Kembali Ke Setahun Lepas 365 Repeat The Year Mula Dengan Rating Stabil Penonton Puji Plot Cerita
MBC kini kembali dengan drama misteri terbaru iaitu “365: Repeat The Year” di mana ia membawa kisah 10 orang yang diberi peluang untuk kembali ke setahun lepas untuk menjalani semula kehidupan mereka dalam tempoh tersebut. Episod awal ini lebih menceritakan kisah kehidupan di antara watak utama iaitu Ji Hyungju (Lee Jinhyuk) dan Shin Gahyun (Nam Jihyun).
Tayangan awal “365: Repeat The Year”
Hyungju yang merupakan detektif hebat turut mempunyai rakan sekerja yang rapat dengannya seperti keluarga. Pada suatu hari, dia didatangi seorang penjenayah daripada kes lama dan meluahkan perasaan tidak puas hati kepada detektif itu. Berada di ambang kemarahan, penjenayah itu menembak kaki Hyungju sehingga membuatkan dia terpaksa mengheret kaki yang cedera itu sehingga ke rumah. Lebih mengejutkan apabila salah seorang rakan baiknya iaitu Seonho telah pun dibunuh mati selepas pulang. Kejadian itu menyebabkan dia trauma dan tidak boleh melakukan kerjanya dengan baik selain turut terbeban dengan rasa bersalah terhadap mendiang rakan baiknya itu.
Gahyun pula merupakan seorang penulis webtoon yang berjaya namun masa depannya mula nampak kabur apabila kedua-dua belah kakinya tidak lagi dapat berfungsi dengan baik selepas terlibat dengan satu kemalangan ngeri. Wanita itu juga dengan sedih menolak kedua-dua penyokong terbesarnya iaitu rakan baiknya, Minhee dan juga lelaki yang bakal menjadi suaminya iaitu Woojin keluar daripada hidupnya.
Tanpa disangka, kedua-dua mereka menerima panggilan telefon yang meminta mereka untuk datang ke satu lokasi ini sekiranya mereka mahu mengubah masa silam mereka. Tergoda dengan tawaran tersebut, kesemua 10 orang yang dikumpulkan itu dihantar pulang ke setahun yang lepas dengan syarat mereka hanya boleh membawa pulang satu memori sahaja.
Hyungju menggunakan kelebihan tersebut untuk memberkas penjenayah yang telah membunuh Seonho manakala Gahyun kembali ke masa apabila kedua kakinya masih lagi berfungsi. Menyedihkan apabila penulis webtoon itu tanpa sengaja didedahkan dengan kecurangan kekasihnya iaitu Woojin dengan rakan baiknya sendiri, Minhee. Dia kemudiannya memecat kedua-dua merea daripada bekerja dengannya dan menghalau rakannya itu keluar daripada tempat tinggal mereka. Daripada situ juga, Gahyun mendapat tahu siapakah dalang sebenar disebalik kemalangan yang melibatkannya.
Kutipan rating yang membanggakan
Disebabkan oleh plot yang menarik, “365: Repeat The Year” berjaya meraih rating yang baik untuk tayangan awalnya. Episod keduanya mencatat rating 4.4% dan 5.0%, sedikit peningkatan daripada episod perdananya iaitu 4.0% dan 4.9%. Tak pelik kalau ratingnya akan terus meningkat sekiranya drama ini terus menyajikan jalan cerita yang unik dan hebat sehingga mampu menarik ramai lagi penonton lain untuk menontonnya pada episod akan datang.
Jangan lupa saksikan “365: Repeat The Year” pada setiap Isnin dan Selasa menerusi saluran MBC!
Sumber: Sports Seoul
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://kimchidaily.my/kembali-ke-setahun-lepas-365-repeat-the-year-mula-dengan-rating-stabil-penonton-puji-plot-cerita/