Kegembiraan Tak Perlu Barang Mahal Ibu Bapa Ini Sambut Hari Jadi Anak Dengan Berkongsi Ais Krim Malaysia
Hari ulang tahun kelahiran pastinya menjadi detik yang sangat dinanti-nantikan oleh anak-anak. Saat ini jugalah ibu ayah sering berusaha sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik buat si anak dari dekorasi meriah, kek kartun idaman, hinggalah kepada hadiah yang menggembirakan hati mereka.
Namun berbeza pula dengan pasangan suami isteri ini yang memilih pendekatan lebih sederhana dan penuh makna sempena ulang tahun ke-3 anak mereka, Mateen. Tanpa dekorasi mahal atau majlis besar-besaran, mereka sekeluarga meraikan hari istimewa itu dengan cara yang cukup manis iaitu berkongsi ais krim Malaysia secara percuma kepada orang ramai!
Ais Krim Malaysia + Ucapan Hari Jadi = Bahagia Berganda!
Lebih menarik, setiap penerima ais krim perlu menyampaikan ucapan “Selamat Hari Jadi, Mateen” terlebih dahulu sebelum mendapat manisan tersebut. Momen ini bukan sahaja menggembirakan Mateen, malah turut menyemai rasa syukur dan gembira kepada mereka yang menerima hadiah kecil ini.
Menurut ibu Mateen, inisiatif ini bertujuan mendidik anak tentang erti kegembiraan sebenar yang tidak bergantung pada harga atau kemewahan, tetapi datang dari keikhlasan dan sikap memberi.
“This year kita buat istimewa sikit, kongsi dengan semua orang little gift, to teach you that happiness tak perlu barang mahal, tak perlu sambutan besar-besaran…”
@3llyss4_ 3 awesome years with you, and still counting. This year kita buat special sikit, share dgn semua org little gift. To teach u that happiness tak perlu barang mahal. Tak perlu sambutan besar besaran. Cukup berkongsi dgn penuh rasa ikhlas. If we could give you the whole world, we would, sayang 🤍 Terima kasih dari hati yang paling dalam kepada semua yang sudi menerima hadiah kecil dari kami, serta memberi ucapan dan doa yang baik buat anak kami. You made our child feel seen and so, so loved 🥹🤍 #Mateenturns3 #birthday #fyp ♬ original sound – 3llyss4_
Bukan Anak-Anak Saja, Orang Dewasa Pun Teruja!
Walaupun idea ini tampak ringkas, namun impaknya cukup besar. Kanak-kanak kelihatan begitu teruja, dan lebih mengujakan, golongan dewasa juga tidak melepaskan peluang merasai nostalgia zaman kecil dengan ais krim ikat tepi yang menyegarkan itu. Perisa sirap, milo dan jagung antara yang menjadi kegemaran ramai.
Tindakan ibu bapa ini turut mendapat pujian warganet yang rata-ratanya tersentuh dengan pendekatan berjiwa mereka. Di sebalik hadiah kecil itu, terselit pengajaran besar tentang nilai kesederhanaan dan kepentingan menyemai rasa syukur sejak kecil.
Pa&Ma Suka Ingatkan…
✅ Sambutan hari jadi tak perlu mewah, yang penting penuh kasih sayang.
✅ Anak-anak mudah belajar melalui contoh ibu ayah. Bila mereka lihat ibu ayah suka berkongsi, mereka juga akan membesar dengan jiwa yang pemurah.
✅ Momen sederhana seperti ini akan jadi kenangan indah yang anak-anak bawa hingga dewasa.
Buat ibu ayah yang sedang mencari idea sambutan hari jadi yang bermakna, kisah ini boleh jadi inspirasi. Ingat, hadiah paling berharga buat anak adalah masa, perhatian dan kasih sayang yang kita curahkan setiap hari. 🌸
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/kegembiraan-tak-perlu-barang-mahal-ibu-bapa-ini-sambut-hari-jadi-anak-dengan-berkongsi-ais-krim-malaysia/