Kaji Semula Dasar Baharu Tanpa Subsidi Haji Perkasa
Nizam Zain
                                                                                                                                                                                              Dr Amini Amir Abdullah
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)  menggesa kerajaan mengkaji semula dasar baharu subsidi haji dengan  mengenakan caj penuh kepada mereka yang berjaya dalam rayuan pertama  kerana ia akan membebankan bakal haji.
 Naib Presidennya, Dr Amini Amir Abdullah berkata, peningkatan caj  bayaran sebanyak RM12,920 bererti tiada lagi subsidi haji kepada mereka  yang berjaya dalam rayuan pertama untuk menunaikan haji.
 “Perkasa juga difahamkan caj penuh tanpa subsidi berjumlah RM22,900 berbanding caj lama yang hanya berjumlah RM9,880.
 “Ini adalah sesuatu yang tidak munasabah dan tidak berlaku kepada kerajaan terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 Khamis lalu, pentadbir akaun Facebook Lembaga Tabung Haji (TH)  berkata, subsidi haji hanya diberikan kepada bakal jemaah yang terpilih  bagi tahun semasa yang menunaikan haji buat kali pertama secara  Muassasah.
 Bagi pengiring atau yang merayu dan berjaya, ini bermakna mereka  pergi menunaikan haji lebih awal dari tahun peruntukan dan tidak layak  mendapat subsidi haji.
 Bagaimanapun Mujahid dalam satu sidang media berkata, kerajaan  memberi jaminan jumlah bayaran subsidi bagi jemaah haji muassasah TH  yang menunaikan haji kali pertama akan kekal pada RM9,980.
 Jelasnya, meskipun berdepan pelbagai cabaran, TH berusaha menanggung  subsidi lebih RM306 juta susulan peningkatan kos haji tahun ini sebanyak  RM22,900 seorang berbanding RM22,450 pada musim haji lalu.
 Amini Amir berkata, TH digesa memberi keutamaan dan mempertimbangkan  rayuan menunaikan haji diberikan kepada mereka yang memerlukan dan dalam  keadaan darurat.
 “Perkasa juga menggesa agar kerajaan Malaysia berbincang secara  berhemah dengan kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan kuota haji jemaah  Malaysia.
 “Amalan terdahulu di mana jumlah bayaran subsidi bagi jemaah haji  Muassasah TH yang menunaikan haji kali pertama pada RM9,980 sepatutnya  dikekalkan dan tidak diusik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/02/kaji-semula-dasar-baharu-tanpa-subsidi.html