Kelebihan Bisnes Homestay Kepada Komuniti Setempat
Apakah kelebihan yang ada pada bisnes homestay sehinggakan ada ramai yang mula tertarik untuk menjadi pengusaha bisnes homestay diluar sana?
Pernah tak persoalan tentang kelebihan bisnes homestay ini terlintas difikiran anda?
Homestay merupakan suatu jenis penginapan dimana tetamu akan tinggal di rumah kediaman milik tuan rumah, biasanya untuk satu tempoh masa yang singkat (short term rental).
Terdapat dua konsep homestay yang dipraktikkan di negara kita.
Pertama, tetamu akan tinggal bersama dengan tuan rumah dalam bilik yang disediakan, dan mereka akan ikuti aktiviti harian tuan rumah.
Konsep yang kedua, tetamu akan menyewa keseluruhan ruang dalam rumah tanpa perlu berkongsi dengan sesiapa pun sepanjang tempoh penginapan tersebut.
Dalam perkongsian kali ini, kita akan cuba bincangkan satu persoalan mengenai, bagaimana dengan adanya kewujudan bisnes homestay di sesuatu kawasan dapat memberi manfaat dan sumbangan kepada komuniti setempat.
Tanpa membuang lebih banyak masa, kita terus kepada poin yang pertama.
(1) Sumbangan dari segi pertumbuhan ekonomi
Kita sedia maklum, pengusaha yang menjalankan bisnes homestay ini motivasi mereka sebenarnya adalah untuk menjana pendapatan dan mengaut keuntungan, melalui hartanah yang mereka miliki.
Oleh sebab itu, mereka perlu mempunyai strategi yang tepat dalam menetapkan harga atau kadar sewa yang betul untuk bisnes homestay mereka.
Baca juga: Cara menetapkan kadar sewaan untuk Bisnes Homestay
Itu merupakan lumrah dalam perniagaan.
Tiada perniagaan yang sanggup meneruskan operasi tanpa sebab lain, selain untuk meraih keuntungan.
Tetapi, kita juga ingin tahu, apakah impak bisnes homestay kepada komuniti setempat?
Adakah bisnes ini mampu memberi sumbangan yang sama, iaitu pertumbuhan ekonomi, sama ada secara langsung ataupun tak langsung kepada penduduk sekitar?
Jwapannya adalah, ya memang boleh.
Pertama sekali, kita perlu lihat ciri yang membezakan antara bisnes homestay dengan tempat penginapan seperti hotel. Homestay ini biasanya beroperasi dikawasan perumahan penduduk.
Sebagai contoh, saya ambil homestay di Kota Bharu yang diberi nama Homestay Inap Ayahanda Bonda.
Saya menginap di homestay selama 3 hari 2 malam, dan sepanjang tempoh penginapan tersebut, saya sendiri melakukan beberapa aktiviti yang menyumbang kepada kegiatan ekonomi dikawasan tersebut.
Sebagai contoh,
Saya sarapan pagi di Kopitiam Kita yang popular dengan menu Roti Titab
Saya shopping di Pasar Siti Khadijah
Saya makan malam di Restoran KST Selera Ikan Bakar, berdekatan Pasar Wakaf Che Yeh
Kemudian ada juga hari yang saya order makanan melalui Food Panda
Saya juga mengunjungi beberapa tempat menarik yang terdapat di Kota Bharu.
Sepanjang penginapan tersebut, saya bukan hanya memberikan bisnes kepada pemilik homestay, kerana pada masa yang sama, saya turut memberi bisnes kepada perniagaan lain yang berada dikawasan sekitar.
Selepas saya dan keluarga check out, pemilik homestay akan mula lakukan kerja-kerja pembersihan.
Cadar, selimut, sarung bantal dan sebagainya akan dicuci. Besar kemungkinan, semua ini akan dihantar ke dobi berhampiran. Kalau lagi ramai tetamu yang datang check in, maka akan lebih kerap kerja-kerja pembersihan ini akan dilakukan.
Maksudnya, bisnes kedai dobi juga akan menerima manfaat daripada kerancakkan bisnes homestay yang dijalankan.
Selain itu, saya boleh katakan pemilik stesen minyak juga boleh mendapat manfaat dari bisnes homestay. Terutama sekali kalau ada tetamu yang travel long distant dengan memandu kenderaan sendiri.
Dalam perjalanan balik, dia pasti akan singgah untuk mengisi minyak terlebih dahulu, sebelum memulakan perjalanan yang jauh.
Biasanya, dekat sesebuah kawasan yang ada stesen minyak yang agak besar, dekat situ juga akan dibuka kedai serbaneka, perkhidmatan mesin ATM dan beberapa lagi perkhidmatan.
Perkhidmatan ini semua turut boleh dimanfaatkan oleh komuniti sekitar.
(2) Penciptaan peluang pekerjaan
Kewujudan homestay juga sebenarnya mampu untuk mencipta peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung.
Kita cerita dari aspek peluang pekerjaan yang dicipta secara langsung terlebih dahulu.
Kalau secara langsung, pengusaha homestay boleh memngambil pekerja untuk membantu dengan kerja-kerja seperti
a. Kerja-kerja pembersihan
b. Kerja-kerja mempromosikan bisnes homestay
c. Kerja memasak dan penyediaan makanan
Kalau secara tak langsung, sumbangan yang dapat diberikan kepada komuniti setempat sebenarnya lebih banyak.
a. Pemilik homestay boleh menyokong perniagaan tempatan dengan membeli keperluan disitu
b. Mendapatkan perkhidmatan baik pulih, potong rumput dan sebagainya dari penduduk tempatan
c. Menawarkan khidmat pakej aktiviti bersama penginapan homestay dari penduduk tempatan
d. Mempromosikan khidmat urut di homestay
e. Mempromosikan hasil kraftangan ataupun produk makanan tradisional tempatan
f. Pemilik homestay mengupah pekerja pembersihan yang terdiri dari penduduk sekitar
Kalau kita perhalusi lagi, mungkin lebih banyak peluang pekerjaan yang boleh dicipta, apabila ada bisnes homestay mula beroperasi. Ada kerja yang perlu dilakukan secara berkala, dan ada kerja yang bersifat one time.
Kemudian kita perlu lihat juga, kewujudan bisnes baru yang dibuka, kerana kerancakkan aktiviti pelancongan dikawasan tersebut. Ini juga menyumbang kepada aktiviti penciptaan peluang pekerjaan.
(3) Pertukaran budaya
Homestay menggalakkan untuk berlaku pertukaran budaya antara tuan rumah dengan tetamu.
Sekiranya anda turut menggunakan platform Online Travel Agent (OTA) seperti Airbnb untuk mempromosikan bisnes homestay anda, peluang untuk anda mendapatkan tetamu dari luar negara itu agak tinggi.
Tetamu yang datang menginap, akan lebih memahami tentang budaya, seni bina, tradisi serta adat yang diamalkan. Itupun kalau pemilik homestay ada menerapkan nilai-nilai tersebut dalam homestay miliknya.
Dengan tinggal bersama keluarga tempatan, tetamu boleh belajar tentang gaya hidup, nilai-nilai, kepercayaan, dan sejarah tuan rumah. Mereka juga boleh menyertai aktiviti harian seperti memasak, berkebun, atau menyambut perayaan.
Seterusnya, pengetahuan dan pengalaman ini, mereka boleh bawa pulang ke tempat asal untuk diceritakan kepada kenalan mereka. Manalah tahu akan ada antara kenalan atau saudara-mara mereka yang akan datang pula.
(4) Integrasi komuniti
Apa maksud integrasi?
Menurut kamus dewan bahasa dan pustaka, istilah integrasi ini merujuk kepada penggabungan atau pergabungan dua atau beberapa kaum (unsur, bahagian, dan lain-lain) menjadi satu kesatuan.
Tetamu yang datang menginap di homestay sering berinteraksi dengan masyarakat serta komuniti tempatan, lalu menghasilkan integrasi dengan budaya dan cara hidup masyarakat tempatan.
Pihak tuan rumah akan cuba memahami dan mempelajari budaya tetamu yang datang, lalu membuatkan kehadiran mereka rasa dialu-alukan. Untuk jangka masa panjang, integrasi ini berlaku dan akhirnya menjadi sebahagian dari budaya masyarakat setempat.
Sudah tentu, perkara yang baik kita boleh jadikan sebagai amalan, manakala budaya yang kurang sesuai, kita akan tinggalkan.
Apakah integrasi budaya yang pernah diserap masuk sehingga menjadi perkara biasa dalam masyarakat kita? Saya kira ada banyak.
Antaranya adalah seperti budaya Korea, yang mana kita sekarang cenderung untuk meminati produk keluaran mereka, sama ada produk seperti barangan elektrik, kereta, filem, muzik dan lain-lain karya seni.
Selain itu, kita juga mula biasa dengan bahasa pertuturan mereka, cara hidup, makanan dan banyak lagi.
Kalau dilihat lebih jauh kebelakang, integrasi budaya Arab dengan Melayu juga pernah berlaku, dan kita boleh lihat kesannya hingga ke hari ini. Sebagai contoh, penggunaan beberapa perkataan dalam pertuturan, huruf dalam penulisan, cara berpakaian dan banyak lagi.
Perkara ini tak asing lagi, memandangkan asal bagi agama yang dianuti oleh Muslim di negara kita ini juga memang berasal dari Tanah Arab.
(5) Mempelbagaikan sumber pendapatan penduduk
Penduduk boleh mengambil peluang untuk menambahkan sumber pendapatan mereka dengan menjadi host atau tuan rumah.
Jika mereka mempunyai rumah kediaman yang jarang digunakan, atau bilik-bilik yang kosong, ianya boleh digunakan bagi tujuan menjana pendapatan tambahan melalui sewaan jangka masa pendek (short term rental).
Perniagaan homestay dapat memberikan peluang untuk menjana pendapatan dengan lebih fleksibel dan ia bukanlah sebuah perniagaan yang terlalu sukar atau rumit.
Anda boleh baca perkongsian sebelum ini bertajuk panduan bisnes homestay untuk orang baru, jika masih belum jelas tentang perjalanan bisnes ini.
Perniagaan homestay ini juga sebenarnya ada potensi untuk membantu penduduk menghadapi masalah ketidaktentuan ekonomi, perubahan cuaca, dan lain-lain isu yang boleh memberi ancaman kepada sumber pendapatan utama penduduk.
Dengan mempelbagaikan sumber pendapatan, mereka boleh mengurangkan kebergantungngan mereka pada satu sektor atau aktiviti ekonomi semata-mata.
(6) Pembangunan infrastruktur
Perbincangan sebelum ini lebih berkisarkan kepada manfaat yang diperolehi bagi penduduk setempat yang mempunyai perniagaan sendiri. Perniagaan yang mereka jalankan turut menerima manfaat daripada kegiatan bisnes homestay.
Tetapi, bagaimana pula keadaannya dengan penduduk setempat yang tak memiliki sebarang bisnes?
Adakah mereka ini turut menerima manfaat atau sebarang kelebihan daripada kewujudan bisnes homestay yang beroperasi dikawasan kejiranan mereeka?
Jawapannya ya.
Mereka masih mendapat manfaat.
Walaubagaimanapun, manfaat yang dia perolehi mungkin bukan secara terus atau dalam bentuk manfaat ekonomi, tapi dalam bentuk pembangunan infrastruktur.
Permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan hoemstay boleh membawa gambaran bahawa banyak pelancong dari luar mula datang ke kawasan tersebut, dan ini memerlukan peningkatan infrastruktur tempatan seperti jalan raya, pengangkutan awam, utiliti dan sebagainya.
Ia juga dapat menggalakkan kerajaan dan pihak yang berkepentingan untuk melabur dalam pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur yang boleh memudahkan pelancong dan meningkatkan kualiti hidup penduduk.
Sebagai contoh, sistem jalan raya yang baik boleh memudahkan pergerakkan dan perjalanan penduduk setempat, pelancong yang datang dari luar dan juga pemilik homestay. Ia juga meningkatkan tahap keselamatan.
Kemudian apabila aktiviti pelancongan mula semakin rancak dan menarik lebih banyak pelancong luar, syarikat dan perniagaan lain akan mula melihat ini sebagai potensi yang baik dan mereka akan mula membuka cawangan atau franchise mereka dikawasan tersebut.
Ini juga dapat memanfaatkan penduduk setempat dengan peluang menikmati kemudahan yang sebelum ini tak ada, dan juga peluang pekerjaan.
(7) Jaringan pengangkutan yang baik
Jaringan pengangkutan ini bukan semata-mata dilihat pada wujudnya jalan raya ataupun lebuh raya semata-mata.
Kita juga perlu lihat dari segi kewujudan pengangkutan awam yang boleh dimanfaatkan, contohnya seperti perkhidmatan bas ekspress, kereta api, kapal terbang dan sebagainya.
Apabila jumlah kemasukkan pelancong dari luar semakin bertambah ramai, ini memerlukan mod pengangkutan yang lebih baik untuk memenuhi permintaan tersebut.
Justeru, untuk menggalakkan lagi aktiviti pelancongan, pihak yang berkepentingan akan mula melabur bagi tujuan mewujudkan jaringan pengangkutan yang lebih baik. Kemudahan ini bukan semata-mata bertujuan untuk memudahkan pelancong dari luar, malahan penduduk tempatan juga boleh memanfaatkan kelebihan ini.
(8) Penjimatan dari segi kos penginapan
Umumnya kos penginapan di homestay adalah lebih murah berbanding menginap di hotel.
Ini menjadi satu sebab yang kuat, kenapa tetamu lebih memilih untuk menginap di homestay berbanding hotel.
Lazimnya perkhidmatan homestay ini diberi keutamaan apabila ada keluarga yang ingin mengadakan majlis perkahwinan. Peranan homestay pada waktu tersebut, sama ada untuk dijadikan tempat penginapan, ataupun jika sesuai dan mendapat kebenaran dari tuan rumah, boleh dijadikan lokasi majlis.
(9) Peluang untuk memulakan persahabatan dan membina networking
Peluang ini lazimnya terbuka kepada pemilik homestay dan juga dengan tetamu.
Sebagai tuan rumah, anda berpeluang untuk menerima tetamu dari pelbagai latar belakang. Jika anda mempunyai inisiatif untuk membina persahabatan dan networking, ia sedikit sebanyak boleh memberi manfaat kepada anda.
(10) Peningkatan aktiviti pelancongan
Homestay berupaya untuk menyumbang kepada peningkatan aktiviti pelancongan disesuatu kawasan.
Kita sedia maklum, ada pelancong yang datang kerana tertarik dengan budaya, sejarah, makanan setempat dan ada yang berminat untuk mencari pengalaman baru yang mungkin tak akan dapat diperolehi ditempat lain.
Saya secara peribadi, tertarik untuk menginap di Sekinchan, kerana ingin merasakan pengalaman bermalam di sawah padi.
Sebelum ini, saya pernah rasa pengalaman menginap di tepi pantai, tepi sungai, dikawasan pergunungan dan sebagainya. Kali ini, saya ingin merasai pengalaman berbeza apabila bermalam di tengah sawah bendang.
Anda yang membaca penulisan saya ini, boleh saya tahu sama ada anda dah pernah ada pengalaman bermalam ditengah-tengah sawah padi?
Kalau belum pernah ada, saya syorkan anda cubalah cari masa untuk berbuat demikian.
Sekali dalam seumur hidup, apa salahnya.
Dewasa ini memang banyak projek perumahan yang baru dibina, sama ada perumahan jenis landed atau projek apartment yang dijadikan homestay. Namun hakikatnya, diluar sana masih banyak terdapat homestay yang dibina dikawasan yang unik dan memberikan pengalaman penginapan yang tak akan diperolehi ditempat lain.
Seperti yang saya sebutkan tadi, kategori pelancong ini ada pelbagai.
Ada yang melancong kerana inign mencuba menu masakan tempatan.
Ada yang melancong kerana ingin mengunjungi tempat-tempat menarik.
Ada yang melancong kerana ingin merasai pengalaman penginapan yang unik .
Dengan adanya usaha untuk membangunkan aktiviti pelancongan, oleh pihak berkuasa dan pihak berkepentingan, ini dapat memberi banyak manfaat kepada ekonomi, dan kepada masyarakat sekeliling.
Kesimpulan
Sebagai tempat penginapan, homestay adalah satu pilihan yang bagus dan berbaloi untuk tetamu yang datang sama ada bagi tujuan melancong, urusan kerja atau atas urusan sosial yang lain.
Jelas, kewujudan bisnes homeestay ini sebenarnya mempunyai banyak kebaikkan dan memberi manfaat kepada banyak pihak. Manfaat yang disumbangkan pula adalah sama ada secara langsung, ataupun secara tak langsung.
Walaubagaimanapun, bisnes homestay, bukanlah satu bisnes yang tanpa ada kekurangan atau kelemahannya. Sudah tentu, bisnes ini juga ada memberikan impak negatif, kepada pemilik dan juga kepada masyarakat setempat, jika tidak dilaksanakan dengan berhati-hati.
Hal ini In Shaa Allah kita akan bincangkan dalam kesempatan seterusnya. Kita akan bincangkan apakah kekurangan bisnes homestay kepada komuniti setempat.
Kita perlu terima hakikat, memang ada disesetengah tempat yang mana bisnes homestay sangat tak sesuai untuk dijalankan.
Tapi jika anda tetap memaksa dan berkeras untuk jalankan juga bisnes tersebut disitu, ia mungkin memberi anda lebih banyak mudarat berbanding manfaat.
Apa pun, itu topik perbincangan dilain masa.
Mudah-mudahan apa yang kita bincangkan disini, mengenai kelebihan dan manfaat bisnes homestay ini berguna untuk anda.
The post Kelebihan Bisnes Homestay kepada komuniti setempat appeared first on Blog Sabree Hussin.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.sabreehussin.com/kelebihan-bisnes-homestay/