Kerajaan Negeri Pahang Memerlukan Peruntukan Sebanyak Rm3 Bilion Untuk Tukar Semua Paip Bekalan Air Usang Di Negeri Ini

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang memerlukan RM3 bilion untuk menukar semua paip bekalan air usang di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pahang memiliki jajaran paip sepanjang 15,423 kilometer dan 23 peratus daripadanya adalah paip Asbestos Cement (AC) yang usang.
Menurutnya, paip usang itu dikenal pasti sebagai punca utama berlakunya paip pecah dan kehilangan air fizikal yang menyumbang kepada angka Air Tidak Terhasil (NRW) yang tinggi di negeri ini.
"Kalau boleh, memang kita hendak tukar semuanya sekaligus tetapi kosnya sekitar RM3 bilion maka kita tetap laksanakan juga, namun secara berfasa.
"Untuk tahun 2025 sahaja, PAIP telah menukar paip usang sepanjang 259.7 kilometer termasuk di kawasan FELCRA Tembeling Tengah," katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengulung perbahasan Belanjawan Pahang 2026 pada Sidang Dewan Negeri Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
Wan Rosdy berkata, berkenaan isu NRW termasuk paip pecah, paip usang dan kehilangan air secara fizikal, kerajaan negeri melalui PAIP sentiasa berusaha menurunkan kadarnya ke tahap yang lebih baik dan berdaya saing.
Katanya, PAIP telah mengambil langkah menyelesaikan permasalahan di peringkat sumber, menstabilkan kapasiti agihan serta memastikan tekanan air mencukupi di seluruh kawasan.
"Kini, walaupun isu 'blackspot' terus ditangani dan semakin stabil, PAIP telah bergerak ke fasa lebih proaktif untuk mengurangkan NRW.
"Program ini kompleks dan memerlukan peruntukan sangat besar, namun kita tetap melaksanakannya secara berfasa agar kewangan PAIP kekal seimbang antara operasi harian, persediaan bekalan masa hadapan dan keberkesanan program pengurangan NRW," katanya.
Tambah beliau, untuk tahun hadapan, program akan lebih agresif melalui penukaran paip-paip lama, pembinaan dan baik pulih District Metering Area (DMA) serta Pressure Management Area (PMA) yang membantu mengesan kebocoran secara lebih efisien.
"Segala pelaksanaan dan perancangan akan datang ini melibatkan peruntukkan sebanyak RM449.5 juta, melalui peruntukkan dalaman PAIP, pembiayaan sewa pajakan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) serta termasuk penerimaan Geran Program NRW Kebangsaan daripada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang berjumlah RM313 juta," ujarnya.
Sementara itu katanya, PAIP merekodkan pencapaian 82 peratus penyelesaian isu air kawasan 'blackspot' di negeri ini sehingga November lalu.
Beliau berkata, angka itu menghampiri sasaran 90 peratus penyelesaian isu bekalan air di seluruh Negeri Pahang menjelang akhir 2026.
Peruntukan besar yang diumumkan kerajaan negeri melalui PAIP menunjukkan kesungguhan berterusan kerajaan negeri untuk memastikan rakyat menerima perkhidmatan bekalan air yang lebih stabil, lebih berkualiti dan lebih berdaya tahan.
"Kerajaan negeri dan saya sendiri meneliti setiap laporan pencapaian dengan terperinci dan impak yang dinikmati hari ini benar-benar memberi kesejahteraan kepada rakyat di mana kawasan yang dahulunya mengalami tekanan rendah, bekalan tidak stabil atau kerap terputus, kini telah beralih kepada keadaan yang jauh lebih baik," katanya.
Jelas beliau, antara kawasan yang telah menikmati peningkatan ketara termasuk Kampung (Kg) Sempadan, Kg Paya Sendayan dan Kg.Desa Bakti dalam daerah Temerloh; Tanjung Lumpur, Pak Mahat dan Sungai Soi dalam daerah Kuantan; Kg Chendera, Kg Rokam, Sg Chalit dan Ulu Atok dalam daerah Raub; Selancar, Chanis, Keratong dalam daerah Rompin; Kg Awah dan Sri Jaya dalam daerah Maran; Kg Jambu Rias dan Kg.Sri Telemong dalam daerah Bentong. #BeritaHarian
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2025/12/kerajaan-negeri-pahang-memerlukan.html