Kastam Sita Kontena Ikrar Import Tidak Benar
Mohd Zaini Samsu Hadi Pegawai Kastam menunjukkan air zam-zam yang disita daripada sebuah kontena di Pelabuhan Darat, Pelabuhan Klang. Gambar ihsan: JKDM KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyita sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang kerana membuat ikrar tidak benar terhadap pengimportan air zam-zam.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, tindakan itu dibuat atas maklumat awam dan risikan yang dibuat pada 2 Jun lepas.
Katanya, pemeriksaan terhadap kontena mendapati ia dipenuhkan dengan 27,500 liter air zam-zam yang dianggarkan bernilai RM206,250 yang melibatkan cukai sebanyak RM66,000.
“Modus operandi kes ini ialah membuat pengikraran tidak benar terhadap pengimportan air zam zam dengan mengikrar dagangan sebagai air jus dan air minuman dalam Daftar Masuk untuk mengelakkan daripada Permit Import (AP) semasa pengimportan dan mengelak dikenakan duti cukai yang tinggi.
“Hasil siasatan mendapati kesemua air zam zam yang disita diimport dari Arab Saudi tanpa AP yang sah dan tidakmembayar cukai dan duti.
“Air zam zam diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Butiran 74,
Jadual Ketiga, Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Zazuli berkata, perbuatan mengimport air zam zam tanpa Permit Import merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Peraturan 30(1) PeraturanPeraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000.00 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000.00, yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, jika disabitkan kesalahan di bawah Peraturan 30 (1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/kastam-sita-kontena-ikrar-import-tidak.html