Kerajaan Baharu Mesti Teruskan Kes Penyelewengan Pimpinan Bn
KEADILAN Selangor menggesa agar kerjaan baharu yang akan dibentuk agar meneruskan siasatan atau pendakwaan serta proses mahkamah terhadap mana-mana pimpinan gabungan pemerintah.
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, ketelusan kerajaan baharu sangat penting agar segala kelemahan kerajaan Perdana Menteri (PM) Mahiaddin Yassin sebelum ini tidak diteruskan.
“Selepas selesai Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai PM, dengan ini KEADILAN Selangor menuntut supaya golongan kleptokrat dan kluster mahkamah yang menyokong kerajaan tetapi terpalit dengan dakwaan tidak dilindungi oleh mana-mana pihak serta dibicarakan dengan adil dan saksama.
“Sebagai contoh, 4 pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama, serta 47 pertuduhan membabitkan salah guna dana sebuah yayasan mestilah di teruskan.
“Kedua-dua individu berprofil tinggi ini serta mana-mana Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan dan menghadapi sebarang pertuduhan di mahkamah perlu dibicarakan secara adil dan saksama tanpa campurtangan cabang eksekutif,” katanya.
Selain itu, KEADILAN Selangor juga menuntut agar kes video seks ‘kabur’ yang melibatkan tokoh utama parti pemerintah diteruskan. Katanya kes berkenaan tidak diketahui statusnya sehingga kini.
“KEADILAN Selangor mendesak pihak Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan semula ke atas kes video intim yang memaparkan seorang individu yang menyerupai seorang Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan tidak melengahkan siasatan kes seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa rogol kepada dua lelaki yang dikaitkan dengan Setiausaha Politik Ahli Parlimen tersebut,” katanya.
Mengenai sindiran yang dilemparkan kepada kepimpinan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di media sosial atau media arus perdana, Halimey berkata, proses pemilihan PM baru-baru ini sekurang-kurangnya memperlihatkan bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak gila kuasa dan bersekutu dengan sesiapa sahaja demi mengejar jawatan PM sebagaimana ditohmah sebelumnya.
“Selari dengan pendirian PH, KEADILAN Selangor konsisten bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu yang sebenarnya paling layak diangkat selaku Perdana Menteri.
“Namun, dalam perlumbaan untuk mendapatkan sokongan majoriti tempohari, beliau telah membuktikan dirinya tidak gila kuasa dengan mengekalkan prinsip tidak mahu berkompromi dengan golongan pengkhianat dan kleptokrat.
“KEADILAN Selangor berpegang teguh dengan pendirian, seharusnya mandat rakyat pada PRU14 dikembalikan kepada kerajaan yang telah dipilih rakyat pada 9 Mei 2018 iaitu PH. Namun kemenangan tersebut telah dirampas oleh golongan pengkhianat dan kleptokrat,” katanya.
Kepada gabungan pembangkang, Halimey menegaskan cabaran mendatang adalah bekerja lebih gigih dan meneruskan formula gabungan Pakatan Harapan Plus bersama Pejuang dan Warisan demi mencapai kemenangan dalam PRU15.
“Buat semua pimpinan, anggota dan pendukung, kami menggesa semua untuk menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha supaya krisis wabak Covid-19 dan ekonomi segera diatasi demi rakyat. Apabila keadaan sudah stabil, kita bersiap untuk bertempur bagi mengembalikan semula mandat rakyat dalam PRU15,” katanya lagi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suarapakatandaily.com/archives/32895