Keluarga Pertimbang Saman Polis Trafik
Noorazura Abdul Rahman
“PADA masa ini ahli keluarga sedang berbincang untuk memfailkan saman, namun saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana ingin memberi tumpuan kepada anak saya agar sihat terlebih dahulu,” kata Hashimah Mahmood, 49.
Ibu kepada mangsa tembak anggota polis trafik kelmarin, sangat berharap siasatan kejadian itu dapat dijalankan secara telus.
Katanya, dia mahukan keadilan untuk anaknya, Mohamad Alif Aiman Anuar, 21, yang masih terlantar dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas menjalani pembedahan mengeluarkan peluru semalam.
“Alif kini kelihatan stabil namun mengadu sakit di bahagian tangannya yang turut bengkak, sekarang dia perlu dijaga rapi dan tidak boleh terkena jangkitan kuman yang boleh menyebabkan risiko lain pula.
“Walaupun tembakan itu mengenai lengan kiri, namun banyak saraf tangan Alif sudah rosak termasuk satu urat nadi terputus selain tulang pada bahagian terkena tembakan hancur,” katanya ketika dihubungi.
Suri rumah ini berkata, dia sangat menaruh harapan tinggi kepada Alif agar cepat sembuh dan dapat berkerja seperti sedia kala.
Katanya, ini kerana anak ketiga daripada lima beradik itu turut membantu keluarga berikutan bapanya hanyalah pekerja kargo di Langkawi dengan gaji RM1,400 sebulan.
“Kami sekeluarga bukanlah orang senang, apabila melihat keadaan anak saya sekarang, saya rasa sedih tapi saya tak boleh tunjukkan kesedihan itu di depannya.
“Saya tetap memberi semangat kepada Alif dan walaupun risiko untuknya (cacat) sangat tinggi, saya tak mahu sebut perkataan itu, biar cik (wartawan) saja yang tulis, perkataan itu jika saya sebut akan jadi seperti doa, saya sangat sayangkan Alif kerana dia seorang anak yang baik,” katanya dalam keadaan sebak.
Mangulas mengenai siasatan polis yang mengatakan anggota terbabit dihimpit sehingga memaksa tembakan dilepaskan, Hashimah berkata, dia sudah bertanyakan kepada Alif sebelum ini adakah dia dan rakannya membuat anggota itu merasa terancam, Alif menjawab tidak.
"Alif beritahu, dia dan rakannya tidak bertindak melawan atau menendang motosikal polis itu atau mengeluarkan apa-apa barang dalam beg yang dibawa.
"Polis sudah datang ke hospital sebelum ini untuk ambil keterangan Alif, saya tak tahu betul atau tidak dakwaan polis itu, yang saya tahu rakan yang menunggang motosikal itu mungkin sangat takut kerana saya difahamkan hari itu adalah hari pertama dia bekerja," katanya.
Kelmarin dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, Alif yang bekerja sebagai tukang paip ditembak di lengan kiri oleh anggota polis trafik ketika cuba memberhentikan motosikal dinaiki mangsa dan rakannya di Jalan Langgar berhampiran Jalan Datuk Kumbar.
Ketika kejadian, Alif yang berasal dari Kuala Kedah sedang membonceng motosikal terbabit untuk ke tempat kerja mereka di Alor Mengkudu.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/06/keluarga-pertimbang-saman-polis-trafik.html