Kenyataan Penuh Presiden Pas Hari Ini Budaya Politik Matang Dan Sejahtera
SEJAK PAS ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1951 dan memasuki arena politik tanah air, PAS tidak dapat diharamkan melalui tindakan undang-undang dan politik oleh lawan serta musuhnya kerana tidak bertemu apa-apa alasan untuk mengharamkannya.
Kebijaksanaan para pengasas yang memimpin PAS menjadikannya sebuah Harakah Islamiah (Gerakan Islam) yang berdiri atas prinsip aqidah yang kukuh dan bergerak dengan hikmah.
Alhamdulillah, sehingga kini PAS tidak mengalami krisis yang memerlukan kepada penubuhan sebuah parti baharu sebagai alternatif dan tidak perlu diperbaharui pendaftarannya.
Alhamdulillah PAS juga tidak pernah mengalami kemerosotan dari sudut keahliannya, walaupun pernah menghadapi pengalaman rebah dan bangun sepanjang perjalanan politik. Sekalipun pernah mengalami kekalahan dalam pilihan raya umum, pilihan raya kecil dan jatuh kerajaan. Sehingga PAS pernah dihalau daripada beberapa sejarah pakatan politik dan kerjasama dengan parti-parti lain, malah ada pemimpin PAS yang rebah tercicir dalam perjalanan politiknya.
Maka, insya-Allah PAS tidak hairan dengan nasihat daripada kalangan ilmuwan sains politik yang hanya berlegar di dalam bilik kuliah dan menggerakkan jari dan kaki di kerusi dan meja semata-mata. Mereka yang sekadar bercakap dalam bilik kuliah berhawa dingin dan kaca TV yang diputar mengikut arahan siapa sahaja yang menjadi pengarahnya.
Termasuklah mereka yang membuat kenyataan di lembaran surat khabar, yang kertasnya akan berakhir menjadi surat khabar lama pelbagai guna dan dibuang ke dalam tong sampah. Begitu juga mereka yang membuat kenyataan di media sosial yang hanyut dalam dunia tanpa sempadan, sehingga ada dalam kalangan mereka yang tersungkur tanpa haluan apabila sudah tiba ajalnya.
PAS adalah sebuah parti atau jemaah yang berprinsip atas aqidah yang kukuh, bukan berpegang kepada ideologi yang rapuh.
PAS terus beristiqamah atas asas aqidah dan bergerak dengan hala tuju dan wawasannya yang kekal daripada dunia sehingga ke akhirat.
Alhamdulillah, PAS tidak pernah mengalami kerugian dalam semua kerjasama politik dengan pihak lain, bahkan sudah ada beberapa parti yang berkubur dan sebahagiannya tanpa nisan setelah berpisah dengan PAS.
Kenyataan ini bukannya kerana berasa angkuh dan cakap berdegar-degar, tetapi merupakan suatu hakikat yang terpahat kukuh sepanjang perjalanan politik PAS. Perkara ini disaksikan oleh mereka yang membuat penyelidikan secara jujur, termasuk dalam kalangan mereka yang datang mahu mengintip, sehingga berniat jahat dengan menebuk bahtera PAS atau mencuri ahli sehinggalah pemimpinnya.
Namun, bahtera PAS gagal untuk ditembusi dan tidak dapat ditenggelamkan. Sebaliknya, mereka yang berjaya ditarik keluar daripada PAS, akhirnya tenggelam dalam lipatan sejarah, sama ada ketika masih hidup atau setelah meninggal dunia.
Bahtera Islam ini terus berjalan semakin laju, tidak tersungkur kerana melampau dan tidak ketinggalan kerana jatuh. Bahkan ahli PAS semakin ramai, penumpangnya pula sentiasa bertambah dan menjadikan penggeraknya sentiasa silih berganti. Hal ini menjadikan PAS lebih matang kerana pengalamannya bertambah dan perjalanannya lebih sejahtera, insya-Allah.
Islam yang sempurna menjadi aqidah perjuangan PAS, digabungkan dengan peranan dakwah, ta‘lim, tarbiah dan politik terus menjadi ramuan agenda perjuangan yang tidak berubah. Malahan PAS terus beristiqamah atas prinsip dan perjalanan menuju ke arah hala tujunya berpandukan kepada perintah Allah SWT melalui firman-Nya:
﴿فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ١١٢ وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ١١٣﴾
“Maka beristiqamah (tetaplah kamu wahai Muhammad SAW pada jalan yang benar), sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan (juga) orang yang telah bertaubat bersamamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (112); Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (jika yang demikian) akan menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberikan pertolongan. (113).” (Surah Hud: 112-113)
Jalan yang benar ialah jalan Islam yang sempurna, bukan jalan menganuti ideologi ciptaan manusia.
Perjuangan PAS mengandungi agenda untuk terus berdakwah mengajak seluruh manusia kepada Islam tanpa paksaan dan mengurus cara hidup berpolitik dalam sebuah masyarakat majmuk dengan penuh hikmah (kebijaksanaan dan tidak melampaui batas), bersabar dan bertaqwa. Hal ini berpandukan kepada perintah Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:
﴿ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ١٢٥ وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُمْ بِهِ وَلَئِنْ صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِلصَّابِرِينَ١٢٦ وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّهِ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِمَّا يَمْكُرُونَ١٢٧ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ١٢٨﴾
“Berdakwah (serulah manusia) kepada jalan Tuhanmu (wahai Muhammad SAW) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan pelajaran yang baik serta berbahaslah dengan mereka melalui cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. (125); Dan jika kalian memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan ke atas kalian. Akan tetapi, jika kalian bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126); Bersabarlah (wahai Muhammad SAW) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa tipu daya yang mereka lakukan. (127); Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan. (128).” (Surah al-Nahl: 125-128)
Tujuan PAS sudah terang lagi bersuluh, bukanlah sekadar berhasrat untuk menyelamatkan seseorang atau kumpulan dan kelompok yang kecil sahaja, malah tujuannya adalah untuk menyelamatkan seluruh manusia seberapa ramai yang mungkin. Maka, jika terdapat mereka yang sempit dan terhad tujuannya itu pasti ditinggalkan.
Konsep demokrasi yang konsisten terus menjadi pendekatan yang dipilih oleh PAS, dan masyarakat majmuk terus menjadi lapangannya. Politik Islam yang diamalkan oleh PAS wajib memimpin, demi memelihara aqidah perjuangan bagi menegakkan konsep adil dan berkebajikan kepada semua, serta hala tuju yang tidak terpesong daripada arah wawasannya.
PAS bersabar dan terus bersabar, sehingga tidak berdendam terhadap sesiapa yang pernah menzaliminya, walaupun orang yang zalim itu terus tidak insaf, kerana matlamat PAS ialah menjadi penyelamat manusia seramai mungkin, termasuklah menyelamatkan orang yang zalim. Bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:
انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا.
“Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi.” (Riwayat 6952)
Tema kami di sini, ialah tegakkan Islam di bumi Malaysia, pastinya Melayu Bumiputera akan selamat, bahkan Cina, India dan semua bangsa pasti akan selamat juga.
Sebaliknya jika tegakkan Melayu tanpa Islam, pasti Melayu sendiri tidak selamat walaupun mengaku Islam, dan Melayu tidak layak memimpin tanpa berpandukan Islam. Inilah maksud daripada firman Allah SWT:
﴿هَا أَنْتُمْ هَؤُلَاءِ تُدْعَوْنَ لِتُنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَمِنْكُمْ مَنْ يَبْخَلُ وَمَنْ يَبْخَلْ فَإِنَّمَا يَبْخَلُ عَنْ نَفْسِهِ وَاللَّهُ الْغَنِيُّ وَأَنْتُمُ الْفُقَرَاءُ وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ٣٨﴾
“Ingatlah, kalian ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (harta) pada jalan Allah. Maka antara kalian ada yang bersikap bakhil, dan siapa yang bakhil sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah itu Maha Kaya sedangkan kalian semua adalah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kalian berpaling (tanpa peduli kepada urusan untuk menegakkan Islam), nescaya Dia akan menggantikan (kalian) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan berkeadaan seperti kalian.” (Surah Muhammad: 38)
Mereka yang berjuang kerana tujuan untuk mengumpulkan harta, bukan mengumpulkan harta kerana perjuangan, sudah tidak layak lagi memimpin umat. Walaupun ramai yang tidak berminat lagi kepada petunjuk Islam.
PAS terus yakin kepada petunjuk daripada Allah SWT. Maka, PAS terus mengajak masyarakat Melayu yang telah Islam untuk terus bersama Islam. Manakala mereka yang terpesong diajak kembali semula kepada Islam yang sempurna, atau kaum lain yang menerima Islam pula layak untuk memimpin.
Islam adalah agama yang wasatiyyah (sederhana dan adil kepada semua). Maka, PAS menolak semua golongan ekstrem yang mengaku Islam termasuklah dalam kalangan bukan Islam. PAS juga menolak golongan liberal yang kehilangan dasar Islam, bahkan ada yang kehilangan sifat kemanusiaannya.
PAS lebih mempercayai kepada janji Allah SWT dan tidak mempercayai kepada ramalan politik andaian:
“Kalau PAS buat begini, maka akan jadi begini dan kalau buat begitu, maka akan jadi begitu.”
Apatah lagi Rasulullah SAW pernah bersabda:
فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ.
“Maka sering kali perkataan ‘kalau’, membuka kerja syaitan.” (Riwayat Muslim 2664)
Firman Allah SWT:
﴿الَّذِينَ قَالُوا لِإِخْوَانِهِمْ وَقَعَدُوا لَوْ أَطَاعُونَا مَا قُتِلُوا قُلْ فَادْرَءُوا عَنْ أَنْفُسِكُمُ الْمَوْتَ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ١٦٨﴾
“Merekalah orang-orang yang mengatakan kepada saudara-saudaranya dan mereka tidak turut pergi berjuang: ‘Sekiranya (kalau) mereka mengikuti kita (menarik diri daripada pergi berperang), tentulah mereka tidak terbunuh.’ Katakanlah (wahai Muhammad SAW): ‘Jika yang demikian, maka tolaklah kematian itu daripada diri kalian, jika kalian orang-orang yang benar.’” (Surah Ali ‘Imran: 168)
Kini, PAS disertai oleh kalangan ilmuwan dan mereka yang berpengalaman bersama rakyat bawahan, sama ada rakyat yang mengenal huruf dan buta huruf. Namun, hati mereka tidak buta, kerana kami berada dalam cahaya yang menyuluh perjalanan dan bermegah bersama Islam.
Apa gunanya jika seseorang itu nampak huruf dengan mata, tetapi akalnya tidak sihat kerana kerakusan nafsu terhadap kehidupan dunia tanpa wawasan akhirat, atau disebabkan pintu hatinya tertutup dan tidak layak mendapat hidayah. Walaupun dirinya bijak seperti Iblis yang pernah melihat syurga dan neraka atau para ulama’ ahli Kitab yang dimurkai oleh Allah SWT kerana berilmu tetapi mengkhianati ilmunya. Hal yang demikian kerana, akalnya masuk ke dalam perut, bukan lagi berada di kepalanya.
PAS bukanlah satu-satunya kumpulan Islam, namun PAS mempunyai kekuatan akar umbi dan kepimpinan yang mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).
PAS mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu, Perikatan Nasional (PN) bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti. Selain itu juga bersama golongan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi menyelamatkan negara, tanpa menghabiskan masa.
PAS menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional yang asal. Matlamat untuk masuk ke medan perjuangan bagi membela umat dalam satu negara dengan melibatkan semua golongan atas asas Perlembagaan yang merdeka dan berdaulat.
PAS menolak politik yang menghabiskan masa dengan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat, tanpa melihat kepada musim bencana alam dan wabak yang masih menular hari ini.
PAS menolak muafakat tanpa bersatu dan menolak kumpulan yang menunjukkan tiada kesetiaan kepada negara dengan sifat melampau yang mencabar agama dan bangsa.
PAS menolak agenda yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, bukan untuk menyelamatkan negara dan semua rakyat.
Marilah bersama tawaran baharu ini iaitu berintegriti dan berkebajkan yang berpijak atas Perlembagaan Persekutuan yang meraikan masyarakat majmuk beragama dan berbangsa.
Marilah sama-sama menolak ekstremisme dan liberalisme yang merungkaikan ikatan agama dan bangsa.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 19 Sya‘ban 1442 / 2 April 2021
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.mindarakyat.net/2021/04/kenyataan-penuh-presiden-pas-hari-ini.html