Kabinet Tak Dimaklumkan Operasi Ketenteraan Di Yaman
Kow Gah Chie
Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong mendedahkan bahawa kabinet tidak dimaklumkan berhubung penglibatan Malaysia dalam operasi ketenteraan membantu Pakatan Arab Saudi di Yaman.
Liew memberitahu Dewan Rakyat bahawa Malaysia sebelum ini menugaskan 42 pegawai tentera ke Riyadh, Arab Saudi pada April 2015 untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Yaman.
Operasi berkenaan dikenali sebagai Ops Yaman 1.
Bagaimanapun, pada Jun 2015, misi itu ditukar menjadi misi logistik yang dikenali sebagai Ops Yaman 2 dengan penglibatan 94 pegawai tentera.
Ketika itu, kata Liew, Kabinet tidak dimaklumkan.
"Mereka membantu Pakatan Arab Saudi dari segi peralatan, peluru dan bahan letupan," kata Liew lagi.
Tambah Liew, beliau difahamkan bahawa Ops Yaman 2 tidak mendapat persetujuan kabinet.
Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, dalam soalan tambahan, mengesahkan bahawa Ops Yaman 2 tidak dibangkitkan di dalam kabinet.
"Saya mengikuti perbahasan (tentang perkara ini) secara terperinci kerana ia melibatkan pengerahan aset tentera kita," kata Khairy.
Liew membuat pendedahan kita sebagai menjawab soalan daripada Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim) yang meminta perincian berhubung tugas tenter Malaysia di Riyadh.
Menurut Liew, Ops Yaman 2 melibatkan operasi ketenteraan di ruang udara Arab Saudi, iaitu di luar kawasan konflik.
"Pada tahun 2016 akibat kos operasi dan senggaraan yang tinggi serta tekanan kepada tentera dan krew penerbangan, TUDM telah mencadangkan supaya tentera ditarik balik.
"Namun demikian mantan panglima angkatan tentera dan bekas menteri pertahanan tidak bersetuju atas cadangkan penarikan balik tentera ini," kata Liew.
Ini merupakan kali pertama kerajaan mengakui bahawa tentera Malaysia secara tidak langsung terlibat dalam konflik melibatkan Pakatan Arab Saudi di Yaman yang telah mengorbankan ribuan nyawa.
Tentera Malaysia hanya dipanggil pulang pada September lalu selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2018/12/kabinet-tak-dimaklumkan-operasi.html