Keputusan Mahkamah Tolak Permohonan Batalkan Prosiding Semakan Kehakiman Kemenangan Buat Pekebun Musang King
RAUB: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn. Bhd. (RPDR-PKPP) untuk membatalkan prosiding semakan kehakiman yang dibawa pekebun durian musang king semalam disifatkan sebagai satu kemenangan signifikan kepada pekebun durian terbabit.
Kemenangan yang menyaksikan mahkamah turut mengarahkan RPDR-PKPP membayar kepada dua kumpulan pekebun durian masing-masing sebanyak RM10,000 membuka langkah seterusnya kepada pekebun untuk meneruskan perjuangan mereka di mahkamah.
Ahli Parlimen Raub yang juga Penasihat Save Musang King Alliance (SAMKA), Chow Yu Hui berkata, dengan keputusan bermakna itu menyaksikan usaha pekebun musang king menuntut keadilan sejak tiga tahun lalu akan diteruskan sehingga ke penghujung.
“Walaupun pekebun musang king Raub berhadapan pelbagai cabaran dan kesukaran sepanjang proses semakan kehakiman, keputusan ini merupakan kemenangan signifikan kepada pekebun dan memberikan keyakinan dalam berhadapan cabaran mendatang.
“Saya bersyukur Hakim Zainal Azman Abdul Aziz dari Mahkamah Tinggi Kuantan membuat penghakiman yang adik dan bijaksana,”katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya kes itu dibicara melalui prosiding dalam talian dan berikutan keputusan itu menyaksikan perintah mahkamah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan pada 5 Januari 2021 kekal berkuatkuasa.
Justeru katanya, sebelum kes itu selesai, agensi penguatkuasa tidak boleh mengambil tindakan terhadap pekebun terbabit sekali gus membenarkan pekebun meneruskan aktiviti penanaman di kebun durian terbabit.
Dalam pada itu Yu Hui berkata, permohonan daripada RPDR-PKPP yang merupakan responden ke-enam adalah remeh kerana ia tidak berasas sama sekali.
“Permohonan ini adalah taktik RPDR-PKPP yang cuba melemahkan keyakinan pekebun durian dan memberi tekanan kepada mereka untuk menandatangani kontrak yang tidak sama rata.
“Saya menggesa semua pekebun durian terus berjuang sehingga ke pengakhiran yang akhirnya kemenangan akan pasti menjadi milik pekebun,”ujarnya.
Pada 27 Januari lalu, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataannya menasihatkan pekebun durian musang king di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau dan Tranum di Raub yang terlibat dengan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan menimbang semula sama ada untuk meneruskan atau tidak tindakan permohonan semakan kehakiman tersebut.
Wan Rosdy dilaporkan berkata, kerajaan negeri berpandangan bahawa tanah-tanah yang dipertikaikan adalah tanah kerajaan negeri yang merupakan hak milik yang tidak disangkal walaupun dalam konteks ekuiti.
Sebelum ini pada 3 Julai 2021 kawasan penanaman durian musang king di Batu Talam, Raub seluas kira-kira 101 hektar melibatkan kira-kira 15,000 pokok telah ditebang kerana ditanam di kawasan hutan simpan kekal. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.pahangdaily.net/2023/07/chow-yui-hui-kemenangan-signifikan.html