Kerajaan Perlu Rangka Polisi Yang Jelas Terhadap Penggunaan Ketum
GEORGE TOWN, 3 Nov (Bernama) — Kerajaan perlu merangka satu polisi atau dasar yang jelas dan tegas terlebih dahulu sebelum membenarkan penggunaan ketum dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata polisi atau dasar itu perlu wujud terlebih dahulu bagi mengelakkan ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menyalahguna penggunaan ketum itu.
“Yang jadi masalah adalah mereka yang terlalu kreatif ubah suai ketum ini. Ini yang kita risaukan. Kita bimbang bila kita mengambil keputusan untuk membenarkan penggunaan ketum ini kemudiannya berlaku penyalahgunaan ketum. Ini yang menjadi masalah.
“Jika tidak ada polisi yang jelas tentang penggunaan dan pengawalan terhadap ketum ini, kita tidak boleh membenarkan penggunaannya kepada orang ramai. Kita tidak mahu nanti esok, lusa bertambah satu lagi masalah kepada negara seperti masalah dadah yang kemudiannya menjadi bebanan kepada kerajaan,” katanya pada sidang media, dekat sini hari ini.
Terdahulu, Azis yang juga Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Pemadam Kebangsaan ke-44 di Kompleks Tabung Haji, Bayan Lepas dekat sini.
Azis berkata Pemadam juga masih dengan pendirian tidak bersetuju kebenaran diberikan terhadap penggunaan ketum kepada orang ramai.
Sebelum ini Penyelidik Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Darshan Singh berkata hasil kajian dan penyelidikan pihaknya mendapati ketum berpotensi dibangunkan sebagai kaedah alternatif bagi merawat masalah ketagihan dadah jenis opiat membabitkan heroin dan morfin dalam kalangan penagih.
Sementara itu, Azis turut mengingatkan semua Yang Dipertua Pemadam di setiap negeri supaya tidak menggunakan persatuan itu untuk kepentingan politik.
Menurutnya, Pemadam adalah sebuah pertubuhan bebas yang membantu orang ramai mendapat maklumat berkenaan dadah.
“Kita tidak mahu Pemadam terpesong dari matlamat utamanya. Program-program yang dianjurkan menjurus ke arah memberi penerangan dan maklumat kepada anak-anak tentang dadah.
“Jadi, saya menasihatkan semua Yang Dipertua tidak kira di negeri pembangkang mahupun kerajaan saya minta jangan disalahgunakan aktiviti Pemadam untuk kepentingan politik,” katanya.
Sumber: BERNAMA
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2019/11/03/kerajaan-perlu-rangka-polisi-yang-jelas-terhadap-penggunaan-ketum/