Kek Pisang Yang Sangat Moist
Kek pisang hari ini telah lama disediakan tapi kerana mendahulukan catatan perjalanan kami ke Bangkok dengan kawan kawan alumni bekas penghuni kolej ketiga Universiti Malaya, jadi entri ini agak lama tertangguh.
Sebelum kita masuk bab resepi, kita sembang bab semasa berkaitan audio perbualan yang tengah hot diperkatakan sekarang. Saya tidak berniat untuk mengulas mengenai content audio tersebut dan saya juga tidak menyokong tindakan mendedahkannya kepada umum. Tapi apa yang ingin saya sentuh sedikit ialah bab yang lebih besar dari itu iaitu bab aib.
Kadang kadang di dunia ini, walaupun ada orang melakukan aib yang besar, Allah menutupnya. Kadang kadang ada orang lain yang membuat dosa tapi Allah membuka aibnya seperti banyak kes video yang pernah viral sebelum ini. Kenapa terjadinya begitu?
Dari Abu Barzah Al Aslami ia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya namun keimanannya belum masuk ke dalam hatinya, janganlah kalian mengumpat seorang muslim dan jangan pula mencari-cari kesalahannya. Sebab siapa saja yang mencari-cari kesalahan mereka, maka Allah akan mencari-cari kesalahannya. Maka siapa saja yang Allah telah mencari-cari kesalahannya, Allah tetap akan menampakkan kesalahannya meskipun ia ada di dalam rumahnya.” (Sunan Abu Daud No: 4236) Status: Hadis Hasan.
Jadi pengajarannya ialah barang siapa yang mencari-cari kesalahan saudara muslimnya, maka Allah akan membuka kesalahan dan aibnya walaupun yang ada di dalam rumahnya.
Tiada manusia yang tidak membuat dosa. Tapi menyedari dosa yang telah dilakukan, kita perlu bertaubat dan memohon serta berdoa agar Allah menutup aib kita di dunia, agar Allah tidak menayangkan aib kita di Padang Mahsyar kelak. OK sekarang kita masuk pula bab resepi masakan.
Kami membeli sesikat pisang emas dan sesikat pisang berangan kerana Ammar memang suka makan pisang. Saya mengambil 5 biji pisang emas untuk dibuat kek. Lagi pula, saya memang gemarkan kek simple macam kek pisang ni.
Saya membuat kek pisang kerana rasa macam dah lama tak makan kek pisang. Tiba tiba rasa nak mengunyah kek yang disediakan sendiri. Homemade cake rasanya lebih sedap berbanding dengan yang dibeli di kedai. Lagi pulak menyediakan kek pisang ni sangat mudah dan cepat. Kek pisang ini selepas beberapa hari, rasanya akan lebih sedap dan lembap.
Jom layan resepi yang saya gunakan di bawah ini. Selamat mencuba....
Kek PisangOleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:5 biji pisang emas - 250 gram1 cawan gula kaster1 cawan minyak jagung4 biji telur gred sederhana
Bahan ayak:1 ½ cawan tepung gandum1 sudu kecil soda bicarbonat1 sudu kecil baking powder
Bahan lain:1 sudu besar jus limau nipis 1 sudu kecil esen vanila
Cara cara:Panaskan oven pada suhu 170C. Lenser mentega pada loyang saiz 9"x5"x3”. Taburkan tepung gandum. Ketepikan.
Putar gula, telur dan minyak dalam anggaran 3 hingga 5 minit sehingga putih dan kembang.
Pisang dilecek sehingga hancur. Masukkan pisang dan kacau rata.
Masukkan pula tepung yang telah diayak sedikit demi sedikit. Kacau sebati dengan menggunakan spatula.
Masukkan esen vanila, jus limau dan gaul sebati. Tuang dalam loyang dan bakar selama 40 - 60 minit atau sehingga masak.
Nota:Apabila permukaan atas telah perang, saya kurangkan suhu ke 150C. Saya bakar selama 1 jam.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.aziekitchen.com/2020/01/kek-pisang-yang-sangat-moist.html