Kedai Gambar Kurang Sambutan
Sama ada kita mahu atau tidak, perubahan zaman dan perkembangan teknologi telefon pintar memberikan kesan kepada pengusaha kedai gambar sekarang.
Trend menyimpan foto secara digital memberi kesan besar kepada perniagaan kedai cetak gambar hampir di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Pengurus kedai gambar Khalaf Jaya Enterprise, Syahirah Omar mengakui, perubahan zaman dan perkembangan teknologi telefon pintar memberikan kesan ketara kepada pengusaha kedai gambar apabila kehilangan ramai pelanggan.
“Sekarang ini orang muda sudah jarang mahu cuci (cetak) gambar. Biarpun masih ada (orang muda) datang mencuci gambar tetapi bilangan gambar yang mereka mahu cetak itu cuma sedikit. Contohnya mereka ada 1,000 gambar tetapi cuma lima atau 10 gambar sahaja yang akan mereka minta cuci dan cetak.
“Bayangkan dulu kami proses antara 100 dan 200 filem sehari tetapi sekarang ini orang ramai lebih cenderung mengambil dan menyimpan gambar secara digital. Situasi perniagaan kami berubah.
"Bagi operasi harian sekarang ini agak kurang menerima permintaan daripada pelanggan. Lebih kurang dalam 100 keping sahaja sehari.
“Orang ramai juga lebih suka merakam gambar menggunakan telefon bimbit kemudian minta cuci dalam saiz kecil sahaja,” katanya.
Trend orang ramai menyimpan gambar dalam telefon bimbit dan media sosial turut dirasai oleh sebuah lagi pemilik kedai gambar, Athirah Digital Photo.
Pemiliknya Sheema Said berkata, kebiasaannya dulu sesebuah keluarga akan berkumpul untuk bergambar di kedai gambar pada pagi raya pertama dengan memakai baju raya.
“Sekarang ini majoriti ada kamera sendiri jadi mereka boleh ambil gambar sendiri,” katanya.
Sheema dan rakan kongsinya, Mairan Abdul Rahman mengakui pendapatan perniagaan mereka kini jauh berbeza berbanding 10 tahun lalu.
"Dahulu pendapatan kami bergantung kepada negatif filem pelanggan untuk dicuci, manakala kini ia lebih kepada perkhidmatan mengambil gambar pasport, visa, lesen dan sebagainya.
“Dahulu satu hari kita boleh dapat 100 rol negatif filem untuk dicuci. Kebanyakannya dihantar jurugambar perkahwinan, orang yang balik melancong dan sebagainya.
“Sekarang ini agak jarang untuk cuci gambar sebab imej yang dirakam disimpan di laman sosial, storan awan dan e-mel," katanya.
Sumber: Sinar Harian
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.zukidin.com/2019/07/kedai-gambar-kurang-sambutan.html