besar  atau Ketua Menteri. Jadi TSMY memikirkan perlu juga dijemput mereka ini  hadir bersama-sama tidak kira samada negeri itu di bawah Perikatan  Nasional atau pembangkang (Pakatan Harapan). Beliau kata jemput. Jadi  sampai ke akhirnya Menteri Besar dan Ketua Menteri dari negeri-negeri  pembangkang pun terlibat sama dalam membuat keputusan.
   Selangor misalnya yang menjadi pusat penularan COVID-19 paling  kritikal di Lembah Kelang. Banyak keputusan dibuat melibatkan Menteri  Besar Selangor yang hadir bersama dalam setiap mesyuarat. Sehinggalah  akhirnya dibuat satu keputusan untuk mempercepatkan proses vaksinisasi  di Selangor, Kuala Lumpur dan Greater Klang Valley. Ditubuhkan Special  Task Force for Greater Klang Valley (Pasukan Petugas Khas Lembah Klang)  yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan. Itu dari segi  tindakan kesihatan untuk menangani Covid-19.
   Dari segi vaksin, YB Khairy Jamaludin pada masa itu melancarkan  Operation Surge Capacity (Operasi Peningkatan Kapasiti) bagi  mempercepatkan proses vaksinasi di Selangor dan Kuala Lumpur. Kita lihat  hari ini Selangor dan Kuala Lumpur merupakan antara negeri yang  mencapai herd immunity (imuniti kelompok) paling cepat. Sekarang ini  sudah mencapai lebih 100 peratus sasaran imunisasi populasi dewasa.
   Ini adalah wisdom keputusan-keputusan yang dibuat secara kolektif.  Bila buat keputusan, everybody must be collectively responsible for the  decision made by the council (setiap orang mesti bertanggungjawab atas  setiap keputusan yang dibuat oleh majlis secara kolektif). Jadi tidak  boleh kata, ah… saya memutuskan benda lain. Tidak. You are part of the  decision making process (kamu sebahagian daripada proses pembuatan  keputusan). Dia mesti ambil tanggungjawab. Itu keputusan bersama.
   Yang kedua, kita dapat lihat kombinasi dari segi pelaksanaan  keputusan yang dibuat. Ia dilaksanakan segera di peringkat negeri dan  turun ke daerah-daerah. Ini yang dikatakan pengurusan Covid-19  melibatkan whole of government dan whole of society (keseluruhan  kerajaan dan keseluruhan masyarakat). Ia tidak hanya melibatkan  Kementerian Kesihatan sahaja, ataupun Kementerian Dalam Negeri (KDN)  sahaja, Polis sahaja. Tidak.
   Semua kementerian terlibat. Kementerian Pertanian misalnya mesti  memastikan bekalan makanan cukup. Bila orang tidak bekerja, kita buat  pengecualian untuk sektor pertanian. Kalau orang tidak pergi bertani  nanti tiada siapa hendak membekalkan makanan, sayuran, ikan dan  lain-lain yang melibatkan the whole supply chain (keseluruhan rantaian  bekalan).
   Menyentuh mengenai supply chain ini saya hendak sebut juga mengenai  isu kilang. Ini perdebatan besar. Berjam-jam berfikir, berbincang,  berbahas dalam mesyuarat MKN. Nak tutup ke nak buka? Kalau buka berapa  banyak kapasiti nak buka. 50 peratus ke, 80 peratus ke, nak tutup semua  ke, tutup sebahagian ke. Macam-macam kita kena fikirkan kerana kesannya  besar.
   Satu dari segi supply chain. Kalau kilang-kilang makanan tidak  beroperasi semasa tempoh PKP, saya ingat kita nak cari susu, beras dan  bahan makanan di semua pasaraya pun susah. Ini akan menimbulkan satu  lagi krisis iaitu shortage in food supply (kekurangan bekalan makanan).  Ini kita tidak boleh biarkan berlaku. Oleh kerana itu, kita kategorikan  kilang yang boleh beroperasi antaranya kilang memproses makanan dan mana  kilang yang kita boleh tutup dulu sementara.
   Penutupan kilang tidak boleh dibuat untuk tempoh yang lama. Ini  kerana ia melibatkan global supply chain (rantaian bekalan global).  Banyak kilang di negara kita yang membekalkan komponen ke negara-negara  luar dan ini melibatkan pelaburan yang jumlahnya berbilion ringgit.
   Apabila mereka menghadapi masalah (kerana kilang ditutup), ibu  pejabat syarikat-syarikat ini Amerika Syarikat contohnya menghantar  bantahan kepada kita untuk tarik balik pelaburan. Kalau berbilion nilai  pelaburan yang ditarik dari negara kita apa kesannya? Kesannya bukan  kepada syarikat itu sahaja. Syarikat itu mungkin boleh melabur semula di  negara lain. (Mereka) tiada kesan sangat.
   Tetapi kesannya amat besar kepada rakyat kita yang bekerja di  kilang-kilang ini. Ada yang jadi engineer (jurutera), supervisor  (penyelia), technician (juruteknik) dan lain-lain. Jadi, banyak kesan  yang perlu kita fikirkan. Saya menerima banyak memorandum yang dihantar  kepada TSMY oleh persatuan-persatuan pengilang dan sebagainya dan mereka  meminta supaya kerajaan mempertimbangkan semula keputusan yang telah  dibuat. Jadi, kerajaan bawa balik perkara ini untuk dibincangkan dalam  mesyuarat MKN.
   Bukan bila kita buat keputusan dan ada respon, kita biarkan. Tidak.  Kita bincangkan balik dalam mesyuarat di peringkat Jawatankuasa  Teknikal, dibawa semula ke Sidang Khas MKN dan Perdana Menteri buat  keputusan setelah meneliti pandangan yang pelbagai.
   Kita lihat dalam masyarakat kita pun ada yang kata tutup, ada yang  kata buka. Macam-macam. Tetapi sebagai pemimpin, Muhyiddin mesti buat  keputusan. Tidak boleh dibiarkan tiada keputusan. Bila dibuat keputusan  pula ada yang bersetuju, ada yang tidak bersetuju. Yang tidak bersetuju  akan kata ini kerajaan gagal. Yang setuju diam-diam.
   Saya pun perhati juga dalam media sosial. Dia bersetuju tetapi dia  diam. Yang tidak bersetuju expressed their anger (menyerlahkan kemarahan  mereka). Jadi nampak macam semua tidak betul dan gagal.
   Tetapi, I think on hindsight (saya fikir dengan pengalaman yang  lalu), strategi kita di peringkat awal ialah membuat kawalan pergerakan.  Tetapi pada masa yang sama kita tahu bahawa kita tidak dapat mengawal  pergerakan rakyat selama-lamanya.
   We must have an exit plan (kita mesti ada jalan keluar) dari masalah  pandemik. Exit plan ini telah dirancang lebih awal. Kerana itu kita ada  Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kita sudah letakkan fasa-fasa peralihan,  nilai ambang dan sebagainya. Tengok dari segi kapasiti katil hospital,  tengok dari segi jumlah kes harian, death rate (kadar kematian),  immunisation rate (kadar imunisasi) dan lain-lain. Kerana itu, hari ini  kita telah dapat lihat hasil daripada strategi kita mempercepatkan  proses vaksinasi.
   Awalnya kita menjangkakan sasaran vaksinasi 80 peratus populasi  dewasa akan dicapai pada suku pertama tahun hadapan. Tetapi oleh kerana  kita lihat bahawa masalah ini menjadi semakin teruk, dengan kes  meningkat dengan begitu banyak, kerajaan memutuskan supaya kita  mempercepatkan proses vaksinasi.
   Jadi hendak mempercepatkan proses vaksinasi ini ada dua aspek.  Pertama, kita kena pastikan bekalan yang mencukupi. Kerana bekalan ini  bukan kita beli hari ini sejuta, esok sampai sejuta. Kita beli sekitar  80 juta dos vaksin dengan jadual penghantaran yang telah ditetapkan.  Dalam 3 bulan ke hadapan, 6 bulan ke hadapan baru sampai.
   Jadi, kerana itu Muhyiddin sebagai PM pada ketika itu membuat  keputusan. Pertamanya, pada peringkat awal ada COVAX Facility di bawah  United Nation (UN) yang membekalkan vaksin. Kalau kita ingat di  peringkat awal dahulu vaksin tiada lagi. Tetapi fasiliti ini telah  memulakan usaha untuk mengeluarkan vaksin dan negara kita mesti bayar  dahulu wang pendahuluan untuk buat tempahan. Vaksin tiada lagi tetapi  bayaran pendahuluan mesti dibuat.
   Kalau kita tengok dari segi kebiasaannya, kita tiadak buat perkara  seperti itu. Kita hendak beli barang, barang itu mesti ada dahulu, baru  kita beli. Tetapi kalau kita tunggu barang itu ada dahulu baru hendak  beli, sedangkan barang itu adalah hot item (barang laris), dan kita  lambat membuat pesanan, penghantarannya boleh tertangguh sehingga empat,  lima atau enam bulan. Akan berlaku keadaan di mana kita sepatutnya  sudah boleh mulakan program vaksinasi tetapi kita tidak boleh mula lagi  sebab vaksin tidak sampai.
   Jadi, Muhyiddin buat keputusan untuk bayar wang pendahuluan RM400  juta walaupun vaksin belum ada. Tawakkal. Kenapa? Kerana ini soal hendak  menjaga nyawa rakyat. Jadi, Pfizer kita beli, Sinovac kita beli,  Sinopharm kita beli. Whatever available (apa yang tersedia) kita tempah,  kita beli.
   Keduanya, dalam proses ini kadang-kadang jadual penghantaran  terganggu. Sedangkan kita ada jadual vaksinasi sehingga bulan berapa  kita mesti capai sasaran 200 ribu suntikan sebulan, 500 ribu suntikan  sebulan dan sebagainya. Kalau bekalan vaksin tidak sampai kita hendak  cucuk macam mana? Pusat Pemberian Vaksin ada, kakitangan ada, tetapi  vaksin tidak ada.
   Jadi perkara ini dibincang dalam Kabinet. Kadang-kadang dibawa Kertas  Jemaah Menteri untuk memohon kelulusan bagi pembelian vaksin tambahan.  Tengok mana yang ada. Pfizer lambat sampai, Sinovac ada, beli Sinovac.  Ini untuk memastikan supaya jadual vaksinasi tidak terganggu. Jadi  kerana itu, daripada asalnya kita hendak mencapai sasaran herd immunity  (imuniti kelompok) pada suku pertama tahun hadapan, kini kita boleh  capai lebih awal.
   Sektor-sektor ekonomi boleh dibuka lebih awal. Sektor pelancongan  misalnya, dibuat keputusan dahulu supaya dipercepatkan proses vaksinasi  di pulau-pulau pelancongan. Di Langkawi dipercepatkan. Jadi orang  Langkawi dapat vaksin lebih awal. Begitu juga di Pulau Redang, Pulau  Pangkor, Pulau Perhentian, supaya sampai suatu ketika kita boleh buka  sektor pelancongan, orang boleh pergi melancong dengan selamat.
   Semalam (16 September) Pulau Langkawi telah dibuka kepada pelancong.  Saya diberitahu ketibaan pelancong sekitar 5,000 orang. Hotel dan kedai  sudah mula dibuka walaupun belum mencapai 100 peratus. Dijangkakan  sehingga bulan Disember tahun ini, 400,000 pelancong akan tiba di  Langkawi sahaja. Ini bermakna kehidupan rakyat sudah mula bertambah baik  dan InshaAllah kegiatan ekonomi akan bertambah rancak,
   Penduduk setempat pun berasa lebih yakin untuk menerima pelancong  kerana mereka telah dapat vaksin lengkap. Mereka boleh berniaga, bawa  teksi dan bekerja. Pelancong yang datang pun mesti buat ujian saringan  Covid-19. Kalau negatif boleh pergi. Kalau positif, mesti kuarantin.
   Kita lihat proses vaksinasi di Malaysia antara yang terbaik di dunia.  Hasilnya, sektor-sektor ekonomi, keagamaan dan lain-lain sudah boleh  dibuka. Dulu masjid pun kita tidak boleh pergi. Sekarang sudah dibuka  walaupun dengan jumlah jemaah yang terhad. Sekolah pun akan dibuka dan  sekarang ini sedang dilaksanakan vaksinasi bagi mereka yang berumur  bawah 18 tahun dan kanak-kanak yang akan bersekolah.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/kerajaan-pimpinan-muhyiddin-prihatin.html