Karnival Permotoran Boss Sepang 2025 Gegar Litar Sepang
Karnival Sukan Permotoran BOSS Sepang 2025 Gegar Litar Sepang
Arena permotoran tempatan bakal digegarkan dengan penganjuran Karnival Sukan Permotoran BOSS Sepang 2025, anjuran Kelab Sukan Bermotor Battle of Speed Sepang (BOSS) dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Rakan Muda serta Rakan Litar.
Buat julung kalinya, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menjadi pentas kepada karnival yang menjanjikan gabungan aksi penuh adrenalin, aktiviti keluarga serta pameran gaya hidup automotif. Menurut Pengurusi BOSS, Najiy Ayyad, seorang pelumba berpengalaman lebih 16 tahun dalam arena perlumbaan kereta, acara ini diadakan bagi merakyatkan sukan permotoran sekali gus memberi peluang masyarakat menikmati pengalaman litar dalam suasana lebih selamat dan inklusif.
“Ini bukan sekadar acara perlumbaan, tetapi satu platform untuk menyatukan peminat, komuniti serta penggiat industri automotif di bawah satu bumbung. Kami mahu menjadikan karnival ini medan tahunan yang dinanti-nantikan,” kata Najiy.
Tarikan Utama :
Sepanjang karnival, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk:
Track Day – peluang menguji jentera di atas trek Sepang dengan kawalan selamat serta sesi coaching untuk mereka yang berminat serius dalam perlumbaan.
Car Club Parade – perarakan kereta klasik, sport, modifikasi, JDM hingga 4×4. Drift Show – persembahan aksi menggelongsor oleh pelumba profesional.
Car Autoshow – pameran statik pelbagai kenderaan unik.
Bagi pengunjung sekeluarga, Kids Area turut disediakan dengan pelbagai tarikan seperti mini cinema, inflatable castle, slot car racing, mechanical bull ride, batak, catch stick dan ball dart. Tidak ketinggalan, Taxi Ride menawarkan pengalaman luar biasa menaiki kereta lumba bersama pemandu profesional di trek perlumbaan sebenar.
Lebih 20 vendor dan 10 food truck bakal memeriahkan suasana dengan sajian makanan dan minuman, manakala lima persatuan permotoran serta beberapa kelab komuniti kereta termasuk peserta khas dari Singapura turut mengesahkan penyertaan.
Keselamatan & Penyertaan Agensi
Aspek keselamatan menjadi keutamaan dengan pemasangan rail guard di zon berisiko, kawalan kakitangan terlatih dan penyediaan dua buah ambulans di lokasi. Tempat letak kereta percuma turut disediakan untuk kemudahan pengunjung.
Selain itu, agensi kerajaan seperti KBS, JBSN dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) akan membuka booth khas bagi memberi pendedahan tentang peluang dalam bidang permotoran serta membimbing belia yang berminat untuk menceburi sukan ini.
Dengan sasaran kehadiran lebih 1,000 pengunjung setiap hari dan penyertaan 300 peserta, Karnival Sukan Permotoran BOSS Sepang 2025 dijangka menjadi titik permulaan kepada acara tahunan yang menyatukan minat rakyat Malaysia terhadap dunia automotif.
The post Karnival Permotoran BOSS Sepang 2025 Gegar Litar Sepang appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/09/22/karnival-permotoran-boss-sepang-2025-gegar-litar-sepang/