Kari Udang Sambal Belacan
Kari Udang Sambal Belacan. Banyak entry yang tulis separuh jalan, ada yang masuk gambar aje, ada yang tulis tajuk aje. Jadi Ogos ni, akak cuba clear kan yang ada dalam draft sebanyak yang mungkin. Harap tercapailah target untuk bulan Ogos ni. Lepas tu nak terjah blog-blog korang pulak nak tinggalkan jejak, lama betul tak 'jalan-jalan'. Minggu lepas MIL ada di rumah. Secara kebetulan akak ambil cuti sambung dengan hujung minggu jadi dapatlah layan selera MIL. Bila MIL ada di rumah, auto menu harian akan bertukar lebih kepada menu kampung.
Masakan pertama kami masa MIL sampai ialah asam pedas rebus keladi. Menu kegemaran sebab di kampung dulu memang en suami ada tanam sendiri keladi. Tapi sekarang ke kena belilah. Kalau ada MIL, kena masak dengan batang keladi sekali tapi kalau kami sahaja, lebih suka makan isinya.
Makanan Kegemaran Orang LamaHari seterusnya, masak kari udang. Di pasar malam dapat udang sederhana besar yang agak murah harganya dari biasa. Kalau buat kari udang, akak suka masukkan sekali kacang buncis atau kacang panjang dengan belimbing buluh. Secara kebetulan, belimbing buluh tengah rancak berbuah. Ronda keliling rumah, nampak pula pucuk ubi kayu. Terus petik dan rebus. Pucuk ubi kayu rebus pun kegemaran MIL juga. Bila ada pucuk ubi rebus, kenalah ada juga sambal belacan. Macam biasa, anak-anak ambil tugasan tumbuk sambal belacan ni. Sebagai tambahan, kena ada telur dadar dan ikan goreng.
Tambahan pelbagai lagi ulam-ulaman. Antaranya pucuk janggus dan timun. Timun kena hiris nipis-nipis sebab MIL dah kurang giginya
tengoklah buah belimbing buluh ni, berjambak-jambak keluar buahnya dari bawah sampai ke dahan yang atas
Sempat juga masakkan bubur kacang hijau. Dah lama sebenarnya tak buat bubu kacang ni. Tiba-tiba en suami teringin pulak makan, tambahan ada MIL dan anak-anak yang lain, rajinlah juga akak nak buat. Bubur kacang ni boleh juga cicah dengan roti. Ada juga akak masukkan dalam peti sejuk, makan bila dah rasa sejuk-sejuk, sedap je masuk tekak
Dapat pula buah cempedak yang manis isinya. Apa lagi jadilah goreng cempedak, buat minum petang. Boleh dikatakan ada sahaja lah makanan kegemaran atas meja. tapi buat sikit-sikit sebab MIL suka ulang-ulang makan, jadi memang kena ada makanan atas meja. Satu lagi kena ada air teh panas-panas. Seteko akak akan sediakan dalam flask, jadi air sentiasa panas dan suam-suam. Air manis ni jarang ada atas meja sebab anak-anak lebih suka minum air kosong. Cuma biasanya buat satu mug aje tiap pagi untuk en suami. Akak pun jarang ambil minuman manis, dah terbiasa dengan air kosong
Menu lain kegemaran MIL ialah sup daging atau tulang. Kalau masak sup, kena ada ikan kering. Tapi kali ini, akak padankan dengan ikan pekasam. Ikan pekasam ni korang padankan dengan potong limau nipis yang kemudiannya diperah atas ikan pekasam tersebut dan juga bawang goreng. Ikan pekasm ni bila digoreng, baunya boleh tahan juga tapi bila dah makan memang lupa semua bau-bauan tu. Cara gorengnya pula kenalah dengan api perlahan dan sampai agak garing.
Kalau korang nak tahu MIL akak ni dah berusia 84 tahun, masih sihat…sihat-sihat orang tua. Boleh berjalan ke sana sini lagi tapi kena diperhati. Makan agak kurang tapi kalau kena dengan seleranya betambah-tambah juga. Ingatan pun dah sedikit merosot, tapi sangat mengingati perjalanan hidupnya di waktu muda. Dah lali mendengar kisahnya berulang-ulangkali sampai ada antaranya dah boleh hafal. Jadi lucu pula bila mendengar kisahnya berulang-ulang. Kadang-kadang sambil duduk dia akan menyanyi lagu-lagu lama masa muda-mudanya. Seronok melayan bila kena masanya. Ada waktunya, dia suka termenung dan duduk diam sorang-sorang.
Oleh kerana usia yang dah lanjut, kami memang tidak benarkan MIL tinggal sorang-sorang di kampung, sangat bahaya. Jadi adik beradik en suami secar bergilir ambil peluang menjaga dan menemani MIL. Tapi kebanyakan masanya lebih dengan kakak-kakak ipar. Tunggulah nanti bila ada yang pencen dan balik kampung, bolehlah MIL tinggal di kampung semula. Tak lama dah kami kami ni nak bersara, semua tengah tunggu giliran.
Moga kalau panjang umur, di usia tua nanti..nak lalui suasana yang mudah dan tenang-tenang aje..in sya Allah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.azirahman.com/2025/08/kari-udang-sambal-belacan.html