Kelantan Sedia Kaji Perintah Berkurung Remaja Di Malam Hari
Diterbitkan 1 Nov 2018, 12:25 tengah hari
Bagi mengatasi gejala sosial di Kelantan, kerajaan negeri bersedia mengkaji pelaksanaan perintah berkurung pada waktu malam melibatkan golongan remaja.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md Nawi berkata, sekurang-kurangnya tujuh negara sudah melaksanakan perintah berkurung ke atas remaja dan kanak-kanak, lapor Utusan Online.
Menurutnya, antara negara yang sudah melaksanakannya adalah Amerika Syarikat (AS), Australia, Thailand, Jerman, Britain, Iceland dan United Kingdom (UK).
"Kita sambut baik cadangan perintah berkurung yang mampu merapatkan hubungan kekeluargaan dan menurunkan kadar gejala sosial, peraturan sebegini sudah dilaksanakan di lebih 500 buah bandar di AS dan banyak negara lain.
"Kebanyakan negara menetapkan remaja berusia 16 tahun ke bawah tidak boleh keluar rumah melebihi pukul 10 malam manakala bagi remaja bawah 18 tahun pula larangan adalah pada waktu melebihi pukul 12 malam,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap menggulung perbahasan Belanjawan 2019 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu, semalam.
Mumtaz yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) Demit berkata, beliau yakin berdasarkan perkembangan isu sosial masa kini, sudah tiba masanya untuk melaksanakan apa yang menjadi amalan negara luar demi menjamin masa hadapan anak-anak di negeri ini.
Justeru katanya, perintah berkurung boleh dibuat sama ada melalui kuasa legislatif negeri ataupun undang-undang kecil majlis perbandaran.
"Negara maju sudah pun menjadikan ini amalan malah jika kita melihat contoh negara Iceland peraturan begini telah terbukti berjaya mengurangkan gejala sosial di negara tersebut.
"Malah, ada bandar di AS seperti Los Angeles yang mengenakan perintah berkurung untuk remaja bukan saja waktu malam bahkan tempoh tertentu pada waktu siang," jelasnya dipetik sebagai berkata
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2018/11/kelantan-sedia-kaji-perintah-berkurung.html