Kemasukan Baharu Ke Hospital Jadi Indikator Peralihan Fasa Satu Ke Atas
AGENDA DAILY	 								 								 											

						Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
									 							 					 						Jumlah kemasukan baharu ke hospital bagi kes bergejala kategori  3, 4 dan 5 akan dijadikan indikator bagi negeri-negeri yang berada  dalam fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk beralih ke fasa  berikutnya setelah kadar vaksinasi sekurang-kurangnya 50 peratus  penduduk dewasa dicapai.
Langkah baharu itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara  dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri  Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu ini.
Keputusan itu juga dibuat berdasarkan nasihat pakar kesihatan serta  pengalaman antarabangsa dan domestik dengan penelitian bahawa penularan  Covid-19 akan menurun seiring peningkatan kadar vaksinasi penduduk  dewasa.
Menteri Penyelaras PPN Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz  berkata MPN memutuskan bahawa indikator tersebut hanya akan menggantikan  indikator sedia ada – bilangan kes Covid-19 harian baharu – hanya  apabila vaksinasi sesebuah negeri di dalam fasa satu telah mencapai  kadar sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa.
“Nilai ambang seluruh negara bagi bilangan kes bergejala untuk  peralihan fasa satu ke fasa dua iaitu 2,000 kes sehari seluruh negara  (6.1 per 100,000 penduduk), peralihan fasa dua ke fasa tiga 1,000 kes  (3.0 per 100,000 penduduk) manakala peralihan fasa empat ke lima 400 kes  (1.3 per 100,000 penduduk),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata penilaian bagi peralihan  daripada satu fasa ke fasa selanjutnya masih tertakluk kepada keperluan  memenuhi kesemua indikator termasuk penggunaan kapasiti unit rawatan  rapi (ICU) dan kadar vaksinasi penduduk dewasa.
“Sebagai contoh bagi Lembah Klang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah dan  Melaka yang masih berada di fasa satu, apabila mereka mencapai kadar  vaksinasi sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa, indikator kes  yang akan diguna pakai ialah kemasukan kes baharu ke hospital yang  bergejala.
“Seterusnya, negeri ini hanya boleh beralih ke fasa dua jika mencapai  nilai ambang kes kemasukan hospital baharu yang bergejala (6.1 per  100,000 penduduk) dan tahap kapasiti penggunaan ICU sederhana,” katanya.
Beliau berkata keputusan ini juga diambil selepas risiko penularan  dilihat jelas terkawal di Sarawak dan Labuan dengan pengurangan ketara  kes bergejala serta yang memerlukan rawatan di wad ICU.
“Walaupun Sarawak dan Labuan berdepan dengan penggunaan kapasiti wad  ICU penuh semasa bulan Jun namun setelah kadar vaksinasi mencecah 50  peratus pada bulan Julai, penggunaan kapasiti wad ICU telah menurun bagi  kedua-duanya dan mencapai tahap mencukupi,” katanya.
Beliau berkata penilaian risiko bagi mempertimbang pembukaan aktiviti  ekonomi dan sosial akan lebih tepat jika berasaskan kepada bilangan kes  bergejala kategori tiga, empat dan lima berbanding merujuk jumlah kes  harian baharu.
“Contohnya, walaupun kes harian baharu di Sarawak mencecah 400 sehari  tetapi bilangan pesakit baharu kategori tiga, empat dan lima kurang  daripada 10 pesakit atau dua peratus daripada kes harian.
“Negara-Negara seperti United Kingdom juga telah mengambil pendekatan  yang tertumpu kepada kadar kes bergejala dan telah terus membenarkan  pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial berdasarkan penilaian risikonya  iaitu jumlah kes bergejala adalah rendah walaupun jumlah kes baharu  masih tinggi,” katanya.
Tengku Zafrul juga berkata sejak awal pengumuman PPN, kerajaan telah  menekankan pelan itu perlu bersifat dinamik dengan semua pendekatan yang  diambil adalah berdasarkan data dan sains.
“Ini termasuklah penetapan indikator dan nilai ambang untuk peralihan  fasa. Penggunaan nilai indikator baharu ini akan dapat menambah baik  penilaian risiko dalam mempertimbang pembukaan aktiviti ekonomi dan  sosial dalam konteks peralihan fasa PPN,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/kemasukan-baharu-ke-hospital-jadi.html