Kari Kepala Ikan Merah Ikut Tips Chef Istana Anak Bukit
Sebelum saya kongsikan resepi serta tips menyediakan Kari Ikan Penang Style yang mengikut tips Chef Istana Anak Bukit, meh kita sembang sembang bab lain dulu. Saya sebenarnya sangat menghargai perkongsian tips dan inputs berkenaan masakan.
Saya bukan pakar dalam semua masakan kerana masakan bukan bidang saya. Saya seorang central banker yang bekerja sepenuh masa dari 8 pagi sehingga pukul 5.00 petang. Masa belajar juga, saya hanya diminta untuk menumpukan kepada persekolahan dan pengajian. Kami makan lauk simple simple sahaja. Biasanya masak singgang, lauk goreng dan sayur lemak putih. Sekali sekala ada masak ayam kari dan gulai ikan ayau udang.
Tapi apa yang terhasil hari ini adalah kerana minat saya sendiri dalam masakan yang dipupuk selepas melihat arwah Bonda, kakak dan bonda saudara yang hebat dalam masakan. Saya sendiri suka membelek belek bahagian resepi dalam buku majalah yang dibeli oleh kakak. Tapi apa yang terjadi ialah, masakan, biskut dan kek yang menggunakan resepi dari majalah ketika itu, tidak menghasilkan apa yang sepatutnya.
Kalau biskut, yang terhasil adalah biskut yang memang keras. Kalau tak silap, bahan yang digunakan ialah tepung gandum. Tiada tepung jagung yang boleh membantu melembutkan biskut. Masih ingat saya cuba menyediakan mee goreng mengikut resepi dalam majalah, hmm tidak menjadi. Kalau kek pula, selalu bantat, kerana salah teknik membakar saya sendiri. Ketika itu, kalau tak silap saya berada dalam tingkatan satu. Resepi tidak ditulis dengan jelas keperluan untuk memanaskan dapur terlebih dahulu.
Maklumlah ketika itu, bakar dalam periuk dengan sabut yang diletakkan di atas tudung periuk sahaja. Tapi akhirnya, menjadi juga kek kurma saya kerana tanpa sengaja, dapur telah panas ketika adunan belum siap. Jadi pertama kali kek naik dan menjadi kerana dibakar atas dapur yang telah panas.
Hari ini saya menggunakan tips yang dikongsi oleh follower saya dari arwah Bonda beliau yang merupakan Chef di Istana Anak Bukit Kedah. Tips untuk menjadikan kari yang sedap ialah ketika menumis rempah kari, sekali dimasukkan serbuk jintan putih, air asam jawa dan sedikit garam halus. Biarkan semuanya mesra sehingga terbit minyak.
Selepas terbit minyak, barulah masukkan sedikit air dan seterusnya santan. Jangan masukkan santan terus ke dalam minyak panas kerana santan akan berketul ketul bila bersentuh dengan minyak panas. Haa itulah cara saya yang saya gandingkan dengan tips yang saya belajar. Bolehlah pakat pakat cuba tips ini, mana tahu ianya sesuai dan sedap karinya.
Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Jangan lupa juga video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...
Kari Kepala Ikan MerahOleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:1 kepala ikan merah¼ kg santan segar 1 tangkai cili merah - hiris5 biji bawang merah - hiris1 sudu kecil halba campur1 pelepah daun kari3 sudu besar serbuk kari ikan2 sudu besar jintan putih - sangai dan kisar2 sudu besar garam halusAir asam jawa1 helai daun pandan - carik & simpulGaramGula
Sayuran:TerungKacang bendiBuah tomato ceri
Cara cara:Panaskan minyak secukupnya. Masukkan cili merah dan bawang merah. Tumis sehingga naik bau.
Masukkan halba campur, daun kari dan serbuk kari ikan. Selepas dimasukkan serbuk kari, masukkan sekali serbuk jintan putih, garam halus, air asam jawa dan daun pandan.
Masukkan juga serbuk cili dan serbuk kunyit. Tumis sehingga terbit minyak.
Setelah terbit minyak, masukkan sedikit air untuk mengurangkan kepanasan minyak dan juga supaya santan tidak bersentuh dengan minyak panas secara terus. Nota: Jika bersentuh secara terus, santan akan berketul.
Masukkan santan. Setelah santan mendidih, masukkan kepala ikan, garam dan gula secukupnya.
Akhir sekali, masukkan sayuran yang disukai seperti terung, tomato ceri dan kacang bendi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.aziekitchen.com/2020/01/kari-kepala-ikan-merah-ikut-tips-chef.html