Karnival Kerjaya Dan Keusahawanan Wanita Bangkit Kpwkm
Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit @KPWKM ini dianjurkan di beberapa negeri seluruh Malaysia dan mendapat sambutan yang amat-amat memberangsangkan. Karnival ini memberi peluang wanita yang juga merupakan tonggak keluarga berdikari dari segi pendapatan dan turut menyumbang kepada ekonomi keluarga. Fokus utama karnival ini adalah lebih kepada aktiviti penjanaan pendapatan kaum wanita dengan menghubungkan mereka kepada platform yang menawarkan peluang pekerjaan, perniagaan atau keusahawanan
Inilah platform untuk wanita memperkasa ekonomi diri, dan keluarga menerusi peluang-peluang kerjaya, perkongsian ilmu pengetahuan, pengrusan kewangan, kemahiran, dan kepimpinan kendiri bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan
Menurut kajian, Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia berada pada skor 6.48. Kajian itu mengambil kira aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual yang mana dari sudut fizikal elemen yang dirujuk adalah dari sudut kestabilan ekonomi. Komponen pendapatan, menyumbang kepada skor terendah manakala Negeri Selangor pula merekodkan indeks skor terendah pada tahap 5.85
Realiti hari ini menunjukkan bahawa kegagalan menguruskan ekonomi menjadi salah satu faktor kegagalan dan keruntuhan institusi rumah tangga. Ia juga menyumbang kepada pelbagai masalah seperti pengabaian tanggungjawab berkaitan nafkah, pendidikan anak-anak, hutang yang tinggi dan sebagainya. Isu ekonomi keluarga adalah satu perkara yang perlu diselesaikan, atau sekurang-kurangnya ditambah baik
Justeru inisiatif Program Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit @KPWKM adalah sangat bertepatan dengan aspirasi kerajaan Malaysia iaitu Dasar No-One Left Behind
Inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM lahir daripada situasi pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan kepada kehidupan masyarakat termasuk golongan wanita dalam pelbagai aspek terutamanya dalam aspek kewangan dan penjanaan pendapatan
Inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM diunjurkan dapat membantu wanita dalam mengatasi cabaran pasca pandemik. Inisiatif ini terbahagi kepada dua kaedah; iaitu menerusi sektor formal dan tidak formal. Melalui sektor formal pelbagai pameran kerjaya dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), TalentCorp Malaysia dan organisasi penempatan pekerjaan lain
Menerusi Sektor Tidak Formal pula, peserta-peserta dihubungkan kepada pelbagai peluang perniagaan dan keusahawanan daripada Kerajaan seperti Mamacare, program selepas bersalin oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, sektor swasta seperti Maxis (penyedia telekomunikasi) untuk penganjuran e-Kelas Usahawan dan NGO. Selain itu bantuan geran MyKasih Kapital sebanyak RM500 juga disediakan untuk memulakan perniagaan dengan modal kecil dalam bidang e-dagang dan perniagaan kecil-kecilan yang bukan di bawah skim di Kementerian Keusahawan
Wanita Bangkit@KPWKM telah berjaya menghubungkan dan memberi peluang pekerjaan kepada 11,055 wanita dalam kedua-dua sektor formal dan informal dan menyediakan 35,371 wanita dengan pengetahuan berterusan khususnya dalam pengurusan kewangan
KPWKM ingin membuka seluas-luasnya peluang ini kepada semua lapisan masyarakat terutama kepada mereka yang sedang mencari peluang pekerjaan dan memulakan perniagaan. Ini kerana lebih 15 ribu peluang kerjaya dan usahawan ditawarkan kali ini disamping pelbagai peluang seperti mendapatkan tips dan nasihat dari mereka yang telah berjaya menjadi usahawan. Kita perlu belajar dari mereka ini bagaimana mereka berjaya dari peringkat awal hinggalah sekarang
Sejumlah 30 majikan daripada pelbagai sektor turut dibawa ke karnival ini dengan kerjasama pihak PERKESO. Lebih kurang 1,000 jawatan kekosongan peringkat eksekutif dan sebanyak 14,000 jawatan kekosongan bukan eksekutif ditawarkan
Disamping itu, terdapat juga agensi-agensi di bawah KPWKM seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membuka booth bagi mempromosikan perkhidmatan atau bantuan yang diberikan oleh agensi masing-masing
Insya-Allah, menerusi program-program yang berorientasikan mentorship, ketamadunan intelektual dapat digarap menerusi pembinaan ilmu yang boleh membuahkan manfaat kepada kejayaan golongan wanita dalam apa jua bidang keusahawanan yang mereka ceburi
Sesungguhnya agenda Pemerkasaan Ekonomi Wanita menjadi fokus dan tumpuan saya sebelum dan selepas COVID-19. Program Wanita Bangkit menjadi perintis segala-galanya. Inilah yang menjadi misi dan visi saya di Kementerian. Saya sedang mengambil pelbagai inisiatif untuk memperluaskan lagi program Program Keusahawanan dan Wanita Bangkit yang menjurus kepada memperkasakan ekonomi wanita seperti program kita hari ini
Kita sendiri tahu bahawa ramai wanita yang hebat yang mampu menjana pendapatan melalui perniagaan, lihat sahaja di mana-mana, di premis perniagaan, di dalam talian, pasti kelihatan wanita yang menjadi pengusahanya
Nabi SAW bersabda: ‘Sembilan persepuluh punca rezeki adalah di dalam perniagaan.’ Wanita hari ini tidak terlepas untuk menyertai dan mencipta nama dalam industri ini dan mempamerkan kesungguhan serta sanggup menempuhi cabaran dan masalah yang dihadapi. Tanpa usaha yang gigih, semangat juang yang tinggi, dan kesanggupan menghadapi cabaran, sukar mencapai kejayaan
Seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri kita, YAB Dato’ Seri Ismail Sabri menerusi ucapan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12, penyertaan lebih ramai golongan wanita dalam aktiviti ekonomi merupakan fokus penting KPWKM sebagai pengemudi aspirasi wanita nasional. Penyertaan wanita dalam pasaran kerja disasarkan mencapai 59 peratus pada tahun 2025
Peranan wanita dalam pembangunan institusi keluarga tidak harus dipandang enteng. Oleh sebab itu, agenda Wanita Bangkit@KPWKM ini dipahatkan sebagai ‘agenda of the year’ yang boleh memartabatkan lagi keberadaan golongan wanita sebagai penyumbang penting dalam rencana pembangunan ekonomi negara
Melalui Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit @KPWKM ini, diharap, golongan wanita dapat meningkatkan pendapatan bulanan isi rumah, sekali gus dapat menaikkan tahap sosio-ekonomi masyarakat
Program latihan seperti ini penting untuk menjadikan wanita, agen perubahan dalam komuniti, melalui usaha perubahan sikap. Perubahan sikap dan cara berfikir dalam memperkasakan identiti wanita, boleh dilakukan melalui usaha meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran atau skil
Diharapkan, program ini dapat meningkatkan semangat golongan wanita untuk mengikutinya. Kepada yang sudah berjaya bantulah wanita lain disekeliling anda untuk sama-sama berjaya.
Akhir kata, kita selaku wanita sepatutnya perlu membantu wanita lain untuk berjaya. #WomenMustSupportWomen. Sokong dan berilah dorongan kepada kaum wanita untuk bangkit dan berjaya. Sesungguhnya sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada manusia lain
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.annursyuhadah.com/2022/08/karnival-kerjaya-dan-keusahawanan.html