Kemenangan Ph Di Kkb Thank You Pas
PRK Kuala Kubu Baharu baru saja selesai. Perikatan Nasional (PN) menunjukkan prestasi hebat kerana meraih 10,000 undi tetapi kecundang dengan 14,000 undi kepada DAP dan kerajaan perpaduan.
Walaupun kehadiran pengundi di sekitar julat yang rendah, namun DAP dan gandingan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) telah menghasilkan keputusan membanggakan. Syabas kepada bekas pelajar sekolah vernakular, Pang Sock Tao, yang bertungkus lumus meredah panas dan hujan berkempen dan bersuai kenal masyarakat setempat.
Soalannya, kenapa PN tewas? Saya akan memberi analisis saya sendiri.
Jika ditanya saya pada awal hari berkempen, saya berasa DAP akan tewas sebab faktor pengundi Cina yang telah terpengaruh dengan tulisan serta kritikan masyarakat bukan Melayu yang tak sabar nak mendapat perubahan besar dalam sosio ekonomi dan politik maruah yang telah dipunahkan BN selama lima enam dekad. Saya kira pengundi Cina akan memberi protes melalui tidak menghadirkan diri dan dikatakan pengundi India pula akan ‘membalas’ dendam.
Apa yang mengubah pendirian kaum Cina dan India? Saya kira PH-Umno perlu berterima kasih kepada PAS terhadap tiga perkara. Pertama, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari telah mengungkit isu pendidikan vernakular Pang.
PAS, melalui Fadhli, seolah-olah mahu bermain isu perkauman walaupun telah diamarankan bahawa isu 3R (raja, agama dan kaum) akan diambil tindakan keras. Apabila saya membaca tentang berita bagaimana Fadhli ‘memandai-mandai’ nak bawa isu perkauman, saya tersenyum lebar.
Bagi saya tindakan politik ini adalah tindakan paling ‘bodoh dan bangang’ sekali!. Tidakkah PAS tahu yang di kawasan penduduk Cina yang besar bahawa isu pendidikan Cina adalah isu yang dekat di hati kaum tersebut?
Jelas Fadhli seperti kata pepatah sepandai-pandai tupai melompat, ke tanah juga rebah akhirnya. Thank you Fadhli!.
Perkara kedua pula, adalah PN membawa ekstremis terbesar Malaysia, Hadi Awang. Saya fikir beliau tidak hadir tetapi beliau hadir juga untuk membawa naratif ekstremis DAP sebagai hantu kepada Melayu. Saya kira naratif ini masih laku sebab PN mendapat 10,000 undi kemungkinan besar daripada Melayu ‘solid’.
Orang Melayu yang tak faham agama sendiri masih lagi ‘terjajah’ dengan taktik jual ubat ustaz Hadi ini. Seperti kata Allahyarham Ismail Kamus, ‘kesian orang Melayu’…masih ditempurungkan dengan agama cetek dan terhad.
Saya kira faktor Hadi yang memperkukuhkan undi stok orang Melayu telah menakutkan pengundi bukan Melayu untuk keluar berpusu-pusu bagi menolak politik agama sempit Hadi Awang. Thank you Hadi!
Perkara ketiga adalah isu Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan anaknya yang sedang berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan dakwaan rasuah berkaitan penipuan tuntutan sebanyak RM600,000.
Dalam isu ini, maka orang Melayu perlu sedar bahawa parti politik ‘akhirat’ PAS berakhir dengan kejijikan mereka sendiri.
Dalam menghina orang bukan Islam sebagai kaki rasuah sebab tak dapat didikan agama, nampaknya PAS lagi ‘terer’ dalam hal rasuah ini agaknya.
Kemungkinan isu ini telah memberi nafas baru kepada pengundi tegar Umno yang turun berkempen bersungguh-sungguh dengan orang hebat seperti Setiausaha Agungnya Asyraf Wajdi Dusuki.
Alhamdulillah, ‘hero’ KK Mart iaitu Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh tak nampak pun kelibatnya dan ini memberi keyakinan pengundi bukan Melayu tentang kesungguhan Umno untuk bekerjasama dengan PH melalui DAP.
Perkara keempat, saya nampak ketegasan kerajaan perpaduan menentang isu 3R. Walaupun dikritik oleh penulis bukan Melayu dan Melayu liberal serta budak-budak politik dari Muda, jelas kerajaan perpaduan dan Anwar Ibrahim mementingkan keamanan dan kesejahteraan semua rakyat daripada isu ‘freedom of speech’ (kebebasan bersuara).
Apa guna ‘freedom of speech’ jika naratif kebencian secara berleluasa bermaharajalela sehingga memusnahkan keharmonian dan ekonomi rakyat jelata.
Jelas, dalam majlis kesyukuran PH-Umno (tanpa MCA, si pembelot, dan si penderhaka) kita semua perlu berterima kasih kepada PAS yang berjaya meyakinkan rakyat Malaysia bahawa parti mendokong perkauman dan ekstremisme agama tidak ada tempat di negara kita.
Biarlah ekstremisme agama itu berkubu di Pantai Timur bersama kegersangan infrastruktur dan ketandusan idea progresif yang boleh memanfaatkan semua kaum dan agama. Islam agama untuk orang berfikir, bukan untuk orang yang mengikut tanpa otak minda.
InsyaAllah kita doakan agar Malaysia sentiasa dilindungi Allah dari ahli politik bertopengkan manusia ‘warak’, tetapi sebenarnya perakus harta benda rakyat miskin dan manusia sekalian. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/05/kemenangan-ph-di-kkb-thank-you-pas.html