Kemaman Oh Kemaman
Dari awal lagi PRK Kemaman menarik perhatian sejak kerusi itu diisytiharkan kosong. Deretan nama turut dilambung – daripada Dr Mahathir Mohamad dan Annuar Musa di pihak Perikatan Nasional (PN) hingga kepada bekas menteri besar Ahmad Said dan bekas menteri Shabery Cheek yang dipertimbangkan Barisan Nasional (BN) semuanya mempunyai ceritanya tersendiri.
PRK Kemaman yang diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lalu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid selepas pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15, bagaimanapun tetap mempunyai tarikannya.
Dilaporkan Mahathir tercari-cari kawasan sebagai tiketnya untuk kembali ke Parlimen semula dan apabila kerusi Kemaman diisytiharkan kosong, pelantikannya selaku penasihat tidak rasmi bagi empat negeri-Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu dalam kerjasama dikenali sebagai SG4 pada 15 Sept melayakkan pencalonannya dipertimbangkan.
Penyokong PAS dikatakan turut mengalu-alukannya sehinggalah presiden parti Abdul Hadi Awang memberitahu media di Muktamar PAS Ke-69 di Shah Alam pada 20 Okt lalu bahawa tidak munasabah untuk mencalonkannya. Serentak dengan itu, nama Mahathir sebagai calon PRK Kemaman tidak lagi diuar-uarkan di sebalik dinantikan ramai dan lenyap setakat itu.
Kemudian, di muktamar sama, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkongsi bahawa Annuar yang sah menjadi ahli PAS dengan simbolik penyertaannya disempurnakan Hadi yang menyampaikan sijil keahliannya pada satu ceramah perdana di Seremban pada 10 Jun lalu, turut berpotensi menjadi calon. Tambahan pula, pelantikannya sebagai timbalan ketua pengarah pilihan raya PAS berkuat kuasa 31 Okt lalu mengukuhkan lagi peluangnya. Kedua-duanya nyata meleset.
Sebaliknya, dicadangkan oleh Umno Kemaman untuk dicalonkan semula, Ahmad yang meraih 38,535 undi untuk tewas kepada Che Alias dengan majoriti 27,179 undi pada PRU15, mengumumkan tidak bertanding PRK Kemaman, sebaliknya dilantik pengarah jentera BN. Shabery pula yang kini pengerusi Felda sejak awal lagi menolak apabila beberapa pihak mencadangkan namanya sebagai calon. Sukar menidakkan BN Terengganu sebenarnya ketandusan calon mampu menang.
Ini diperjelaskan lagi oleh hakikat bahawa PN menang di semua 32 kerusi DUN dalam PRN enam negeri 12 Ogos lalu seiring dengan “gelombang hijau” yang menyaksikan gabungan itu juga mempertahankan Kedah dan Kelantan dengan kemenangan meyakinkan.
Kesudahannya PRK Kemaman 2 Dis ini akan menjadi pertembungan satu lawan satu antara Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan calon BN Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor seperti disahkan pada penamaan calon semalam. Rasanya elok tidak diendahkan segala cakap-cakap mengenai pemilihan calon terbabit kerana ia menjadi hak mutlak parti bertanding.
Pada Raja Affandi, pengundi Kemaman disogok naratif mereka berhak mendapat seorang Ahli Parlimen yang dapat memberi fokus kepada penduduknya. Calon BN itu ditawarkan bukan sahaja sebagai seorang yang membesar dan amat memahami daerah berkenaan, malah mempunyai pengalaman melindungi kesejahteraan rakyat dan menjadi “panglima” kepada ribuan anggota untuk membela keselamatan rakyat.
Sebaliknya, pencalonan Samsuri didakwa sebagai tidak adil dan tidak amanah kepada pengundi Kemaman di samping PAS seperti tidak ada orang lain dan mungkin berasakan itu sahaja terbaik yang nak ditawarkan. Ini senada dengan kenyataan Ahmad sebelum ini yang berasakan menteri besar akan kesuntukan masa untuk membahagikan tumpuan antara tugas rasmi, DUN Ru Rendang yang diwakilinya serta Kemaman pula.
Menangkis tanggapan itu, Hadi mempertahankan tiada keperluan untuk Samsuri meletak jawatan menteri besar seperti dicabar Ketua Penerangan Umno Azalina Othman kerana percaya naib presiden PAS itu mampu melaksanakan tugas dengan baik. “Ada berapa menteri besar, ketua menteri jadi Ahli Parlimen (seperti Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan). Jadi (Samsuri) tak perlu letak jawatan (untuk beri tumpuan kepada Kemaman),” katanya.
Berbanding PRK Pulai dan Simpang Jeram pada 9 Sept yang dimenangi Amanah dan PRK Pelangai dimenangi Umno pada 7 Okt – kedua-duanya ketika “gelombang hijau” dapat dibendung daripada menular ke Johor dan Pahang – PRK Kemaman bakal menghadirkan suasana yang sama sekali berbeza.
Tidak hairan jika BN akan mendapati serba-serbinya berlawanan dengan keadaan di tiga PRK terdahulu itu – kehadiran di majlis-majlis ceramahnya, kurangnya keghairahan pengundi untuk keluar beramai-ramai memberi sokongan mahupun naratif dibawa PN bahawa kerajaan perpaduan tidak bersikap adil dengan enggan memberi peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Hujah Pengerusi BN Zahid Hamidi bahawa Kemaman kubu kuat Umno dan bukannya PAS mungkin bersandarkan kepada fakta silam jika diambil kira pertarungan empat penjuru pada pilihan raya lalu menyaksikan Che Alias meraih 65,714 undi menewaskan Ahmad (38,535 undi), calon PH Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506 undi). Pada PRU14, Che Alias (39,878) menang ke atas Shabery (37,715) dengan majoriti 2,163 undi.
Alasannya bahawa kekalahan BN pada PRU15 disebabkan fitnah terhadap Umno dan BN selain penggunaan sumber kewangan yang luar biasa oleh pihak lawan, mungkin hanya “membakar” lagi pengundi Kemaman yang menaruh simpati terhadap pembatalan kemenangan Che Alias dan mungkin terdorong untuk mencontohi PRK Kuala Terengganu apabila calon PN Ahmad Amzad Hashim menang dengan majoriti lebih besar 47,266 undi berbanding majoriti 40,907 undi pada PRU15.
Dalam pada itu, BN tetap dijangka berhabis-habisan dengan menggerakkan segenap jenteranya untuk cuba mengubah keadaan, apatah lagi PRK Kemaman penting bagi menentukan sokongan dua pertiga kerusi kerajaan di Dewan Rakyat dapat dikembalikan.
“Sekarang kita ada 147 kerusi, sebelum ini 148 kerusi. Jadi pilihan raya di Kemaman ini sebagai penentu kerusi ke-148. Kita harap orang Kemaman akan cipta sejarah tersendiri,” kata Ahmad, yang di bahunya tergalas beban besar selaku pengarah jentera pilihan raya BN bagi PRK berkenaan.
Ditilik dan ditimbang-timbang ikut mana pun, sukar untuk terlepas pandang kenyataan Timbalan Ketua Umno Terengganu Nik Dir Nik Wan Ku pada 26 Okt lalu bahawa mengurangkan majoriti dimenangi PN menjadi sasaran paling realistik boleh dicapai BN berbanding menang. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2023/11/kemaman-oh-kemaman.html