Kenapa Perlu Tergesa Gesa Cari Pengganti Dr M Soal Maszlee
Ramieza Wahid & Wong Kai HuiDiterbitkan Hari ini 8:42 pagi
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik meminta pihak tertentu memberi ruang kepada perdana menteri untuk terus memegang jawatannya sehingga akhir penggal tanpa tergesa-gesa mencari penggantinya.
Maszlee berkata demikian ketika ditanya mengenai gesaan kumpulan Otai Reformis agar Dr Mahathir memberikan garis masa bagi peralihan kuasa diserahkan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
“Bagi reformis saya yakin agenda mereka adalah untuk perubahan.
“Saya tidak tahu sama ada motif mereka (Otai Reformis) adalah untuk mengangkat individu tertentu sahaja tetapi saya yakin bagi mereka yang laungkan reformasi sejak tahun 1998, mereka pasti ingin ia (reformasi) berlaku dalam negara," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Pusat Perubatan Universiti Malaya Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sokongan agar perdana menteri terus menyandang jawatan selama satu penggal disuarakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali yang mengalu-alukan kenyataan sama diberikan Presiden PAS Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
Pernyataan sokongan itu dibuat ketika hubungan tegang membabitkan Anwar dan Azmin serta spekulasi perebutan jawatan antara kedua-dua pemimpin PKR itu untuk menduduki kerusi nombor satu negara.
Ia menyebabkan Otai Reformis tampil dengan teori bahawa tidak mustahil Azmin akan bergabung bersama BN, PAS dan Bersatu untuk membolehkannya menjadi perdana menteri.
Sebelum ini, kumpulan penyokong tegar Anwar itu menuntut agar perdana menteri memberikan garis masa untuk menyerahkan jawatan kepada penggantinya.
Senada dengan Azmin, Maszlee berkata pelbagai pihak tidak perlu tergesa-gesa untuk mencari pengganti Dr Mahathir memandangkan beliau telah diberikan mandat oleh rakyat sehingga akhir penggal.
“Pada saya apabila dilantik menjadi perdana menteri selalu ia untuk menghabiskan penggalnya dan kita tahu beliau (Mahathir) tidak akan ada di situ selamanya atas perjanjian yang dibuat.
“Namun begitu, mengapa kita mesti tergesa dalam mencari pengganti Tun (Mahathir) dalam pada masa beliau bersama kabinet sedang melakukan yang terbaik,” katanya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2019/08/kenapa-perlu-tergesa-gesa-cari.html